16 Dis 2011

Pencuri Kereta Cedera Parah Dibelasah Penduduk Kampung

Besut – Seorang lelaki dipercayai terbabit kes curi kereta parah dibelasah penduduk kampung apabila keretanya tidak dapat dihidupkan sebaik rakannya melarikan sebuah kereta curi di Kampung Limbongan dekat Kampung Raja, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, suspek berusia 37 tahun cedera parah di kepala akibat dipukul penduduk yang berang dengan tindakan rakan suspek mencuri sebuah Proton Wira Aeroback hijau di depan sebuah rumah di perumahan belakang Kompleks Sekolah Kebangsaan (SK) Nur Zahirah di sini.

Sebelum kejadian, pemilik kereta yang berada dalam rumah terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan di depan rumahnya.

Pemilik kereta berusia 32 tahun itu keluar memeriksa bunyi tersebut dan mendapati keretanya yang diparkir di depan rumah telah dihidupkan seorang wanita yang duduk di kerusi pemandu.

Belum sempat mangsa menghalang, wanita itu terus melarikan keretanya dan pada masa sama, mangsa terpandang dua lelaki menolak Proton Iswara berwarna putih berhampiran rumahnya.

Mangsa menghampiri lelaki tersebut lalu menegur menyebabkan mereka bertempiaran melarikan diri.

Mangsa meminta bantuan penduduk sekitar dan akhirnya salah seorang daripada suspek berjaya ditangkap orang ramai yang kemudian bertindak membelasah lelaki itu sebelum diserahkan kepada anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kampung Raja.

Sinar Harian difahamkan suspek lelaki dan wanita yang melarikan diri itu dikatakan pasangan suami isteri.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kata beliau, lelaki yang berjaya ditangkap itu beralamat dari Kampung Kulim, Pasir Puteh, Kelantan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut akibat kecederaan di kepala dan ditahan di wad berkenaan sebelum dibenarkan keluar semalam.

Menurutnya, dua lagi rakan suspek yang juga dikatakan rakan sekampung berjaya meloloskan diri tetapi usaha mengesan mereka giat dilakukan.

“Proton Wira Aeroback yang dicuri dijumpai semula ditinggalkan suspek di tepi jalan di Kampung Nail, Kuala Besut kira-kira jam 8.30 malam hari sama,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut. -SH

1 ulasan:

..cik faTiha Tea'ah... berkata...

tula kan, nk ckp padan muka,tak elok, tp xde penyakit,pergi cari, ni baru kene belasah...dunia..dunia...