15 Okt 2011

Kes Bunuh Kartini: Inspektor Polis Direman

Keningau: Seorang inspektor polis yang mendakwa ditikam bertubi-tubi ketika cuba ‘menyelamatkan’ kenalan wanitanya yang kemudian mati dibunuh dalam kejadian di Taman Andika di sini, 28 September lalu, direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai menjadi suspek utama kes berkenaan.

Pegawai berusia 29 tahun yang belum pulih daripada kecederaan akibat kejadian itu dilihat berjalan menggunakan tongkat diiringi beberapa anggota polis selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zaini Fishir @ Fisal, memerintahkan dia direman tujuh hari bagi membantu siasatan, kelmarin.

Penahanan pegawai terbabit memang mengejutkan kerana sebelum ini pelbagai pihak mahu pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dengan lebih telus selepas wujud pelbagai spekulasi mengenai pembunuhan kejam mangsa, Kartini Borhan, 27.

Suspek ditahan jam 11 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Pegawai terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Difahamkan, pada hari kejadian, pegawai polis berkenaan menghubungi dua anggotanya di Balai Polis Keningau, jam 5 pagi untuk meminta bantuan.

Inspektor berkenaan yang berada dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya mendakwa meminta bantuan anggota polis berkenaan menyelamatkan seorang wanita yang cedera dirompak.

Suspek kemudian mengarahkan kedua-dua anggota itu menaiki keretanya lalu berkejar ke tempat kejadian di Taman Andika, 800 meter dari IPD Keningau.

Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis itu mendapati pintu pagar dan rumah berkenaan terbuka, manakala seorang wanita terbaring berlumuran darah di ruang tamu.

Anggota berkenaan terus mengangkat wanita terbabit ke dalam kereta milik suspek lalu menghantarnya ke Hospital Keningau, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Harian Metro pada 30 September lalu melaporkan, pegawai polis terbabit mendakwa membantu kenalan wanita selepas rumah didiami mangsa dimasuki perompak.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi, ‘suspek’ berusia 30-an melarikan diri selepas mendapati mangsa tidak bergerak lagi, manakala pegawai polis berusia 29 tahun parah di kaki, bahu dan belakang tubuhnya.

Difahamkan, pegawai polis itu menerima panggilan telefon daripada mangsa yang meminta bantuan apabila mendapati pintu rumahnya diumpil suspek.

Berikutan itu, pegawai polis berkenaan bergegas ke rumah kenalannya itu dan sebaik tiba, dia mendapati pintu rumah mangsa sudah terbuka luas.

Sebaik memasuki rumah terbabit, dia mendapati mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut memegang sebilah pisau.

Dalam keadaan kelam-kabut, pegawai polis berkenaan cuba membantu, namun turut ditikam beberapa kali.

Selepas mencederakan pegawai polis terbabit, suspek dilihat menikam wanita berkenaan sehingga mati lalu melarikan diri.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan penahanan itu dan menyatakan tiada layanan istimewa diberikan walaupun suspek adalah seorang pegawai polis. -hm



Laporan Sebelum Ini

DEDAHKAN SIASATAN KES BUNUH KARTINI

Oleh : HAJI HAMZAH ABDULLAH

PAS Sabah merakamkan ucapan takziah kepada ibubapa serta keluarga Almarhumah Kartini Borhan, serta turut bersimpati di atas kehilangan anak yang dikasihi berpunca daripada kes bunuh yang tidak berperikemanusiaan, yang hanya tergamak dilakukan oleh puak yang telah jauh tersesat daripada hidayah Allah.

PAS Sabah berdoa semoga roh Almarhumah ditempatkan di kalangan roh-roh mereka yang mendapat rahmat serta keampunan dari Allah s.w.t dan menyeru keluarga Almarhumah supaya bersabar dalam menghadapi ujian yang amat getir ini.

Kes bunuh secara kejam yang dilakukan ke atas Kartini adalah rentetan daripada beberapa kes-kes bunuh secara misteri bermula seawal tragedi menimpa Mustakizah, Norietta dan tentunya banyak lagi.

Dalam semua kes bunuh secara kejam yang dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia ini mencapai kemuncaknya dengan letupan menggunakan bom C4 ke atas seorang model Monggolia, Altantuya Shaaribu.

Mengamati berita yang terpampang di dada akhbar tempatan pada 30 September lalu berkaitan kes bunuh ini, saya sendiri terpaksa membaca berulang kali dan cuba memahami jalan cerita yang ditulis oleh pemberita akhbar berkenaan.

Saya terkesan semacam ada sesuatu yang cuba diselindung, sehingga jalan cerita yang disiarkan berita yang saya baca memang tidak masuk akal. Akhirnya, keraguan saya tentang kesahihan berita tersebut terlerai apabila Sabahkini.net mendedahkan beberapa penemuan yang ada hubungkait dengan pembunuhan ke atas Kartini dilakukan oleh orang yang telah didedahkan oleh ayah Almarhumah Kartini dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Keningau.

PDRM sering mecanangkan kepada rakyat, bahawa tahap kecekapan menyelesaikan kes-kes jenayah di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia. Kita mengakui fakta ini kerana banyak kes-kes jenayah, sama ada melibatkan jenayah perdagangan seperti penangkapan beberapa warga Taiwan dan China baru-baru ini; termasuk kes memalsukan kad-kad kredit, serta kes bunuh yang dilakukan di sesuatu negeri tetapi pelakunya berjaya ditangkap di negeri lain.

Kita kagumi kehebatan PDRM dan menghargai jasa serta komitmen institusi keselamatan negara yang dianggotai oleh anggota professional dan berpengalaman. Tetapi, dalam kes melibatkan pembunuhan Kartini Borhan, saya pasti ramai daripada kita meragui kecekapan pihak polis, khususnya pasukan polis Daerah Keningau.

Bolehkah diterima akal yang rasional bahawa Inspektor Ahmad Rizal Omar yang kononnya dimaklumkan melalui telefon bimbit bahawa Kartini untuk meminta bantuan beliau, terpaksa bergelut dengan penceroboh yang dikatakan mempunyai pisau serta benda tajam sehingga mencederakan beliau?

Boleh tolong jawab secara jujur, apakah polis berpangkat Inspektor tidak dibekalkan dengan pistol? Kemudian, adakah boleh diterima logik akal bahawa Inspektor Ahmad Rizal mampu datang dengan sekelip mata sahaja ke rumah Kartini setelah mendapat panggilan daripada Kartini, serta terserampak pula dengan penceroboh yang sedang menikam Kartini dan kemudiannya menikam Inspektor Ahmad Rizal beberapa kali? Bolehkah diterima teori ini oleh akal yang waras? Jawapan semua ini hanya ada pada PDRM Keningau dan IPK Negeri Sabah.

Bagi pihak rakyat yang cintakan keadilan dan ketelusan, seiring dengan iltizam yang kononnya mahu merealisasikan urus tadbir yang baik (Good Governance) oleh Kerajaan 1Malaysia yang diterajui Najib, PAS Sabah menuntut agar melakukan Inkues dan hasil siasatan kes pembunuhan kejam ini didedahkan kepada umum; serta pelakunya didakwa di mahkamah.

PAS Sabah juga mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu yang sering menyalahgunakan kuasa mereka, bahawa setiap perilaku jahat, kezaliman dan penganiayaan yang ditimpakan keatas makhluk Allah, akan pasti mendapat balasan yang setimpal, baik didunia mahupun diakhirat.

Ingatlah akan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” (an-Nisa:135)

(NOTA : Hj. Hamzah Hj. Abdullah merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah) -sabahkini


4 ulasan:

batu pelangi berkata...

Inilah salah satu jawatan didunia
yang dijanjikan NERAKA JAHANAM oleh
ALLAH SWT diakhirat kelak andai
penjawat ini melakukan kezaliman dan
ketidakadilan semasa didunia.Dua lagi
jawatan yang tersenarai adalah
PENGUASA(pemimpin) dan HAKIMX.
WALLAHUA'LAM.

Tanpa Nama berkata...

Polis yg sepatutnya mencegah jenayah, tapi dia yg lakukan jenayah.

Imej polis skrg dah teruk sgt. Macam2 kejadian jenayah yg dilakukan. Ini akibat dari kerajaan BN yang terlalu bagi muka kepada mereka kerana nak perkudakan mereka.

Tanpa Nama berkata...

Banyak belajar dari filem tamil kot. Syabas producer filem2 tamil yg impot dari India tu, sbb berani buat filem keburukan polis, penguasa, hakim dll.

Ringgo berkata...

ayah spiderman kata " kuasa yang hebat datang dengan tanggungjawab yang besar .."

seorang penguatkuasa undang2 sepatutnya melindungi orang awam dari perbuatan jenayah dan bukannya menggunakan kedudukan & kuasa yang ada untuk kepentingan & keperluan diri sendiri untuk melakukan jenayah..

sebagai umat Islam pastinya kita akan diadili dihadapan Allah SWT di akhirat kelak walau sebesar zarahpun perbuatan kita ..

Dunia hanya persinggahan mencari bekalan untuk perjalanan kita menuju akhirat kelak ..