17 Nov 2011

Benarkah Najib Pemimpin Sederhana?

Mampukah UMNO membuang sifat ekstremis untuk menjadi sederhana menjelang Perhimpunan Agung UMNO agar selari dengan laungan Datuk Seri Najib Razak di luar negara yang mahu semua agama menentang puak pelampau?

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini merupakan persoalan yang membingungkan rakyat Malaysia kerana tuntutan kaum dan agama melampau yang wujud hari ini datangnya dari didikan UMNO, termasuk melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.

Bolehkah Najib menjadi Perdana Menteri yang sederhana sedangkan beliau membenarkan Utusan Malaysia memfitnah, menimbulkan kebencian kaum dan agama serta membuat tuduhan tidak berasas bahawa DAP mempunyai konspirasi menubuhkan negara Kristian?

“Bila Najib di luar negara, beliau akan meletakkan dirinya sebagai penentang puak pelampau, tetapi di dalam negara beliau langsung tidak melakukan apa-apa langsung sejak 31 bulan untuk menyederhanakan pelampau kaum dan agama,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai respon kepada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Januari depan, sebulan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011.

Najib memperkenalkan GMM pada Persidangan PBB ke-65 tahun lepas dengan agenda menentang fahaman pelampau dan menggesa golongan sederhana dari semua agama mengamalkan semangat keamanan dan pragmatisme.

“Bolehkah Najib melepasi ujian ini sebagai Perdana Menteri yang sederhana pada perhimpunan agung UMNO nanti, sebelum Persidangan Antarabangsa GMM pada bula seterusnya?” kata Kit Siang. – Roketkini

Najib rasmi Seminar Pemahaman Wasatiyyah, 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia pada 26 November sebelum Perhimpunan Agung Umno di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata seminar itu akan mengupas lebih mendalam maksud Wasatiyyah dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Najib.

Katanya, istilah Wasatiyyah secara mudahnya bermaksud "pemikiran tidak ekstrem" seperti yang diamalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

"Wasatiyyah ini adalah satu gerakan yang dipelopori oleh Datuk Seri Najib dan sentiasa disebut oleh beliau bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara dalam ucapan beliau, terbaru di Hawaii, Amerika Syarikat.

"Ia kini menjadi perhatian pemimpin luar tetapi sebelum ia laku di luar negara, dalam negara ini sendiri ia perlu difahami oleh pimpinan dan juga rakyat dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia," kata Ahmad pada sidang akhbar mengenai seminar berkenaan di sini, hari ini.

Ahmad menjelaskan kefahaman terhadap Wasatiyyah perlu kerana istilah itu kini diertikan sebagai kesederhanaan, pertengahan dan perimbangan.

Seminar julung kali mengenai Wasatiyyah anjuran UMNO itu akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
"Lebih 1,000 kad jemputan sudah dihantar dan sehingga kini lebih 600 peserta mengesahkan kehadiran mereka," katanya.

Peserta terdiri daripada kalangan pemikir, ahli akademik, warga korporat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad berkata, mereka termasuk presiden International Movement for a Just World, Dr Chandra Muzaffar, bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

"Antara aspek yang akan dibincangkan ialah bagaimana konsep Wasatiyyah diguna pakai dalam pelaksanaan pentadbiran agama dan bagaimana organisasi boleh memanfaatkan amalan kesederhanaan," katanya. Sekretariat seminar itu boleh dihubungi di talian 03-40436433. - BERNAMA


Ulasan GB

Firmanullah s.w.t.:


Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu, melainkan untuk pengetahuan Kami tentang siapakah yang mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan kiblat) itu amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan tidaklah Allah akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman). Al-Baqarah:143


Ummatan wasatan - Mengikut kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Kitab Tafsir At-Tabari, Fi Zilal Al-Quran, Al-Munir, Al-Sayuthi dan Al-Qurthubi, "wasat" (akar kata wasatiyyah) ialah adil.

Jika ada yang mentafsirkan dengan "pertengahan" atau "sederhana", ia menyimpang dari maana sebenar "wasatiyyah".

Dan jika mahu juga diterima wasatiyyah itu sebagai pertengahan atau sederhana, maka Rasulullah itulah contoh tauladan wasatiyyah yang sebenar.

Mengikut keseluruhan ajaran Islam itulah yang sebenarnya di katakan wasatiyyah.

Justeru itu, wasatiyyah bukan bererti terimaajaran Islam separuh, tolak separuh supaya dapat dikatakan "sederhana".

Wasatiyyah bukan bererti boleh mengizinkan pemimpin berlaku curang kepada rakyat. Bukan bererti boleh menekan rakyat dan berlaku zalim sesuka hati. Bukan bererti boleh membiarkan isteri membogelkan kepala tanpa bertudung, bukan bererti boleh menangkap orang memberi tazkirah ugama sesuka hati, bukan bererti mengutamakan bangsa sendiri dengan menekan bangsa lain.

Yang menghairankan pemimpin yang bercakap tentang wasatiyyah sendiri bukanlah seorang pemimpin yang "sederhana" sepertimana yang dia maksudkan. GB tak perlu dedahkan keaibannya tetapi masing-masing sudah sedia maklum keidupan "kebangsawanan" sang perdana menteri yang kos penyelenggaraan Seri Perdana sahaja adalah RM1.89 juta setahun. Wasatiyyah?

1 ulasan:

getik aku nengok blogger umno berkata...

Wasatiyyah??

woi najib, hang konrol dulu perangai boros rosmah tu.

lepaih tu baru boleh cakap pasai wasatiyyah