6 Feb 2012

PAS Minta Polis Bertindak Adil & Professional Tangani Kes Provokatif

Provokatif: PAS gesa polis bertindak adil, profesional

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Pihak polis digesa bertindak adil dan profesional dengan tidak memihak kepada parti dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menangani setiap kejadian dalam masyarakat.

Suasana dalam masyarakat kita sekarang amat merbahaya kerana pihak yang berlawan dengan Pakatan Rakyat ternyata cenderung menggunakan tindakan-tindakan provokatif yang melampau, sehingga mengancam nyawa para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, perkembangan yang tidak sihat itu jika tidak ditangani dengan baik dari sekarang pasti akan lebih menyukarkan lagi pihak polis untuk menanganinya pada masa akan datang.

Menurutnya, kesemua kejadian yang berlaku itu pasti telah diketahui oleh pihak polis kerana ia telah dilaporkan oleh pihak-pihak berkenaan untuk tindakan pihak berkuasa.

Katanya, namun sehingga kini masih juga tidak terdapat tindakan yang sewajarnya dari pihak polis dengan menangkap dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Pada hal, kesemua insiden itu amat serius. Contohnya pada 3 Februari lalu, dua buah kereta dan rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad telah dibakar yang jelas bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga mengancam nyawa Dzulkefly dan keluarganya.

"Apakah mekanism polis untuk menyiasat dan menyelesaikan kes itu? Apakah pihak polis tak tahu kecenderungan penggunaan provokatif yang melampau dari pihak yang terbabit itu dalam hal ini?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.40 pagi ketika Dzulkefly dan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.

Akibat kejadian itu, dua buah kereta kepunyaan Dzulkefly terbakar dan tingkat bawah rumahnya di Taman Universiti di Johor Bahru pula turut hangus terbakar.

Dzulkefli yang sedang nyenyak tidur terkejut mendengar letupan kuat akibat kebakaran keretanya dan ketika api sedang membakar, beliau sempat mengejutkan seluruh anggota keluarganya untuk keluar dari pintu belakang bagi menyelamatkan diri.

Menurut Mazlan, sebelum itu beberapa kejadian lain telah berlaku, termasuk letupan bom di kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan pada 9 Januari lalu.

Katanya, sebelum itu, turut berlaku kejadian-kejadian provokatif melampau lain dari pihak tertentu yang membabitkan pembakaran surau dan gereja di negara ini, di samping tindakan membaling babi ke dalam kawasan serta ke dalam surau dan masjid.

"Sekarang juga sudah sering terjadi rumah-rumah pemimpin Pakatan Rakyat yang dibaling dengan cat merah serta ancaman ugutan bunuh ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat.

"Manakala ceramah-ceramah pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diganggu dan diceroboh sehingga mencederakan orang awam," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor menegaskan, kesemua kes tersebut jelas menunjukkan penggunaan provokatif yang amat keras dari pihak-pihak terbabit yang sepatutnya disiasat dengan segera dengan terperinci oleh pihak polis.

"Tetapi sehingga sekarang masih juga tidak dilakukan tangkapan oleh pihak polis ke atas mereka yang terbabit, malah perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kejadian-kejadian itu amat mengecewakan," tegasnya.

Sebelum ini, tambahnya, penggunaan provokatif melampau seperti itu berlaku di luar negara dan mereka yang terbabit akan menggunakan mafia dan genstar untuk menjayakan perancangan jahat mereka itu.

"Kini, di negara kita juga sudah berlaku tindakan ganas seperti itu. Ini semua mula berlaku selepas PRU Ke-12 pada tahun 2008 lalu setelah Pakatan Rakyat mendapat sokongan yang kuat daripada orang ramai," katanya.

Kesemua tindakan tersebut, tegas beliau, jelas menunjukkan perkembangan yang tidak sihat terhadap politik di tanah air yang amat perlu dihentikan dan ditangani dengan baik oleh pihak polis.

"Sedangkan di negara-negara maju tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya, perkembangan politik mereka berlaku dengan baik. Mereka menghadapi persaingan yang sihat, dengan menggunakan pendekatan hujah, intelektual serta tawaran alternatif kepada rakyat," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua kejadian itu tidak dilakukan oleh orang biasa, sebaliknya didalangi pemimpin-pemimpin tertentu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PAS berhajat untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pada 8 Februari ini di Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kesemua kes tersebut, di samping keberkesanan tugas pihak polis dalam mengawal ketenteraman dan keselamatan negara.

"Dalam pertemuan itu, saya akan mendesak pihak polis agar menggunakan pendekatan yang betul dalam beberapa aspek termasuk mempercepatkan tindakan dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan," tegas beliau. -HD

2 ulasan:

Amuraria berkata...

NAMPAKNYA PKR KENA BERTINDAK SENDIRI DALAM MEMPERTAHANKAN DIRI JIKA PDRM TIDAK PROFESIONAL,TIDAK SANGUP BERTINDAK & SIASAT,DOUBLE STANDARD,TAKUT TEKANAN POLITIK ATASAN,MEMBELA PADA JENAYAH YANG TERANG ! DIHARAP PDRM BUAT KERJA BUKAN CAKAP SAJA MACAM PROFESIONAL SAMPAI MULUT BUSUK TAPI GAGAL BERTINDAK ,JANGAN SAMPAI RAKYAT AMBIL TINDAKAN SENDIRI BILA SUDAH PUTUS ASA ! PDRM MENJUNJUNG UNDANG-UNDANG JADI JALANKAN TUGAS DENGAN AMANAH TANPA PILIH BULU !

1 Malaysia berkata...

Lihat saja pada TV hari ini. Masih dok siarkan peristiwa Bukit Kepong. Pengkhianat Negara (polis british) dianggap HERO oleh PDRM manakala Mat Indera (komunis) dianggap sebagai pembelot. Adakah orang yang membebaskan Tanah Melayu ialah PEMBELOT? atau orang yang mempertahankan British itu HERO?
Jadi tak hairanlah PDRM hari ini tak kenal yang mana harus dipertahankan? Kerajaan yang penuh dengan rasuah atau rakyat yang berkehendakkan keadilan? Oh, i lupa, kan kebanyakan depa ni pun tak "betol" sebab urat saraf dan daging pun dah penuh dengan benda-benda yang ......