6 Okt 2011

Waspada: Wang Palsu Berlegar, Penjual Burger Dah Terkena

Peniaga Burger Buat Laporan Polis Terima Duit Palsu

YAN, Seorang peniaga Rabu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini setelah mensyaki menerima duit palsu daripada seorang remaja lelaki yang membeli burger di gerainya semalam.

Azhar Ahmad, 36, dari Kampung Titi Raga berkata remaja itu membayar dengan wang RM50 bagi enam burger yang dibelinya.

Katanya kejadian itu berlaku kira-kira 10 malam dan waktu itu terdapat ramai pelanggan sedang menunggu giliran untuk mendapatkan burger masing-masing menyebabkan beliau tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap status duit itu.

"Budak lelaki tersebut datang dengan sebuah kereta. Dia yang pandu bersama seorang kawan, dan dia telah memesan sebanyak enam biji burger berharga RM11.

Setelah siap dia bagi duit tersebut, pada masa dia bagi duit, saya dapat rasa lain macam sahaja apabila pegang duit itu, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa sebab masa itu pelanggan ramai, sibuk siapkan pesanan semua," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Azhar berkata beliau menyedari bahawa duit itu disyaki duit palsu selepas 20 minit kemudian, setelah selesai memenuhi pesanan semua pelanggan yang datang pada malam tersebut. -- BERNAMA

Guna Wang Palsu: Wanita Dihadapkan Ke Mahkamah

SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan menggunakan sekeping wang palsu RM100 untuk membeli sepasang kasut di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada Ahad lepas.

H. Malini, 21, dari Sungai Petani, Kedah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.30 malam pada 2 Oktober lepas dan dituduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin.

Malini, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia perlu membayar sewa bilik sebanyak RM450 dan tidak mengetahui bahawa wang itu adalah palsu.

Hakim Mohd Fadhir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes. -BERNAMA



1 ulasan:

ila berkata...

Susahlah zaman sekarang..nak pakai duit pun takut..jadi kita semua terpaksalah berwaspada dan berhati-hati..