28 Okt 2011

Mengapa Perlawanan Akhir Piala Malaysia Di Stadium Shah Alam, Bukan Di Bukit Jalil?

Nyawa peminat sukan jadi pertaruhan? – Oleh Muhamad Izwan

Kenapa perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 akan di Stadium Shah Alam dan tidak di Stadium Nasional di Bukit Jalil seperti kebiasaannya? Itu antara persoalan yang bermain dalam kepala sebaik sahaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggan final tahun ini.

Selepas isu tersebut menjadi tanda tanya tanpa sebarang alasan diberikan, hanya baru-baru ini jawapannya diketahui.

Namun, kalau dahulu faktor padang rosak boleh dijadikan alasan, kali ini apabila alasan yang sama cuba diberikan, ia pasti mengundang lagi rasa sangsi di kalangan orang ramai.

Bumbung stadium berskru longgar dan karat

Laporan media mendedahkan bahawa bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil sebenarnya sudah tidak selamat digunakan sejak 2006 malahan proses membaik pulih masih belum berjalan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, bumbung stadium itu telah tamat tempoh jaminan tiga tahun lalu dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Laporan itu yang menyatakan “sebahagian besar bumbung didapati telah terkoyak dan skru kabelnya longgar dan berkarat” turut mendedahkan punca masalah, iaitu kelewatan dan ketiadaan kelulusan peruntukan daripada kerajaan.

Lebih mengejutkan ialah apabila pihak yang menguruskan stadium tersebut, iaitu Merdeka Stadium Corporation (MSC), mengatakan permintaan mereka kepada pihak kerajaan sebanyak empat kali telah ditolak tanpa alasan.

Kalaulah insiden tidak diingini semasa perlawanan jelajah kelab Liga Perdana Inggeris Arsenal, Liverpool dan Chelsea baru-baru ini berlaku, di manakah hendak letak muka dan maruah negara kita?

Lebih membingungkan lagi, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak terutamanya para menteri. Beginikah pemimpin yang dikatakan mahu mementingkan rakyat?

Sudah kebiasaan, sikap kerajaan adalah “bila terhantuk baru terngadah”.

Stadium di Malaysia pernah roboh

Kalau insiden roboh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 2009 berulang di Bukit Jalil, apakah reaksi daripada kerajaan? Adakah dengan sekadar menyalahkan orang lain dan menunding jari dapat menyelesaikan masalah?

Dalam kekalutan permasalahan isu Stadium Nasional Bukit Jalil, dua lagi berita wajar dijadikan perbandingan dan congakan peminat sukan tempatan negara.

Dilaporkan sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan untuk membeli 23 kuda tetapi daripada jumlah itu, hanya lima sahaja layak beraksi di World Endurance Championship (WEC) 2008. Bukankah ini satu pembaziran?

Begitu juga projek ternakan lembu milik kerajaan berjumlah RM73.64 juta yang gagal mendatangkan hasil seperti yang ditetapkan.

Ke mana perginya wang rakyat?

Kemanakah wang-wang ini semua pergi? Adakah Datuk Seri Najib Razak boleh menjawabnya atau sekadar lari daripada memberi jawapan?

Kesimpulannya, memang wajar cadangan daripada wakil DAP Tony Pua yang mahu mewujudkan Suruhanjaya Ketelusan Kewangan (FAC) bagi mengambil tindakan ke atas pegawai kerajaan yang bersalah menguruskan kewangan yang ditetapkan, disokong penuh.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP mencadangkan supaya FAC itu dianggotai oleh pakar profesional dalam bidang audit dan integriti seperti Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Transparency International (TI) Malaysia.

FAC hanya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan diberi kuasa menghukum serta mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah.

Mungkin ini dapat mengatasi masalah pembaziran dan salah guna kuasa yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi membahayakan nyawa kita.

Sampai bilakah pembaziran dan kekorupan pegawai kerajaan harus berlalu hingga akhirnya yang merana kita rakyat biasa?

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. – Roketkini

Menteri: Selain bumbung, JKR juga diminta kaji struktur Stadium Nasional

Kementerian Belia dan Sukan juga telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) agar mengkaji semula struktur binaan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, yang dilaporkan telah melebihi tempoh jaminan, sama ada masih selamat digunakan selain isu bumbung.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mahu bumbung stadium itu yang siap dibina pada 1998 diselenggara dengan segera demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Kementerian Belia dan Sukan akan meminta JKR melakukan kajian semula bagi mengetahui tahap keselamatan stadium terbabit sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyebut bahawa bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil (gambar) daripada jenis membrane dari Jerman itu mempunyai tempoh jaminan selama 10 tahun, namun semakan audit mendapati ia masih diguna sehingga kini dengan sebahagian besar bumbung telah terkoyak dan skru kabelnya longgar serta berkarat.

Laporan Audit itu turut menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan pada Disember lalu untuk membaiki bumbung stadium itu.

Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti 90,000 penonton merupakan venue sukan utama negara dan bertaraf antarabangsa antaranya seperti Sukan Komanwel (1998), Sukan SEA (2001), perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Indonesia (2010), perlawanan akhir Piala Malaysia dan pernah dikunjungi pasukan ternama EPL seperti Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Chelsea.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya menyerahkan tanggungjawab membaiki bumbung Stadium Nasional kepada JKR demi keselamatan pengguna.

Dipetik Bernama Online, kata beliau, tanggungjawab itu diserahkan kepada JKR kerana kementeriannya tidak mempunyai kepakaran dalam hal tersebut.

“Kita tidak boleh membaiki sebahagian sahaja daripada bumbung yang bocor kerana ia perlu diganti semua bahagian yang mana kos boleh mencecah RM40 juta,” katanya.

Mengenai pembelian 23 ekor kuda bernilai RM5.6 juta oleh Institut Sukan Negara (ISN) tanpa kelulusan Kementerian Kewangan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, Ahmad Shabery berkata pembelian tersebut tidak mengikut tatacara kerja yang betul.

Katanya pembelian secara terus itu berlaku kerana ISN berdepan dengan masalah kesuntukan masa mencari kuda yang berpotensi untuk menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (WEC) pada 2008 dan Pertandingan Ekuestrian Kebangsaan dan Sukan Asia di Guangzhou, China pada 2010.

“Pada masa itu ISN tidak mempunyai kepakaran dalam hal berkaitan kuda namun jika wujud unsur terbuka ataupun penyalahgunaan kuasa, maka saya akan pastikan perkara ini disiasat,” katanya.

Semakan Audit Negara 2010 mendapati kesemua kuda yang dibeli oleh ISN telah dibuat melalui rundingan terus tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Mengikut laporan tersebut, perolehan kuda juga dibuat tanpa disertakan dengan surat tawaran ataupun perjanjian yang menggariskan tanggungjawab pembekal. -TMI


2 ulasan:

kota sarang semut berkata...

kalu x mau guna baik x payah buat. kalu x boleh repair jgn laa makan rasuah. kalu x mau kena kutuk. jgn lah songlap duit rakyat langsi oiii...

1 Malaysia berkata...

Dari dulu Aku dah kata dan akan sentiasa kata, "MALAYSIA BOLEH".
Entah orang luar dari jabatan kerajaan sedar atau tidak bahawa bercakap benar atau berbuat benar bagi seorang pegawai kerajaan adalah satu "kesalahan" atau "jenayah". Pegawai yang berbuat benar atau becakap benar akan ditukar, apatah lagi kenaikan pangkat. Itulah sebabnya ketua jabatan yang dok ada ni mana ada integritinya, yang ada hanya "ampu"griti. AKU dah jumpa banyak kes seperti ini berlaku. Kalau diteliti dengan sungguh-sungguh, kebanyakan ketua jabatan yang ada sekarang terlibat dengan skandal yang melibatkan "it". Tapi disebabkan depa ni orang "kerajaan", depa terlepas dari dikenakan tindakan malahan dinaikkan pangkat pula tu.
Jabatan kerajaan tidak akan berubah selagi pegawai yang dilantik ketua jabatan tu tidak mempunyai integriti. Integriti bukan hanya bermain di bibir tapi harus dipraktikkan. Entah Tok Jib and the geng sedar atau tidak atau depa memang sedar tapi buat-buat "bodoh".