31 Jul 2011

SUHAKAM Ulangi Gesaan Mansuhkan Semua Undang-undang Tahanan Tanpa Bicara

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sekali lagi menyarankan agar kerajaan memansuhkan kesemua undang-undang penahanan pencegahan.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, ia perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang berfungsi menurut keperluan keselamatan negara di samping mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sehubungan itu, beliau berkata, Suhakam mengalu-alukan pembebasan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan tanpa bicara di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 selama 28 hari sejak 2 Julai lalu.

Menurutnya, Suhakam berpuas hati kerana kerajaan telah memberi maklumbalas positif terhadap saranan yang telah dibuat oleh banyak pihak, termasuklah dari Suruhanjaya supaya keenam-enam tahanan tersebut dibebaskan.

“Sesungguhnya adalah menjadi harapan kami agar penahanan secara arbitrari tidak berulang di masa hadapan kerana ianya bertentangan dengan masyarakat yang bebas dan berdemokrasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kesemua enam anggota PSM yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat dibebaskan kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lepas.

Mereka terdiri daripada ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu dibebaskan di balai polis Jinjang. -tvsnews



Tiada ulasan: