9 Nov 2011

[WASPADA] Harga Beberapa Barangan KR1M Jauh Lebih Mahal

Pakatan Rakyat menggesa pemimpin BN berhenti membuat promosi kononnya harga produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) lebih murah dan menjimatkan kerana perbandingan harga yang dibuat menunjukkan sebaliknya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tinjauan harga yang dibuat di KR1M dan pasaraya Carrefour menunjukkan perbezaan harga yang kecil malah ada sesetengah produk di Carrefour lebih murah berbanding di KR1M.

"Dalam pada sesetengah produk lebih murah di KR1M, ada produk yang jauh lebih murah di Carrefour iaitu 30 hingga 50 peratus," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut membawa pencuci lantai serbaguna dan cecair peluntur KR1M yang harganya lebih mahal berbanding di Carrefour serta mengedarkan salinan senarai harga produk KR1M yang lebih mahal berbanding pasaraya lain.

"Untuk 1 liter cecair peluntur KR1M, harganya RM1.90 iaitu 30 peratus penjimatan tetapi bila pergi ke Carrefour atau Tesco, harganya cuma RM1.29 iaitu 40 peratus lebih jimat daripada KR1M," katanya sambil menunjukkan produk tersebut kepada pemberita.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada sidang media sama mempersoal peruntukan RM40 juta untuk KR1M yang didakwa tersasar daripada tujuan sebenar kewujudannya.

Beliau berkata, sangat malang apabila kerajaan memperuntukkan dana yang besar dengan alasan untuk meringankan beban rakyat namun pada masa yang sama melakukan penipuan harga.

"Bagaimana kerajaan membelanjakan RM40 juta ke arah mewujudkan 85 unit KR1M apabila di lapangan harga yang ditawarkan adalah jauh menyasar daripada pengumuman?

"Iklan yang dibuat oleh GTP serta pengumuman kementerian tidak terlalu kasar jikalau hakikat sebegini dikatakan adalah satu bentuk penipuan kepada rakyat," katanya.

Selain itu turut dipersoal mengenai tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP Oktober lalu yang dikatakan menawarkan harga rendah sehingga 40 peratus daripada pasaran biasa bagi membantu rakyat di sekitar ibu kota terutama golongan asnaf dan rakyat termiskin.

Sedangkan katanya sudah terbukti dakwaan produk jenama 1Malaysia mempunyai kualiti setanding dengan pasaran biasa adalah satu penipuan.

"Bagaimana pihak MAIWP menjustifikasi penggunaan duit rakyat dalam mewujudkan kedai-kedai ini?


"Berapakah jumlah dana yang akan diguna, berapa jumlah kedai yang akan diwujudkan, dan dari sumber apakah dana ini diambil?" soalnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tiada gunanya kerajaan mempunyai hasrat yang murni untuk membantu rakyat tetapi pelaksanaannya tidak menunjukkan demikian.

"Kerajaan tidak ada pertanggungjawaban dalam memastikan pelaksaannya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

"Apa gunanya kalau produk yang sama, harga lebih tinggi tetapi cuma ditulis 'dibungkus oleh Kedai Rakyat 1Malaysia', katanya. -HD

Ke mana subsidi RM40 Juta Kedai 1Malaysia?


KUALA LUMPUR 9 Nov: Pakatan Rakyat mempersoalkan kemana hilangnya subsidi sebanyak RM40 juta yang diberikan kepada 85 unit Kedai Rakyat 1Malaysia.

Ini berikutan terdapat produk-produk yang ditawarkan oleh kedai berkenaan jauh lebih mahal berbanding produk yang dijual di pasaraya tempatan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan peruntukan berkenaan yang diumumkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Belanjawan 2012, 7 Oktober lalu.

“Di mana perginya (wang itu)? Bagaimanakah ia dibelanjakan? Tujuan utama Kedai 1Malaysia adalah untuk meringankan kos serta mengurangkan beban rakyat dengan 250 produk 1Malaysia sehingga 40% lebih murah.

“Kalau dia kata memang murah dari harga dipasaran, kita (Pakatan) buktikan sebaliknya,” Katanya di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua yang turut hadir pada sidang media sama membandingkan beberapa barangan termasuk peluntur yang dijual RM0.60 sen lebih mahal berbanding pasaraya lain.

Beliau turut melampirkan satu salinan harga sebanyak 23 barang keperluan yang membuktikan ia tidak semurah didakwa malah ada yang lebih mahal.

“Kenapa PM kita menjanjikan ‘langit’ kepada rakyat yang kononnya harga barang lebih murah tapi sebaliknya?

“PM boleh cakap pada rakyat bahawa barang di Kedai 1Malaysia lebih murah tapi dia juga perlu promosi pasaraya lain yang lebih murah,” sindir Tony Pua.

Dalam sidang media sama, Nurul Izzah turut mempertikaikan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP yang kononnya “menawarkan harga rendah bagi membantu rakyat di sekitar ibu kota terutama golongan asnaf dan rakyat termiskin.

“Saya bangkitkan soalan ini kerana MAIWP pernah terbabit dalam salah guna dana apabila RM31,150 wang zakat diguna bagi membayar peguam dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Izzah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan wang itu dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Perkara itu diakui sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah dalam jawapannya di Parlimen sebelum ini. -KD




5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak habis-habis nak menipu rakyat, kerajaan umno-apco ni

Tanpa Nama berkata...

kedai rakyat pala hotak hgpa laaaaa.

Tanpa Nama berkata...

Pasaraya besar beli borong barangan jadi dapat jual murah berbanding peniaga yang beli bekalan secara borong kecilan. Payahlah nak percaya boleh murah kat KR1M. harag nasi berlauk kat restoren 1M pun bukan RM3 seperti diwar-war..nasi kosong pun selalunya dah RM1.50

Tanpa Nama berkata...

Biasa lah PEMBOHONG PENIPU....rakyat di minta jgn di perbodoh2 kan olih pemerintah yg pengkhianat....pada bangsa,Agama dan negara...fikir2lah nak jatuhkan pengkhianat ni jatuhkan dalam PRU13 nanti...jgn..tertipu dgn gula2 yg di bagi....

konfius dot com berkata...

Saya ada buat kajian lebih 300 barang2 di Tesco, Mydin, Giant dan 99 Speedmart. Takde kesempatan lagi untuk Carrefour. List tu belum complete. Tapi saya ada buat summary list membandingkan semua harga barang untuk lebih 20 barang dan dapat berjimat RM40 untuk 20 barang. List barang2 tu boleh download kat http://www.konfius.com
Sebenarnya list ni utk mak saya dan saya harap dapat update list ni setiap minggu walaupun dalam kesibukan bekerja di universiti malaya.
Ini ada kempen kesedaran saya buat dlm kesibukan bekerja
http://www.youtube.com/watch?v=8mCdL0sIXk0