23 Jan 2012

[Video] Parti Islam Menang Besar Di Mesir, Kuasai 2/3 Kerusi Parlimen

Parti diketuai Ikhwan Muslimin menang besar PRU Mesir

KAHERAH - Ikhwan Muslimin Mesir, pertubuhan politik paling tersusun di negara itu, memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum bebas pertama, sekali gus memberikannya peranan besar dan kedudukan kukuh untuk merangk perlembagaan baru.

Parti Salafist Nour berada di tempat kedua.

Ikhwan Muslimin yang diharamkan ketika kepimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak muncul pemenang dalam pilihan raya umum Parlimen. Ia memperoleh dua pertiga kerusi sebagaimana diramalkan sebelum ini.

Parti Kebebasan dan Keadilan diterajui Ikhwan Muslimin memberi jaminan kepada kesemua rakyat Mesir bahawa setiap orang akan ada suara di Parlimen.

Di bawah sistem pilihan raya yang kompleks, dua pertiga atau 332 kerusi di dewan rendah ditentukan menerusi perwakilan berkadar, berdasarkan parti-parti bertanding. Baki satu pertiga ditandingi orang perseorangan.

Berdasarkan keputusan akhir diumumkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya semalam.

Rakyat Mesir telah membuang undi dalam tiga peringkat sepanjang enam minggu lalu untuk memilih 498 wakil rakyat.

Seramai 10 lagi akan dilantik oleh pihak tentera yang memerintah.

Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi."

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.
-HD



2 ulasan:

insan perihatin berkata...

Ikhwanul muslimin parti yg mirip PAS ini sebenarnya tidak pernah memenangi sebarang kerusi(kalau x silap)pd pilihanraya2 yg lalu akibat taktik kotor pemerintah namun atas pertolongan Allah parti ini membuat kejutan menang besar kali ini menandakan kebangkitan Islam di timur tgh akan bermula.Allahuakhbar!

Tanpa Nama berkata...

kena ingat juga mengapa depa "dibenarkan" menang pada masa dunia menghadapai krisis ekonomi?

kerajaan mana pun akan hadapi masalah dengan rakyat dalam keadaan ekonomi yang merudum

kalau depa dapat mengahadapinya alhamdulillah

kalau sebaliknya, adakah ini persediaan sentiment orang islam untuk menggantikan depa dengan puppet baru yaang sebenar

ini adalah ramalan (merepek?)yang agak melaampau jauh tapi kena pikirkan jugak