2 Jan 2012

[VIDEO] 7 Maut Dalam Kemalangan Kereta-Treler, Mayat Bersepai & Isi Perut Terburai

Sitiawan: Perjalanan pulang 10 rakan sekampung selepas membeli barang keperluan untuk menyambut tahun baru berakhir dengan tragedi apabila tujuh daripadanya, termasuk empat pelajar maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung treler dan sebuah kereta lain di Batu 6 Lekir, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian di ambang Tahun Baru 2012, kira-kira jam 10.30 malam itu turut mengakibatkan pemandu treler cedera parah, manakala tiga lagi penumpang dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang itu serta pemandu sebuah lagi kereta jenis Honda Civic, cedera.

Enam mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada dua beradik, Badrul Isa Sulaiman, 19; dan Mohamad Hadi, 17; sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15 serta Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15 dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.
Pemandu Honda Stream, Mohd HisamMat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 8.35 pagi semalam. Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang dilaporkan parah di muka dan tangan serta masih dirawat di HSM.

Penumpang yang duduk bersebelahan Mohd Hisam di bahagian depan, Khairul Faiz Mohd Noor, 17, serta dua lagi penumpang remaja perempuan yang tidak diketahui identiti mereka serta pemandu kereta Honda Civic dilaporkan cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Mohamad Kamil, Ahmad Faizal, Mohamad Shadan dan Muhammad Shafik Redzuan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 10 Lekir; Mohd Hisam dan Badrul Isa pula bekerja di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan, manakala Mohamad Hadi sepatutnya melaporkan diri mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pagi semalam.

Semua yang terbunuh berasal dari Kampung Batu 15 Lekir kecuali Muhammad Shafik Redzuan dari Kampung Batu 14 Lekir dan Mohd Hisam yang berasal dari Kampung Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Kemalangan berlaku apabila Honda Stream dari arah Sitiawan memotong beberapa kenderaan dari sebelah kiri sebelum masuk semula ke laluan di depan Honda Civic secara mengejut sehingga hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

Pertembungan mengakibatkan bumbung Honda Stream tercabut dan melayang kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, manakala kenderaan itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga beberapa penumpangnya terpelanting keluar, termasuk seorang yang terjatuh di atas kereta Honda Civic.

Treler pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh beberapa gerai buah-buahan di tepi jalan sebelum terperosok ke dalam kebun kelapa sawit.


Keadaan di tempat kemalangan amat mengerikan apabila mayat bergelimpangan di tengah jalan dan ada yang tercampak sehingga ke laluan ladang sawit dengan satu mayat ditemui tanpa kepala dengan otak bersepai, mata tersembul dan isu perut terburai dengan cebisan daging dan otak bertaburan sehingga jarak 50 meter dari tempat kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengutip cebisan daging dan otak serta mencari kepala salah seorang mangsa yang kemudian ditemui tidak jauh dari situ.

Difahamkan, ketika kejadian, penumpang Honda Stream dalam perjalanan balik ke Kampung Batu 15 selepas selesai membeli barang keperluan dan bersiar sekitar Teluk Batik, manakala treler pula dalam perjalanan menghantar tong gas dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Superintendan Ismail Munajat, berkata semua mayat dibawa ke HSM untuk bedah siasat pagi semalam dengan enam daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 15 sebelum Asar, manakala jenazah Mohd Hisam dibawa ke Jeli untuk dikebumikan di sana.

“Kejadian berlaku di jalan lurus berturap dan kering, manakala keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -BH

LAPORAN & VIDEO HARIAN METRO


Ajal lepas rai 2012

MANJUNG: Mayat enam remaja belasan tahun bertaburan di sepanjang 30 meter jalan raya apabila kenderaan Honda Stream yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Batu 6, Jalan Sitiawan - Lekir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua mangsa baru pulang meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan.

Difahamkan ketika kejadian, seramai 10 orang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan sebelum bertembung sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG yang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan enam mangsa yang duduk di belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mati di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala bagaimanapun meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi kereta model Honda Civic dipandu seorang lelaki.

Treler berkenaan turut melanggar kedai keropok lekor dan buah-buahan.

Menurutnya, semua penumpang MPV terbabit yang baru menyambut tahun baru dengan keluar minum di bandar Sitiawan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir di sini.

Hampir terpijak biji mata mangsa

MANJUNG: “Saya hampir terpijak biji mata seorang mangsa tercampak di atas jalan, malah ada tali usus mangsa turut terkeluar,” kata seorang pegawai kerajaan yang juga saksi kejadian, Hasni Hashim, 45.

Menurutnya, dia kebetulan berada di restoran berhampiran tergamam apabila mendengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran lori dan kenderaan pelbagai guna, Honda Stream kira-kira 20 meter dari lokasi kedai makan berkenaan.

“Saya yang ketika itu sedang menghirup kopi panas, kelam-kabut melarikan diri selepas melihat treler sarat membawa tong gas itu terbabas dan meluru ke arah kedai makan.

“Treler itu yang meranapkan sebuah gerai keropok lekor di bahu jalan kemudian terperosok ke dalam kebun kelapa sawit terletak di belakang kedai,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat insiden itu sebelum mendapati banyak tubuh remaja lelaki bergelimpangan di atas jalan dan tepi gerai.

“Suasana ketika itu amat mengerikan apabila ada tubuh mangsa yang putus hingga terkeluar isi perut, otak dan mata,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.

Menurutnya, beberapa penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi polis selain menutup tubuh mangsa dengan kertas surat khabar.

Sementara itu, seorang lagi saksi kejadian, Alice Tan, 55, mendakwa dihantui perasaan trauma selepas terpaksa mengutip cebisan mayat mangsa kemalangan yang melekat di gerainya.

Menurutnya, beberapa cebisan anggota badan mangsa turut tercampak ke dalam gerai buah-buahan miliknya, manakala darah mangsa juga turut terpercik mengenai barang perniagaannya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja yang menjaga kedai saya pada jam 11 malam kelmarin.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya selain turut tertiarap di depan kedai,” katanya.

Menurutnya, ada antara mangsa yang turut cedera parah hingga hampir putus kepala selain kehilangan beberapa anggota tubuh penting.

“Pagi tadi (semalam) saya dapati beberapa cebisan daging dipercayai milik mangsa melekat di dinding gerai. Saya terpaksa mengutip dan mengumpul daging mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya.




6 ulasan:

kadio manong berkata...

Teman ucap takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat. Kemalangan adalah suatu tragedi. Betul, ajal maut ditangan Tuhan. Tetapi penyebab tu yang kita cari. Dalam kes ini nampak sangat pemandu muda, darah panas so potong sebelah kiri pulak.... Kesabaran amat penting, semua orang nak cepat sampai. Yang mati tu tak apa la dah dijemput Tuhan, macam mana dengan yang hidup tetapi mengalami kecacatan dan trauma, mungkin sepanjang hayat !

roslisalem berkata...

semoga ALLah mencucuri rahmatNYA atas semua yang terlibat

Tanpa Nama berkata...

Pernah lalu jalan ni masa kerja kt Teluk Intan. Memang jalan lurus...tapi kalau malam memang gelap gelita..harapkan hi-beam je.
Itu yg kalau bawak kereta mau cecah 120 km/jam.
Tp bila tengok umur pemandu br 22 tahun..bawak pulak ramai...tak pakai seat belt org belakang..memang nak jadi kes..ni mesti berhambat dengan Honda Civic.
Tapi sape mepandu Honda Cicic tu..kalau hidup pun menyesal tak sudah..ye lah sekali xcident..ramai yg meninggal.

Tanpa Nama berkata...

Setuju dgn kadio, sedangkan orang2 tua boleh berubah daripada sabar kepada tak sabar bila di jalan raya, apalagi le orang2 muda.

Bukan saja nahas diri sendiri, melibatkan pemandu lain yang memendu berhemah. Pengajaran kepada yg hidup.

Pesan2 kat anak2/sesiapa termasuk diri sendiri dll agar baca doa, pandu hati2, ingat Allah, dll.

Tu le yang mampu kita buat.

Tanpa Nama berkata...

Pemandu honda civic 2 bapa saudara sy.. n alhamdulillah dia selamat. hny cedera ringan ditangan+trauma. xde kes hambat mghambat. mmg honda stream 2 potong kiri..

mmg ada perubahan dgn pcik sy..tkejut bila slh seorg mgsa tcampak ats cermin kereta dia n den tpelesok kbawah kereta.

setiap apa yg blaku adalah ketentuan Allah SWT..jgn mbuat andaian yg boleh mdatangkn fitnah..

TQ - Na

tok cik berkata...

semoga jadi pengajaran kepada semua. samaada tua atau muda, lelaki atau perempuan, sabar dan timbangrasa dengan pemandu lain. drive carefully or... drive SLOWLY. terimakasih.