6 Dis 2011

1,200 Orang Terkandas, Lelaki Buat Panggilan Bom Palsu Halang Kekasih Berkursus

Ipoh – Siasatan polis terhadap kes panggilan bom palsu hingga menyusahkan 1,200 pengguna kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim Khamis lalu hampir terungkai dengan tertangkapnya seorang lelaki yang disyaki berbuat demikian semata-mata hendak menghalang kekasihnya pergi ke Kuala Lumpur.

GAMBAR fail menunjukkan sebahagian penumpang beratur menaiki bas selepas perkhidmatan kereta api tergendala angkara panggilan bom palsu di Tapah Khamis lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 petang di Teluk Intan Sabtu lalu selepas polis mengenal pasti identitinya. Suspek yang merupakan jurujual di sebuah syarikat jualan langsung membuat panggilan dengan telefon bimbit.

Suspek berbuat demikian untuk menghalang kekasihnya yang juga bekerja di situ untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur. Difahamkan, dia cemburu kerana bimbang jika kekasihnya terpaut hati terhadap seorang rakan sekerja mereka yang turut mengikuti kursus itu.

Pasangan itu juga dikatakan sering bergaduh tetapi berbaik semula selepas keadaan reda. -kosmo


Pengedar barang ditahan gara-gara buat panggilan bom palsu

IPOH: Seorang pengedar barangan jualan langsung yang dipercayai membuat panggilan palsu pada Khamis lalu bahawa terdapat bahan letupan di landasan keretapi ditahan dua hari lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Teluk Intan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, lelaki berkenaan didapati mengunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan tersebut dengan menggunakan identiti orang lain.

Dia dipercayai berbuat demikian kerana mempunyai masalah peribadi dengan teman wanitanya.

"Lelaki terbabit dikatakan tidak membenarkan teman wanitanya yang berusia 25 yang juga bekerja sebagai pengedar barang jualan langsung pergi ke Kuala Lumpur menghadiri satu kursus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shukri berkata kecewa dengan sikap teman wanitanya itu, lelaki berkenaan mengambil tindakan dengan membuat panggilan palsu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah mengatakan terdapat sebutir bom di salah satu jambatan di laluan keretapi antara Bidor dan Tanjung Malim.

Akibat panggilan itu, laluan keretapi di sektor utara terpaksa ditutup sehingga menjejaskan perjalanan lebih 1,200 penumpang.

Siasatan polis kemudiannya menemui satu bonggol berhampiran sebuah jambatan di landasan di Km 259.25 berhampiran Slim River.

Bonggol itu diletupkan tetapi tiada bom yang ditemui tetapi hanya sekeping tikar yang dilipat yang mengandungi botol-botol kosong.

Shukri berkata suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. - Bernama


1 ulasan:

Naaimah Naaim berkata...

cemburu buta kot sampai mamat ni terdesak buat macam ni...