18 Okt 2011

‘Ini Ujian ALLAH Menguji Keimanan Kami’ - Komuniti Islam Thailand Hadapi Banjir

Bangkok - Komuniti Islam di wilayah Nonthaburi adalah antara paling teruk terjejas selepas banjir besar menenggelami sebahagian daripada Thailand, tetapi jauh sekali untuk merungut, kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai cara Tuhan menguji ketahanan mereka.

“Kami anggap ini sebagai ujian ALLAH untuk melihat betapa kuatnya kami dan bagaimana kami mampu mengharungi bencana ini,” menurut ketua sebuah kampung di Tha It, Sompol Larnthong kepada akhbar Bangkok Post.

Daerah Tha It di Nonthaburi, wilayah yang terletak bersebelahan dengan Bangkok mempunyai penduduk seramai 14,542 orang dan dikelilingi dua laluan air utama, iaitu Sungai Chao Phraya di timur dan Terusan Bang Bua Thong di utara.

“Semasa banjir tahun lalu, air mencecah paras lutut tetapi kali ini, ia mencecah paras dada di sesetengah tempat,” menurut pegawai daerah Tha It, Sawad Thinkham.

Kedalaman banjir itu menyebabkan penduduk Islam di kawasan tersebut tidak dapat mengunjungi masjid yang turut ditenggelami air.

“Banjir ini bukan salah sesiapa. Kami tidak mempersalahkan mana-mana pihak,” kata Sompol dan dipersetujui ramai penduduk Tha It, di mana 2,000 rumah di lima kampung terjejas akibat banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di negara itu.

Namun, walaupun penduduk Islam di Thailand menerima bencana itu dengan redha, mereka tetap mengharapkan lebih banyak bantuan daripada kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.

“Buat masa ini, kami memerlukan kenderaan seperti bot yang boleh membawa orang ramai dari rumah mereka ke tempat kerja dan jika boleh, kami ingin meminta kerajaan membina tembok di sepanjang Sungai Chao Phraya,” menurut Sompol.

Sehingga kini, air banjir melumpuhkan empat kawasan industri utama di Thailand sehingga menjejaskan pengeluaran dalam negara dan dijangka memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.

Sementara itu, kerajaan Thailand, semalam, menyuarakan keyakinan bahawa Bangkok tidak akan terjejas teruk selepas benteng penahan banjir dilihat berfungsi dan paras air di bahagian utara mula menurun.

Sistem penghalang banjir termasuk tembok, terusan, benteng dan terowong bawah tanah dibina bagi menghalang air banjir memasuki Bangkok, pusat pentadbiran negara itu yang didiami hampir sembilan juta penduduk.

1 ulasan:

Ringgo berkata...

Ayaq ni adalah untuk membersihkan kekotoran yang ada .. kifarah dari dosa yang lalu ..
beruntunglah orang yang bersyukur kepada Allah SWT ..