15 Ogo 2011

14 Terbunuh 23 Cedera Di Sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan

Quetta: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera, apabila letupan bom meranapkan sebuah bangunan hotel dan restoran dua tingkat di bandar Dera Allah, 300 kilometer ke timur Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistani barat daya Pakistan semalam.

Gambar: ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Dera Allah, Pakistan, semalam. - Foto Reuters

Di wilayah lain, empat orang menjadi mangsa serangan dan tembakan ketika Pakistan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-64 semalam.

Pegawai kanan polis di Dera Allah Javed Gharsheen berkata, bom terbabit disembunyikan di satu sudut hotel dan ia meletup ketika sekumpulan penghuni berada di dalam dewan. Saksi berkata bangunan hotel itu musnah sama sekali.

Beliau berkata angka kematian dijangka meningkat kerana ramai lagi dipercayai masih terperangkap di celah runtuhan bangunan itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini, tetapi pihak berkuasa mengesyaki ia dilakukan kumpulan pemisah Baluch yang sejak sekian lama menuntut hak autonomi dan kuasa ke atas sumber asli di wilayah itu.

Di bandar Khuzdar, 300 kilometer ke selatan Quetta, kumpulan lelaki yang menunggang motosikal menembak mati wartawan agensi berita Online, Munir Noor ketika beliau dalam perjalanan pulang daripada membeli-belah di sebuah pasar berhampiran kediamannya.
“Beliau ditembak dari jarak dekat. Punca serangan masih disiasat,” kata ketua polis Khuzdar Abdul Qadir Sheikh.

Di Miranshah, wilayah barat laut Pakistan, sekurang-kurangnya tiga tentera paramilitari terbunuh manakala 25 lagi cedera apabila militan melepaskan bedilan roket ke arah kem mereka.

Seorang pegawai berkata, empat roket dibedil ke arah kem di bandar utama di Wiziristan Utara itu ketika pasukan askar membuat persediaan untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut Hari Kemerdekaan.

“Tiga anggota paramilitari terbunuh, 25 lagi cedera, lima daripada mereka parah,” kata pegawai perisikan di tempat kejadian.

Sementara itu di CHARIKAR, Afghanistan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam satu serangan bunuh diri di kediaman dan pejabat Gabenor Wilayah Parwan, Abdul Basir Salangi semalam.

Abdul Basir ketika memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan berkata enam pengebom bunuh diri menyerbu kawasan kediaman dan pejabatnya sebelum meletupkan bom dan melepaskan tembakan.

“Saya berada di dalam bangunan pejabat ketika serangan dilakukan. Seramai 14 orang awam dan lima anggota polis terbunuh, manakala 40 lagi cedera,” katanya.

Seorang pegawai berkata, lima letupan besar berlaku di kompleks pejabat dan kediaman itu dengan tiga daripadanya meletup di bahagian dalam bangunan, hanya 15 meter dari pejabat gabenor.

Sekurang-kurangnya dua pegawai tentera Amerika juga berada di tempat kejadian tetapi mereka terselamat. – AFP

Tiada ulasan: