13 Nov 2011

Penduduk Kampung Gempar Dikejutkan Bunyi Letupan

Johor Baharu: Penduduk Kampung Wadihana di sini gempar apabila dikejutkan oleh satu bunyi letupan yang kuat awal pagi Sabtu. Letupan pada jam 7.15 pagi dipercayai berpunca daripada injap pelepas angin pada paip berukuran 80cm di sebuah lurang di Jalan Mohamad Taib di kampung itu.

Letupan itu menyebabkan permukaan jalan tar merekah teruk dan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan terhumban 0.3048 meter dari tempat asal dan mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Syed Najib Syed Yassin, 46, berkata beliau dan keluarganya baru hendak bersarapan apabila dikejutkan bunyi dentuman tersebut.

"Bunyi kuat macam bom, dentuman tu sekali saja, tiada gegaran atau sebagainya," katanya yang meluru keluar rumah sebaik letupan itu berlaku.

"Saya rasa ia disebabkan tekanan yang kuat pada paip bawah tanah itu menyebabkan jalan ini pecah," katanya sambil menambah bekalan air dari paip itu telah terputus sejak semalam kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan berdekatan kawasan tersebut. Pemilik kereta yang rosak, Ismail Abdullah, 55, berkata menjadi kebiasaan meletakkan kenderaannya di jalan itu.

"Mulanya saya sangka pokok tumbang, tapi apabila keluar rumah saya dapati, jalan telah meletup dan kesannya terkena kereta saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ), Jamaluddin Jamil mengakui pihaknya melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan itu sejak beberapa hari lalu dan letupan berpunca daripada injap pelepas angin paip itu yang terbuka.

Angin yang keluar dari injap berkenaan meningkatkan tekanan udara di dalam lurang itu menyebabkannya meletup.

"Ini adalah kejadian pertama dan siasatan akan dilakukan, kita berharap penduduk tidak berasa bimbang, manakala pemilik kereta boleh hadir ke pejabat SAJ bagi tindakan susulan," katanya. -BERNAMA

Paip letup disangka gempa bumi

JOHOR BAHRU: “Saya sangka berlaku gempa bumi apabila melihat sebahagian laluan tapak parkir meletup hingga mengakibatkan sebuah kereta Proton Saga beralih sebelum bunyi kuat,” kata penduduk di Jalan Mohd Taib, Wadihana, Syed Najib Syed Yassin, 46, semalam.

Peniaga itu berkata, kejadian aneh berlaku jam 7 pagi di sebuah parkir di depan sebuah kondominium di Wadihana ketika dia dalam perjalanan dari rumah ke sebuah kedai runcit untuk membeli sarapan.

Menurutnya, kejadian itu mengejutkan ratusan penduduk yang bimbangkan keselamatan keluarga masing-masing berikutan tapak terbabit biasanya menjadi tempat kumpulan pelajar menunggu bas sekolah.

Katanya, kejadian mengakibatkan sebahagian parkir itu merekah teruk, selain kereta Proton Saga mengalami kerosakan di bahagian bampar.

“Biarpun kejadian itu hanya membabitkan kerosakan sebuah kereta, kami bimbang ia berulang pada masa depan dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Syawal Armin, 30, berkata orang ramai percaya kejadian itu ada kaitan dengan kerja penyelenggaraan paip yang dijalankan Syarikat Air Johor (SAJ) Holdings, kelmarin.

“Mungkin letupan itu berpunca daripada tekanan paip air dan diharap SAJ segera mengambil tindakan sesuai dengan bagi mengelak kejadian lebih serius berlaku.

“Kami bimbang ia berulang pada masa depan dan boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAJ, Jamaluddin Jamil berkata, pihaknya menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan itu beberapa hari lalu dan letupan berkenaan disebabkan oleh penutup paip yang terbuka.

Katanya, punca penutup terbuka disebabkan angin dari penutup terbabit sehingga mengakibatkan tekanan kuat, menyebabkan letupan hingga menjadikan jalan merekah.

“Ini kejadian pertama dan siasatan akan dijalankan. kita berharap penduduk tidak bimbang sementara tindakan sesuai dilakukan dan pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan boleh datang ke pejabat SAJ untuk tindakan susulan,” katanya.-hm


Tiada ulasan: