3 Nov 2011

Hanya Menteri Bermentaliti Lapuk Seperti Nazri & Khaled Nordin Mahu AUKU Dikekalkan

Tiga MP BN gesa Putrajaya tak rayu, mansuh Seksyen 15 AUKU

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan menteri menggesa Putrajaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama mereka menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik dibawa Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Kata beliau, perbincangan teliti akan dibuat di peringkat kementerian, sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet, secepat mungkin.

Hari ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

“Boleh, dengan sendirinya,” kata Saifuddin pada sidang media di Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Khairy menambah: “Dengan keputusan mahkamah itu, ia dah jadi lapuk.”

Sementara itu Gan berkata, “mahkamah sudah buat keputusan, Seksyen 15(5)(a) sudah tidak wujud. Mahasiswa boleh terlibat dalam politik.”


Saifuddin menambah keputusan sama ada mahu membuat rayuan kemungkinan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok, namun beliau bersama Khairy dan Gan berharap Putrajaya tidak akan membuat rayuan.

“Keputusan nak buat rayuan atau tidak akan dibuat dalam Kabinet esok, mungkin perkara ini akan ditimbulkan. Pertimbangan yang ada sama ada mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan atau tidak.

“Kalau buat rayuan dan kemudian mahkamah tolak dari segi moral kita sudah kalah, jadi tidak perlu buat rayuan. Kalau tidak buat rayuan kita perlu teruskan perbincangan untuk meminda AUKU,” katanya. -TMI


I - Nazri: AUKU masih kekal, keputusan mahkamah satu pandangan

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Kerajaan menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kekal terus digunakan meskipun mahkamah telah memutuskan peruntukan undang-undang itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) memberitahu Parlimen hari ini bahawa “akta itu masih satu akta.”

Kata beliau, undang-undang itu yang melarang pelajar daripada menyertai aktiviti politik masih kekal tidak berubah sebab keputusan Mahkamah Rayuan hanya satu pandangan institusi kehakiman.

“Sekarang terpulang kepada Peguam Negara sama ada mahu membuat rayuan dengan keputusan itu. Sehingga perkara itu dimuktamadkan, kita tida boleh kata apa-apa,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas ini.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan memutuskan AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan — keputusan yang dilihat bersejarah dalam undang-undang melibatkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.

Keempat-empat pelajar itu sudah pun menawatkan pengajian mereka dan menerima ijazah pada majlis konvensyen September lalu.

Mereka berempat, ketika itu pelajar jurusan sains politik, ditahan oleh polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah, Hulu Selangor pada 22 April 2010.

Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang. -TMI

II - Menteri Pengajian tinggi perjelas isu Seksyen 15 (5)(a) AUKU



SERDANG: Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar berpolitik bertujuan memastikan matlamat utama pendidikan untuk membina minda dan keupayaan intelektual pelajar dipenuhi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penjelasannya semalam, berkata ia juga bagi mengelakkan mereka terikat secara langsung dengan parti politik, manakala Perlembagaan memang membenarkan sekatan tertentu untuk kepentingan pendidikan.

Beliau berkata, jika dibenarkan menjadi ahli atau memegang jawatan politik, pelajar akan terikat dengan ideologi dan peraturan parti yang perlu dipatuhi, sekali gus menjejaskan matlamat pendidikan untuk membina minda dan keupayaan berfikir pelajar.

“Dari sudut pendidikan, Perlembagaan membenarkan supaya ada sekatan dan perkara ini perlu diberi penekanan kerana memang menjadi matlamat institusi pengajian tinggi dan matlamat utama pendidikan untuk membina pemikiran pelajar.

“Ada orang kata jika menyertai parti politik akan menerbitkan keintelektualan di kalangan pelajar, tetapi kita lihat ramai pelajar tidak menyertai parti politik pun untuk mencapai tahap itu (intelek),” katanya selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, bercanggah dengan Perlembagaan.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham, Wong King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu sebelum membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled bagaimanapun berkata, seksyen itu membenarkan pelajar menjemput wakil parti politik menyertai program di kampus bagi membolehkan mereka mendengar pandangan parti politik berhubung sesuatu perkara.

Beliau juga berkata, orang ramai perlu memahami mengapa AUKU tidak membenarkan pelajar menjadi ahli kepada parti politik. -BH


Ulasan GB

Kedua-dua menteri berkenaan sepatutnya sudah boleh dikenakan tindakan MENGHINA MAHKAMAH.

Setiap keputusan mahkamah adalah "undang-undang" yang mengikat dan perlu dipatuhi di bawah Common Law, iaitu sistem undang-undang yang digunapakai di negara ini. Keputusan mahkamah BUKAN sekadar pandangan.

Dua menteri berkenaan juga adalah contoh menteri yang bermentaliti kolot yang masih ingin mempertahankan kuasa melalui pengenaan undang-undnag yang tidak demokratik.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau mengikut logik Nazri Botak, Nizar sepatutnya masih lagi MB negeri Perak kerana kepustusan makahmah hanya satu pandangan sahaja. Bodoh punya menteri, mengubah permainan mengikut rentak sendiri.