18 Jan 2012

Ketokohan Azizan Sebagai MB Tak Dapat Dinafikan. Terima Pujian Sultan & Ulamak

Sultan Kedah puji Azizan laksana pembaharuan di Kedah

ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji pentadbiran negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan kemajuan pembangunan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.

“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam".

Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tuanku Abdul Halim bertitah, kerancakan aktiviti ekonomi ini menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat selain berharap taraf hidup rakyat dapat terus dipertingkat menerusi kemudahan prasarana yang menjadi asas kepada perkembangan aktiviti komersil seperti perumahan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.

“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.

“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan Menteri Besar supaya memastikan keadilan dapat terus dilaksana sebaik mungkin, selain setiap rakyat hendaklah diberi hak masing-masing tanpa mengira perbezaan anutan agama, bangsa mahupun fahaman politik. -SN


Tokoh ulama saran contohi MB Kedah

SIK, 16 Jan: Tokoh ulama, Tuan Guru Haji Salleh Musa (gambar) menyeru ahli dan pimpinan PAS Kedah agar mencontohi Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak yang tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa mengutamakan keperluan-keperluan rakyat.

“Saya pujilah Ustaz Azizan ni. Semua kita perlu ikut contoh macam Ustaz Azizan, cukup elok. Jangan hendak tamak itu dan ini. Dia tidak pentingkan diri tetapi sentiasa utamakan keperluan rakyat,” ujarnya berucap pada Multaqa Daie dan Aktivis Islam di Kompleks PAS Kawasan Sik, awal bulan ini.

Ujarnya, setiap pendokong PAS perlu mengenang segala nikmat diberikan Allah terutamanya nikmat kemenangan yang diperolehi hari ini.

Jelas beliau, bersyukur dengan nikmat kemenangan adalah memanfaatkannya untuk menuju ke jalan keredaan Allah.

Nasihatnya, ahli PAS perlu mengelak menjadikan kemenangan ini untuk mendapatkan habuan kebendaan dan meminta-minta seperti mana Umno.

“Dasar kita bukan cari benda. Allah jadikan kita untuk takwa, dengan takwa Dia akan berikan rezeki yang kita tidak sangka-sangka. Maka, mesti ikhlas dan ikhlas itulah pintu untuk mencapai matlamat,” terang beliau yang juga Mudir Madrasah ar-Rahmaniah.

Para pimpinan PAS juga tegurnya, perlu mengelak perasaan hasad dengki kerana orang yang memiliki sifat itu tidak layak menjadi pemimpin.

Serunya, ahli PAS mesti kekal teguh berpegang kepada tali Allah dan terus bekerja kerana tidak ada lagi golongan yang dapat diharap untuk menyeru kepada kebaikan melainkan PAS.

Tempelak beliau, Umno tidak boleh diharap untuk menjaga agama kerana agama pada diri pemimpin mereka sendiri dipertikaikan.

Oleh itu katanya, seluruh pendokong PAS perlu mempersiapkan diri dengan agama untuk menghadapi segala cabaran itu.

“Jangan kuat kerja politik sahaja, kena ambil faham sama ilmu-ilmu akidah. Hari ini dah celaru macam-macam. Maka kitalah nak kena ambil tanggung jawab ni,” ujarnya menyuntik semangat.

Multaqa bertemakan “Menghadapi Cabaran Ummah Dan Persiapan PRU13” itu dihadiri lebih 1,000 aktivis PAS Kedah dan diadakan sebagai kesinambungan Ijtimak Tarbawi PRU13 di Taman Melewar bulan lalu....Harakah cetak.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

begitulah bila pemerintah memerintah atas dasar islam

Tanpa Nama berkata...

Dalam kes KUIN & AUKU, MB Kedah agar dapat melapangkan masa berdiskusi dengan Mahasiswa, agar golongan Mahasiswa dapat sealiran pandangannya terhadap MB Kedah sebagaimana Sultan dan Ulama

Tanpa Nama berkata...

baru ang pa tau sapa ust azizan nie. angpa igt dia nie kangkong ka? silap la...jgn igt ust tak bley tadbir negeri. to tok bashah & the gang, angpa silap la main isu Madrasah Salihiah.