17 Nov 2011

Orang Asli 68 Kampung Berdemo Beri Amaran Kepada MB Negeri Sembilan

300 Orang Asli bantah depan SUK NS

SEREMBAN: Lebih 300 Orang Asli dari seluruh Negeri Sembilan hari ini menyuarakan bantahan selama tiga jam di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli.

Sejurus selepas itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar baru itu.

Jurucakap ‘Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan’ (JKKOANS), Ezuli Langkap berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan sekeras-kerasnya sepertimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 22 September lalu.

“Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan.

“Setiap keputusan yang dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan kami. Beliau langsung tidak sensitif kepada masyarakat kami.

Sebaliknya beliau telah memperlekehkan masyarakat kami yang merupakan masyarakat asal Negeri Sembilan dan Malaysia”, kata Ezuli.

Tanah adat

Mengikut Ezuli, pelaksanaan Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli nanti akan menyebabkan mereka kehilangan hak turun-temurun ke atas tanah adat mereka.

“Semua tanah adat kami akan diambil alih kerajaan. Seterusnya kerajaan akan beri dua ekar tanah yang akan dimajukan samada oleh Felcra atau Risda.

“Selepas itu kami tak perlu lakukan apa-apa dan bayaran sebanyak RM1,500.00 dalam bentuk saham lot akan diberikan setiap bulan.

“Kami membantah langkah ini kerana dengan ini kami akan kehilangan hak ke atas tanah adat resam kami yang kami usahakan sejak zaman nenek moyang kami.

“Malah kami mampu mencari pendapatan melebihi dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya ketika ini ramai di antara kami menoreh getah, menjual petai dan akar kayu,” jelas Ezuli.

Ezuli mendesak kerajaan negeri agar membatalkan dasar pemberimilikan tanah yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.

Beliau menggesa supaya keseluruhan wilayah tanah adat mereka diiktiraf mengikut Artikel 26 dalam Undang-Undang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) berkenaan dengan hak Orang Asal. -FMT

Dakwa dihina MB: Orang Asli 68 kampung berdemo

Kira-kira 100 Orang Asli daripada 68 perkampungan sekitar Negeri Sembilan berhimpun di bangunan setiausaha kerajaan negeri di Seremban bagi menuntut menteri besar memohon maaf kerana menyamakan kampung mereka dengan "setinggan".

Menamakan diri mereka Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan (JKKOANS), kumpulan itu mendakwa kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 September lalu sebagai "menghina" dan "tidak sensitif".

"Mohamad Hasan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana ia amat mengguris hati kami dan juga mendedahkan lagi kehidupan kami dan anak-anak kami kepada rasa tidak hormat masyarakat luar kepada kami," kata penyelaras JKKOANS Langkap Kessu.

Mohamad dilaporkan berkata, perkampungan Orang Asli sebelum ini dibina di atas tanah hutan simpan atas ihsan negeri dan secara tidak langsung bermakna "kampung setinggan" dan mereka tidak mempunyai hak ke atasnya.

Justeru, katanya, kerajaan negeri membuat kajian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mengenal pasti semua kampung Orang Asli untuk diberi hak milik tanah kepada pemilik rumah.

Langkap menyangkal kenyataan itu atas alasan nenek moyang mereka berkurun lama menduduki wilayah tanah adat itu, malah perkampungan mereka lebih awal daripada rizab hutan simpan.

Teriak, sorak 3 jam

Tambahnya, kenyataan Mohamad juga bercanggah dengan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 13 (hak kepada harta benda) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian bukan Orang Asli yang menceroboh rizab hutan simpan tetapi pihak-pihak yang berkenaan yang mencerobohi wilayah tanah adat kami," kata Langkap.

"Kami mengakui bahawa kami miskin dari segi wang ringgit namun demikian bukan bererti kerajaan negeri atau kerajaan pusat harus membuat sesuatu atas nama untuk membangunkan kami tanpa menghormati apakah pandangan dan keputusan kami dalam perkara itu."

Sebelum itu, Orang Asli yang menunggu Mohd Hasan menghadiri mesyuarat Exco lebih tiga jam berteriak, bersorak dan membawa banyak kain rentang.

Beberapa slogan - seperti "Jangan ganggu kami", Jangan menghina asal usul nenek moyang kami dengan perkataan setinggan" dan "Di mana nenek moyang kami dikuburkan, di situ wilayah tanah adat kami" - kelihatan dipamerkan.

Sementara itu, ketika menerima memorandum tersebut Mohd Hasan berkata kepada Langkap bahawa beliau akan membaca kandungannya terlebih dahulu. -mk


Tiada ulasan: