8 Okt 2011

Ulasan Bajet: Banyak Gula-gula Pilihanraya, Rakyat Terus Memikul Bebanan Hutang

Bajet 2012: Najib cedok belanjawan Pakatan

Kerajaan hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi perbelanjaan pembangunan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.

"Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

"Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini," jelasnya.

Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.

"PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu.

"Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya.

Persoalan besar

Dalam pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara.

"Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.

"Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi.

Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan.

"Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta.

"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.

"Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi.

Cedok bajet Pakatan

Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi.

Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.

"Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi. -HD

Bajet 2012: Bajet pancing undi PRU-13

Secara keseluruhan, Bajet 2012 yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya bajet pancing undi bagi memastikan BN terus kekal memerintah," kata Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, apa yang jelas dalam bajet itu hampir semua ransangan yang dibuat hanya dalam bentuk pembangunan fizikal, tidak ada penekanan dalam bentuk pembangunan rohani dan pemulihan akhlak masyarakat.

"Banyak perkara juga yang diciplak dari bajet Pakatan Rakyat. Tiada insentif yang banyak pada sektor swasta," katanya sebagai respon awal kepada Harakahdaily.

GST menunggu

Disebalik insentif yang bersifat "gula-gula" pilihan raya itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS mengingatkan rakyat agar tidak lupa cukai barangan perkhidmatan GST yang akan dibentang di Dewan Rakyat yang sekaligus akan membankan pengguna.

"Kita tidak nampak penurunan cukai kepada sektor koperat. Walaupun ada banyak cukai tak lansung diturunkan, namun rakyat jangan lupa cukai GST sedang menunggu akan diluluskan dalam sesi ini di Dewan Rakyat.

"Maka semua rakyat akan dikenakan cukai pada semua jenis perkhidmatan dan barangan yang bakal dilaksanakan lepas PRU 13.

Kelantan terus dipinggir

Beliau juga mendakwa, bajet pilihan raya Najib itu memperlihatkan kesinambungan peminggiran terhadap rakyat Kelantan.

Beliau merujuk kepada peruntukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) satu bilion ringgit yang diumum Najib yang hanya meliputi Perlis, Perak dan Johor sahaja.

Bagaimanapun beliau mengalukan semua bonus dan manfaat yang diberikan untuk rakyat, namun mempersoal kenapa ianya dibuat secara terpilih.


Bajet: Reaksi pemimpin Pakatan Rakyat

Mahfuz Omar (Pokok Sena)

Gembira kerana kerajaan mengambil tawaran-tawaran dalam bajet Pakatan Rakyat, "yang penting rakyat dapat sesuatu."

"Tetapi apa yang saya bimbang, banyak bantuan itu bersifat one off. Apakah jaminan bahawa bantuan ini tidak akan ditarik balik selepas ini?

"Segala pemberian itu dapat ditarik balik oleh PM mengikut harga minyak yang diumumkan pada masa akan datang."

"Saya tidak bersetuju dengan pengecualian cukai ke untuk pengusaha teksi, sebab yang untung syarikat teksi.

"Mereka ini yang banyak dapat permit daripada kerajaan, bukannya pemilik teksi individu."

Lim Guan Eng

Bantuan yang diberikan kepada rakyat itu kali pertama diberikan. Sebelum ini tidak diberikan langsung, tentulah kita rasa itu amat wajar. Tapi jumlah yang diberikan amat kecil (bantuan untuk warga emas).

Lebih baik beri RM1,000 seperti dicadangkan Buku Jingga. Kita tidak tahu apakah ia hanya diberikan setiap tahun atau hanya lima tahun sekali.

Hanya masa pilihanraya saja bagi, lepas itu tak ada bagi lagi. Bukan macam negeri Pakatan Rakyat, setiap tahun kita bagi tak kira ada pilihan raya atau tidak.

Nurul Izzah (ahli parlimen Lembah Pantai)

Saya bimbang, tak tahu kerajaan nak dapatkan dari mana sumbernya untuk perbelanjaannya.

Potongan perbelanjaan pun tidak disebut, kemudian mahu ditambah pula elaun untuk ahli parlimen.

Kita nak perkasakan parlimen tetapi tidak semestinya dengan naikkan gaji ahli parlimen bila masa rakyat terbanyak sedang susah.

Dalam pendidikan, dan juga elaun kepada kerajaan, dan juga bonus kepada pesara itu serupa (dengan tawaran Pakatan).

Saya tidak tolak, demi rakyat kita terbuka. Pertembungan idea, dasar diambil merupakan idea terbaik demi rakyat.

Tian Chua (ahli parlimen Batu)

PM sebut budaya politik baru, konfrontasi antara kerajaan dengan pembangkang itu bukan lagi corak budaya yang hendak diteruskan. Kita setuju.

Tapi kalau ini hendak diteruskan, bukan atas mulut saja. Media harus dibuka supaya kedua-dua pihak dapat berbahas dan membanding.

Penekanan Pakatan dalam tiga tahun ini ialah kebajikan. Kita telah berjaya alihkan tumpuan ekonomi dulu, BN dengan projek mega, kini ada persamaan dalam tumpuan kepada golongan bawahan.

Orang yang terima gaji lebih rendah, keluarga miskin dapat bantuan. Tapi tak cukup dengan bantuan one off.

Lebih penting lagi ialah kukuhkan institusi supaya pembahagian harta negara ini lebih telus dan adil.

Kita juga tekankan kecekapan institusi kerajaan di mana rasuah dapat dikurangkan dan ketirisan dikurangkan.

Ini tidak banyak ditekankan dalam bajet PM, contohnya pengukuhan SPRM, Suhakam, dan kehakiman. Ini tidak disebut dalam belanjawan. -mk



Diantara Gula-gula Yang Ditaburkan


Grafik ehsan TMI







4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yahoo!! klu aku dapat tempias2nya ... aku amik, tapi undi tetap aku tak undi BN . Tu duit rakyat.

Aku harap2 yg terima2 tu pendirian macam aku, tak lupa daratan dgn perkara2 yg tak manfaat & tak mendatangkan pahala lansung.

Tanpa Nama berkata...

Pikirlah.....50 tahun lebih memerintah...setelah Pakatan Rakyat dpt nafikan 2/3 kuasa BN...baru ada sedikit perubahan BN terhadap rakyat. Jika nak BN buat perubahan lebih banyak pastikan rakyat lebih kuat menyokong pakatan rakyat. Ini kelebihannya bila ada 2 parti berkuasa...

Tanpa Nama berkata...

Tak sama bajet orang yang ada duit dan bajet orang yang tak ada duit. Bajet atas kertas bagi orang yang tak ada duit boleh buat macam-macam untuk bagi senang orang yang membaca. Bagi orang yang ada duit kalau buat bajet, 5 sen pun kena kira. bah

Tanpa Nama berkata...

Anon 9:32
Jika anda 'rakyat baharu' aku tak kisah tapi jika anda 'ori sabahan', aku kesihan.