4 Dis 2011

Aziz Bari Bakal Ucapkan "Selamat Tinggal UIA" Awal 2012

Susulan siri tekanan, Aziz Bari tidak nafi timbang keluar UIA

KUALA LUMPUR, 4 Dis ― Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak menafikan beliau akan meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ekoran siri tekanan termasuk siasatan baru-baru ini berkenaan kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Islam (Jais)-gereja.

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan meninggalkan perkhidmatan di UIA awal tahun depan.

Malah difahamkan Aziz (gambar), 52, telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan UIA baru-baru ini dan diberi ‘penjelasan’ mengenai kedudukan semasa.

“Saya sedang mempertimbangkan perkara ini, ada beberapa opsyen,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai aspek tersebut tetapi difahamkan sudah tidak tahan dengan tekanan dan cara UIA melayan beliau sejak kebelakangan ini.

“Selama ini pun, sebelum isu Sultan ini timbul, universiti sudah sedia tidak senang dengan saya,” katanya dengan mengatakan bahawa surat tunjuk sebab yang diberikan UIA Oktober lalu merupakan surat tunjuk sebab ketiga.

“Itu sudah cukup untuk menunjukkan hebatnya tekanan ke atas UIA. Dalam kes ini kononnya pihak istana turut mengenakan tekanan. Ini semua menyukarkan saya untuk terus berada di UIA,” katanya lagi.

Insider difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.

Ditanya mengenai hal ini beliau berkata: “Di atas kertas saya fikir saya layak.”

“Saya sudah berumur 52 tahun dan telah menerbitkan sembilan buku mengenai pelbagai aspek perlembagaan (saya sedang menyiapkan yang ke-10).

“Saya juga telah menerbitkan lebih 70 bab dalam buku dan artikel jurnal di samping telah membentang lebih 150 kertas dalam pelbagai seminar dalam dan luar negara. Saya telah menyumbang lebih 400 artikel popular dalam media selain sering dipetik oleh media cetak, elektronik dan portal,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, UIA menghadapi dilema kerana kalau hendak mengekalkan beliau pun tak boleh apalagi hendak menaikkan pangkatnya.

“Jadi dalam keadaan demikian apa lagi pilihan saya selain meninggalkan UIA,” tambahnya.

Dalam pada itu difahamkan Aziz ada menerima tawaran dari tempat lain.

“Saya komited dengan dunia akademik tetapi keadaan tidak membenarkan. Selain isu (Kolej Universiti Islam Selangor) KUIS saya juga pernah diperlakukan begitu di Perak tahun lalu. dan sebenarnya semakin banyak agensi dan media yang dilarang membawa kenyataan saya,” kata beliau.

Aziz menambah, beliau sedih kerana pelajar-pelajar yang menanggung risiko, khususnya yang mengikut pengajian doktor falsafah di bawah penyeliaannya.

“Apa pun saya tidak menyesal; saya boleh meneruskan perjuangan saya di mana-mana. Mereka boleh halau saya tetapi mereka tidak boleh rampas ideal dan tekad saya,” katanya.

Dalam pada itu sumber menambah, ada pihak yang tidak mahu UIA memecat Aziz kerana itu akan memburukkan imej Umno-BN.

“Apa pun surat tunjuk sebab UIA itu tidak cukup kuat untuk memecat beliau,” katanya lagi.

Aziz disiasat atas alasan telah memudaratkan imej universiti.

Beliau juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Akhir bulan lalu, Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tiada langsung cita-cita mahu menyertai politik ataupun bertanding pilihan raya meskipun kalangan pemimpin Umno mencabarnya berbuat demikian.

Katanya, memberi pandangan di pentas ceramah pembangkang termasuk PKR baru-baru ini bukan bermakna beliau berhasrat mahu terjun ke dalam arena politik. -TMI

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

umno mahu cendiakawan yang boleh dibodohkan je..

Yong berkata...

Soi Lek dipuja. Aziz Bari dihina. Bagus punya jihad dan infaq.

Tanpa Nama berkata...

pernah kena ugutan dari orang UMNO-APCO kepada penjawat awam , kalau pro pembangkang akan ditukar 24 jam, kalau penjawat awam dan juga ahli UMNO di benarkan cuti tanpa rekot untuk menghadiri program UMNO pada bila bila masa dan diluluskan oleh ketua jabatan kerajaan kerana sokong UMNO.
UMNO adalah parti POLITIK yang menyalah guna kuasa dan wang cukai rakyat untuk ekpentingan KRONI mereka , rakyat terpaksa tanggung hutang yang di buat oleh REJIM UMNO>

Tanpa Nama berkata...

1: Kes Dr Aziz Bari adalah bukti terkini pembohongan Mamak Aziz Baling yg dakwa KERAjaan Be eNd tak pernah buang pensyarah yg tak rela dilembukan oleh umnoapco.
2: Bercakap depan penonton seakan-akan umnoapco tak pernah berbuat zalim mcm ni, Yg bestnya dengan nada suara selamba je menipu rakyat, Memang tak tau malu! Takda Maruah dan takda rasa hormat kepada rakan panel wacana dan audian.

Tanpa Nama berkata...

Masuk bertanding Doc.Kalau Pakatan Rakyat menawan Putrajaya,Doc. boleh jadi Mentri Perundangan.

Tanpa Nama berkata...

Ketiadaan Aziz Bari merugikan anak bangsa Melayu dalam bidang pelajaran. UMNO/BN tak mahu orang cerdik dan ada idea. Tengoklah yang ada dalam kabinet sekadar kelas 3 saja pemikiran dan idea mereka. Kalau begini sikap pemerintah negara dan pengurusan Universiti, maka negara tidak akan mencapai apa-apa bidangpun dalam kelas pertama seperti yang dilaung-laungkan. Di Universiti akan berlambak professor kangkong.

Tanpa Nama berkata...

Tahniah.
Jika itu yg sesuai dgn perjuangan teruskan. Rezki tetap ada di mana-mana.Awak boleh ambil peluang kerana awak dah ada nama ..

Kami mengharap awak akan membela agama dan kami di Sabak Bernam