12 Sep 2011

UMNO Banyak Seleweng & Sembunyikan Fakta Sejarah - Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pimpinan Umno supaya memberitahu kepada rakyat Malaysia tentang fakta sebenar sejarah kemerdekaan dan bukan menyembunyikannya demi kepentingan politik semata-mata.

Tegasnya, sejarah kemerdekaan perlu didedahkan secara telus supaya rakyat terutamanya generasi akan datang tidak keliru dengan sejarah Malaysia.

“Perjuangan menentang penjajah bermula sejak 1511 ketika kedatangan Portugis... ingat, bukan perjuangan menuntut kemerdekaan bermula dengan Umno pada 1946.

“Jangan nafikan sejarah, sepatutnya ahli-ahli sejarah jangan tutup fakta ini, parti-parti yang ditubuhkan di Tanah Melayu diharamkan oleh British,”

Hadi berkata demikian pada ceramah di Dewan Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar malam tadi.

Tambah beliau, ramai pemimpin mahu pun pejuang kemerdekaan yang telah dihukum pada zaman penjajah namun pada masa kini, penjajahan secara moden pula sedang berlaku di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin yang berjuang dihukum, ada yang dihukum gantung, dibuang daerah, dibuang ke Mekah pun ada... namun perjuangan menuntut kemerdekaan tidak boleh dihapuskan. Perjuangan ini berterusan dan kita perlu sedar bahawa penjajahan termasuk melalui pemikiran.

“Manusia tidak akan merdeka selagi wujudnya penghambaan, pemerintah yang zalim, pemerintah yang tipu... inilah perjuangan Islam. Walaupun penjajah asing sudah tiada tapi pemikiran mereka, amalan, kejahatan mereka masih wujud. Perjuangan kemerdekaan belum selesai... walaupun penjajah British sudah balik, tetapi penjajahan pemikiran masih wujud,”
katanya.

Isu sejarah kemerdekaan negara muncul ekoran kenyataan kontroversi timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Mohamad mengatakan pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong dan membunuh 25 orang semasa pemberontakan komunis pada 1950, yang mengundang kritikan banyak pihak terutamanya pemimpin Umno.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera, salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu adalah seorang pejuang kemerdekaan.

Dalam pada itu Hadi berkata, PAS menerima secara terbuka kehadiran masyarakat berbilang kaum di negara ini sambil menyifatkan mereka sebagai “mangsa penjajah” yang dibawa sebagai hamba.

“Pada masa sama, PAS menerima kenyataan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia, kaum Cina, kaum India dan kaum bukan Islam yang ada adalah mangsa mereka (penjajah), mereka diangkut oleh penjajah ke sini, jadi pekerja di ladang, bukan sahaja penjajah memperhambakan orang Melayu tetapi memperhambakan orang Cina, orang India dan hanya segelintir sahaja orang Melayu yang senang, orang Cina yang senang dan orang India yang senang.

“Islam mengajar kita wajib menerima masyarakat majmuk. Islam adalah agama rahmat untuk keseluruhan manusia, Islam mewajibkan kita adil kepada masyarakat majmuk,” katanya.



1 ulasan:

Matketor berkata...

Bagaimanakah kiranya cara yang paling efektif untuk memperbetulkan kembali minda anak-anak muda masa kini yang telah dijajah akal dan fikiran mereka oleh fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan oleh kerajaan BN semasa mereka ini bersekolah dulu...kesiannya guru-guru sejarah di sekolah-sekolah yang bertungkus lumus mengajar berpandukan buku-buku sejarah yang akhirnya terbukti banyak fakta-fakta di dalam buku buku tersebut yang diselewengkan..memang pemerintah yang menyeleweng itu boleh diubah..tetapi akal dan minda yang terjajah oleh penyelewengan fakta-fakta sejarah pasti sukar untuk diubah kembali..kecuali bagi mereka-mereka yang insaf dan sedar..