28 Okt 2011

Kes Beng Hock: Nazri Jangan Berdalih Lagi, Keluarga Beng Hock Buat Laporan Polis

Keluarga Teoh Beng Hock menuntut polis menyiasat tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja berhubung kematian bekas setiausaha politik DAP itu.

Tengah hari tadi keluarga itu membuat laporan polis dengan harapan satu siasatan jenayah akan dijalankan.

“Bukan kami tidak ada kesabaran. Kami sudah lama bersabar dan telah diambil kesempatan (ekoran kesabaran kami),” kata kakak Beng Hock, Lee Lan selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee di sini.

“Kami sudah lama menunggu dan tiada tindakan serius daripada kerajaan,” tambah Lee Lan.

Peguam yang mewakili keluarga Teo, Gobind Singh Deo pula berkata, laporan polis dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM terbabit meskipun mereka dinamakan dalam laporan dikeluarkan tiga bulan lalu berikutan tiada laporan polis dibuat.

“(Jadi) hari ini kami membuat laporan polis ekoran penemuan suruhanjaya diraja untuk memastikan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya di ambil ke atas mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock,” katanya.

Gobind juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kenyataan Nazri kerana tiada tindakan diambil terhadap tiga pegawai terbabit sedangkan laporan suruhanjaya diraja sudah membuktikan perkara itu.

“Kes ini telah berjalan dua tahun lebih tetapi masih tiada tindakan diambil, saya mencabar Nazri untuk ambil tindakan.

“Saya juga kecewa dengan kenyataan Nazri Aziz berikutan tiada siasatan akan dijalankan terhadap pegawai terbabit kerana tiada laporan polis dibuat, adakah pihak polis sendiri tidak boleh membuat laporan?” katanya.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam keluarga Beng Hock mendakwa pentadbiran Najib seolah-olah “memperkudakan” mereka dengan tidak mengambil tindakan ke atas tiga pegawai SPRM meskipun siasatan suruhanjaya diraja mendapati mereka telah menyumbang kepada kematian bekas setiausaha politik itu dua tahun lalu.

Menurut keluarga itu, ketiadaan tindakan susulan di pihak kerajaan menimbulkan keraguan yang serius, bukan sahaja ke atas suruhanjaya diraja malah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Seri James Foong Cheng Yuen yang telah bertindak sebagai pengerusinya.

Isnin lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM meskipun mereka dinamakan dalam laporan yang dikeluarkan tiga bulan lalu sebab tiada sesiapa pun membuat laporan agar dibuat sedemikian.

Kata keluarga itu, mereka ragu-ragu dan sangsi dengan sikap kerajaan dan laporan suruhanjaya itu dan dengan perkembangan hanya membiarkan SPRM mengetuai satu lagi siasatan mereka sendiri ke atas pegawai-pegawainya.

Mereka menekankan bahawa ketiga-tiga pegawai berkenaan telah menggunakan tindakan yang tidak sewajarnya untuk mendapatkan maklumat daripada Beng Hock, yang merupakan satu-satunya saksi ketika siasatan dikendalikan di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam — premis mendiang ditemui mati.

Selain itu keluarga berkenaan juga menekankan bahawa suruhanjaya diraja telah menamakan ketiga-tiga pegawai terdiri daripada pegawai penyiasat Mohd Anuar Isamil, yang digambarkan sebagai “pembuli”, Mohd Ashraf Mohd Yunus sebagai “yang penganiaya” dan bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim sebagai “pemimpin yang angkuh”.

Menurut Nazri, Jabatan Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja kematian Beng Hock kerana tidak ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Sepanjang pengetahuan jabatan ini, belum ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung penemuan pihak suruhanjaya itu dan tiada kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

“Oleh itu, tidak timbul isu Peguam Negara takut untuk mengambil tindakan kepada pegawai SPRM tersebut,” kata Nazri.

Nazri berkata, berikutan laporan yang dikeluarkan suruhanjaya diraja, SPRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menzahirkan fakta dalam laporan berkenaan berkaitan tiga pegawai SPRM itu.

“Selanjutnya, satu laporan tatatertib akan disediakan sekiranya wujud kesalahan dan pelanggaran peraturan dan prosedur dalam proses siasatan,” katanya.

Laporan mengenai siasatan dalaman terhadap ketiga-tiga pegawai dibentangkan kepada jawatankuasa aduan yang dibentuk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jawatankuasa aduan telah minta siasatan lanjut diadakan sebelum laporan dikemukakan kepada jawatankuasa tatatertib bagi membolehkan tindakan diambil terhadap tiga pegawai tersebut yang dinamakan dalam laporan.

“Satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh polis berdasarkan oleh laporan jawatankuasa tatatertib dan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jika ada kes jenayah, kertas siasatan akan dibuka untuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah kanun keseksaan, atau undang-undang yang sesuai, selaras budi bicara Peguam Negara mengikut Akta 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk membuat pertuduhan jenayah atau pendakwaan,” katanya.

Ulasan GB

Akhirnya saranan GB diterima. Sebelum ini GB menyatakan bahawa peguam Teoh Beng Hock perlu membuat laporan polis terhadap pegawai-pegawai SPRM yang menyalahgunakan kuasanya itu. Kita tidak boleh memberi ruang kepada Nazri atau sesiapa juga di dalam kerajaan untuk memberikan apa-apa alasan dan dalih untuk tidak bertindak keatas pegawai SPRM tersebut. Petikan:

Ini satu kelemahan pihak peguam Teoh Beng Hock.

GB berharap para peguam TBH perlu membuat laporan polis dengan kadar segera terhadap pegawai-pegawai SPRM yang telah terang dan nyata disebutkan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan melakukan penyalahgunaan kuasa.

Pegawai-pegawai SPRM tersebut TIDAK BOLEH dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Gobind Singh Deo, where are you?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: