22 Mei 2011

Slimming Sanctuary Diarah Bayar RM26,793.57 Ganti Rugi Melecur

Sebuah pusat kecantikan diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, membayar sejumlah RM26,793.57 kepada seorang pemilik butik selepas didapati cuai sehingga menyebabkan pelanggannya melecur di beberapa bahagian badan ketika menggunakan kemudahan spa di pusat itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu selepas selesai mendengar semua keterangan saksi pada 28 April lalu dalam kes saman kecuaian difailkan Lim Wah Kiau terhadap Slimming Sanctuary Sdn Bhd.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Februari tahun lalu, Wah Kiau berkata, beliau membeli pakej kecantikan merangkumi rawatan muka dan kemudahan spa daripada Slimming Sanctuary berharga RM10,072.20 di cawangan Ampang.

Wah Kiau berkata, beliau mengalami kecederaan melecur tahap kedua di bahagian tangan, bahu dan belakang kerana suhu air terlampau panas dalam tab jakuzi ketika menggunakan kemudahan spa di pusat kecantikan itu pada 31 Disember 2008.

Katanya, sebelum memasuki tab jakuzi itu, pekerja pusat kecantikan itu hanya menambahkan sedikit air ke dalam tab untuk mengawal suhu walaupun sudah diberitahu air dalam tab terlampau panas.

“Apabila berbaring dalam tab jakuzi itu, saya rasa degupan jantung amat cepat dan cuba bangun tetapi saya kemudian pengsan. Apabila sedar kembali, saya berasa hendak mandi air pancur, bagaimanapun sekali lagi saya pengsan,” katanya.

Wah Kiau berkata, beliau hanya dijumpai pekerja di spa itu pada jam 4.30 petang, iaitu lebih sejam selepas berada di pusat kecantikan berkenaan.

Disebabkan kecuaian itu, wanita itu berkata belakang, tangan dan bahunya berparut selain mengalami penderitaan dari segi mental dan emosi dan kehilangan pendapatan kerana tidak berupaya menjalankan perniagaannya lagi.


Tiada ulasan: