9 Ogo 2011

Wanita 'Ketuk Ketampi' Bogel Bebas Tuduhan Dadah

Selepas enam tahun, Hemy Hamissa Abu Hassan Saari, yang terbabit dalam saga 'ketuk ketampi bogel' kini boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam pula membebaskannya daripada dakwaan memiliki dadah.

Hemy Hamissa bersama suaminya, sekarang Kamarul Hamri Mohd Latif dan tiga yang lain dituduh bersama memiliki 10.19 gram methamphetamine di SK Damansara Jaya, pada jam 29 Jun, 2005, jam 1.45 pagi.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Dalam keputusan itu, Majistret Nor Afidah Idris berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dadah berkenaan di dalam kawalan dan penjagaan serta dalam pengetahuan semua tertuduh.

"Mahkamah juga berpendapat pegawai penyiasat gagal menjalankan siasatan terperinci terhadap kesemua tertuduh, termasuk tidak memeriksa Hemy Hamisa ketika serbuan sekaligus mewujudkan kelompongan," katanya.

Dadah berkenaan dijumpai pada Ku Azizul Ku Abd Rahman, yang kemudiannya menghilangkan diri selepas dibenarkan dijamin.

Dua minggu lalu, Hemy Hamisa berjaya menyelesaikan saman di luar mahkamah yang difailkannya ke atas seorang konstabel polis dan kerajaan berhubung kes ketuk ketampi bogelnya itu sehingga menyebabkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan. -mk

Tiada ulasan: