27 Jun 2011

Gadis Hamba Seks Seminggu

Melaka - Akibat terpedaya dengan janji manis seorang lelaki, seorang gadis, 17, menjadi hamba seks lelaki berkenaan yang kononnya berjanji mahu membantu gadis terbabit selepas dibuang keluarga.

Mangsa mengenali lelaki berusia 29 tahun itu menerusi seorang rakannya, sebelum dibawa dan dikurung di sebuah rumah dekat Taman Asia Selatan, Jasin, di sini selama seminggu.

Sumber berkata, mangsa dikurung pada 19 hingga 25 Jun lalu, selain dipukul sehingga mendatangkan kecederaan kepada tubuh.

Selain itu, menurutnya, mangsa yang tidak bersekolah itu mendakwa turut dirogol lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila dibebaskan dari kurungan Sabtu lalu, sebelum bertindak membuat laporan polis sehari kemudian,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menangkap lelaki berkenaan pada hari sama mangsa membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Berikutan itu, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun maksimum serta sebatan.

Menurutnya, lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam.

Sementara itu, menurutnya, mangsa kini sedang dirawat di sebuah hospital berdekatan. -SH

Tiada ulasan: