19 Ogo 2011

Kritik Jais Tidak Bermakna Persoal Institusi Raja

Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menegaskan Kenyataan-kenyataan mengkritik tindakan dan pendekatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan mempersoalkan institusi diraja.

Sebaliknya, beliau berkata agensi-agensi agama di negeri ini tidak sewajarnya menggunakan nama istana untuk melindungi pengurusan dan penguatkuasaan bidang kuasa masing-masing.

Kritik Jais tidak semestinya kutuk Sultan. Sepatutnya (Majlis Agama Islam Selangor) Mais sebagai penasihat Sultan sebagai ketua agama beri nasihat yang betul kepada baginda. Bukan gunakan nama baginda untuk memberi perlindungan kepada Mais atau Jais,” katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, Mais dan Jais sepatutnya faham konsep dan implikasi akauntabiliti.

“Agama selain Islam dan penganut mereka ada hak dan ini perlu dilindungi. Ini semua dikandung oleh Perlembagaan khususnya Perkara 11. Apa yang berlaku menimbulkan keraguan tentang perlindungan itu. Mais dan Jais patut faham dan bukan menyeret Sultan,” k
ata beliau lagi.

Semalam, pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.

Sebelum ini, PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas gereja tersebut, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Malah, pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Dalam pada itu, menjawab pendirian Mais, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor. -tvsnews



2 ulasan:

Waris berkata...

Kalau raja pun tak betul, kena ikut jugak ke? Kitab agama mana yang suruh kita patuh pada pemerintah yang tak betul? Adakah Nabi Musa dulu kena patuh pada arahan firaun?

Orang pas ni pun satu hal... takut sangat kalau umno guna isu raja. Nak takut apa? Adakah raja tu serupa firaun yang berkuasa untuk mematikan kita?

Tanpa Nama berkata...

Dah jadi SOP(Standard Operational Procedure) dinegara ni ajensi-ajensi kerajaan seperti Jabatan Agama Negri dan agensi-agensi yang seumpama suka menyebut "Derhaka pada Sultan" mentang-mentang Sultan jadi Ketua Agama.Begitu juga SPR sebab kononnya Agong yang melantik Pengerusi SPR.Hakikatnya,umum tau perlantikan mereka adalah atas "nasihat" Mentri Besar dan Perdana Menteri.Agensi-agensi sedemikan rupa adalah sekadar jabatan kerajaan yang ada kelemahan dan kekurangan sebab dikendalikan oleh manusia biasa,bukan maklaikat.Menegur dan mengkritik mereka bukan bermakna derhaka pada Sultan mahu pun Agong.Sepatutnya mereka wajar bertugas,bekerja dan berperanan baik untuk menjaga nama baik Sultan dan Agong.Sebaliknya mereka pulak yang kerap "merosakkan" nama baik Sultan dan Agong.