3 Mei 2011

Timbalan Presiden PAS: Nasharuddin Lawan Mat Sabu

Mat Sabu dahului pencalonan no 2 PAS'

Penyokong Mohamad Sabu mendakwa bekas naib presiden PAS itu setakat kelmarin mendapat 60 pencalonan kawasan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Manakala penyandangnya Nasharuddin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok pula setakat ini memperolehi 33 pencalonan.

Menurut sumber, keputusan itu diperolehi dari maklumat yang diterima dari kawasan-kawasan yang telah mengadakan mesyuarat bagi memilih calon berkenaan.

Sumber turut memberitahu tiga lagi pemimpin PAS turut mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua itu.

Mereka adalah naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meraih 13 pencalonan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mendapat tiga pencalonan.

Seorang lagi naib presiden Salahuddin Ayub - yang juga ahli parlimen Kubang Kerian - memperolehi satu pencalonan.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara.

Bagaimanapun usaha Malaysiakini untuk mendapat jumlah pencalonan yang pemimpin PAS yang lain itu masih belum berhasil.

Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharuddin menawarkan diri untuk bersaing merebut jawatan timbalan presiden.

Pada pemilihan 2009, kedua-dua tokoh itu bertembung dalam persaingan tiga penjuru yang menyaksikan Nasharuddin terus mempertahankan jawatan tersebut dengan mendapat 480 undi.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mendapat 281 undi, manakala Mohamad sekadar meraih 261 undi.

Ibu pejabat parti menetapkan pemilihan dan muktamar PAS akan berlangsung pada selama tiga hari bermula 3 Jun ini di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak.

Sebelum itu, muktamar bagi sayap-sayap parti - Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama - turut akan mengadakan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan mereka masing-masing dua hari sebelum itu. -mk


Nasharudin mahu pertahan kerusi timbalan presiden PAS

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan pusat Jun ini.

Nasharudin berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.

“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi timbalan presiden kerana PAS kawasan mencalonkan saya untuk kerusi berkenaan.

“Tambahan pula mereka telah mencalonkan saya, lagipun kita mengamalkan demokrasi dalam parti, malah perlembagaan parti menyebut seseorang itu layak untuk dicalonkan dan mencalonkan seseorang itu bertanding,” katanya yang menyandang jawatan itu sejak dua penggal lalu.

Dipetik Harakah edisi terbaru, Ahli Parlimen Bachok ini menambah beliau mahu mempertahankan jawatan itu bagi meneruskan agenda persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya mempertahankannya atas semangat untuk meneruskan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Ini yang saya akan teruskan bersama Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan juga seluruh pimpinan serta seluruh ahli PAS,” katanya.

Menegaskan PAS bukan milik individu, beliau berkata, matlamat untuk menggerakan parti bukan milik individu sebaliknya ia perlu bergerak secara kolektif untuk membuat perubahan.

“Jika tidak matlamat yang hendak dicapai akan gagal, atas semangat itu parti boleh membuat perubahan dalam negara dan menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang releven dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.

Tambah Nasharudin, beliau bersedia untuk mempertahankan jawatan itu walaupun berhadapan dengan pertandingan satu lawan satu dengan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu.

Mohamad sebelum ini telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti.

“Saya memang terbuka untuk dilawan, malah pada kali pertama dan kedua berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Dalam PAS ini apabila ada pertandingan, Alhamdulillah kerana kita bukannya berlawan dengan Umno, setiap kali pertandingan ada lawannya, masa pertandingan kali pertama Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulama) dan Allahyarham Hassan Shukri dan kali kedua Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa,” kata Nasharudin.

Kata beliau, sekiranya terpilih sekali lagi bagi jawatan itu beliau akan meneruskan agenda parti bersama Hadi.

“Fokus paling utama ialah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

“Semua ahli perlu memberikan tumpuan kepada perkara ini,” katanya. -TMI


Ulasan GB

Sikap GB terbuka.

Seperti yang GB katakan sebelum ini, sesiapa juga boleh menawarkan diri untuk bertanding.

Tetapi apa yang GB harapkan selepas menang, laksanakan amanah yang diberikan "sehabis baik" untuk parti.

Jangan jadi seperti muktamar yang lalu, ramai tawar diri untuk Timbalan Presiden, tetapi bila menang, termagu-magu, tak tahu nak tunaikan amanah. Kosong dari awal hingga akhir. Tiada sebarang kemajuan yang dilakukan untuk parti malah menghancurkan. PAS tewas di dalam hampir semua pilihanraya kecil "selepas" muktamar tersebut kecuali Manek Urai, itupun dengan majoriti yang menurun.

Sebab apa? Semua sudah tahu. Tak payah GB nak ungkit di sini. Tapi yang nyata gagasan UG itu menghancurkan parti.

Maaf jika ada pihak yang terasa, sekalipun sebenarnya sikap apologetik tidak diperlukan.


5 ulasan:

abu shahid berkata...

Salam bro GB..

Hamba sokong pandangan tuan,

Pas perlu kepada perubahan dan pemimpin yang telah teruji.

Pas perlu menjadi peneraju politik Malaysia..atas tanggungjawab Islam itu tinggi dan tiada lain yang lebih tinggi daripadanya.

Semoga UG agenda terus dipadamkan dari dairi Pas dan Pas dihormati kerana contoh kepimpinan yang berwibawa,dulu kini dan akan datang.

Wassalam

dimme berkata...

yang terbaik ialah menyerahkan kuasa memilih kepada semua ahli PAS.. tapi kena rancang betul2 la, kalau tak jadi malu macam pemilihan PKR dulu..
pemimpin kena ingat menang tak semestinya menggambarkan kehendak majoriti ahli.. Ust Nasa menang pon kerana pecah undi. ahli pula kena redha lah dengan sesiapa yang terpilih. jangan merungut pula kalau keputusan tak berkenan di hati.. sesiapa pon yang menang nanti, tetap seorang yang setia dengan PAS, yakinlah..
macam kawasan saya, tahun ni kami cadangkan orang lain.. tak sampai 1/3 yang menyokong Mat Sabu samada sebagai Timbalan atau Naib, tetapi majoriti perwakilan ke Muktamar Agung nanti termasuk YDP mungkin akan mengundi Mat Sabu.. nasib lah, kami juga yang lantik orang kuat Mat Sabu memimpin kawasan..

Tanpa Nama berkata...

tahniah, tumbangkan pro UG

Tanpa Nama berkata...

Puak UG sudah jadi anai-anai dalam PAS.Akibatnya lebih 3 tahun isu UG ni tak habis-habis sehingga kerja-kerja menghadap PRU ke13 tergendala.Dulu dibuka blogg anti-Husam pada pemilihan yang lalu.Tak heiran kali ni puak UG akan buka pula blogg anti-Mat Sabu.Sila tunggu.

mohamad berkata...

memang benar sekali. Kali ni pilih lah untuk membuktikan PAS sebuah parti terbaik untuk rakyat malaysia. cara nya dengan memperbaiki kepimpinan.Kita sayang kepada pemimpin kita tapi mereka harus sedar jika cadangan yang mereka buat walaupun pada anggapan mereka benar tapi merosakkan perpaduan parti dan kepercayaan orang ramai terhadap PAS yang dinobatkan PAS adalah parti untuk semua rakyat ( PAS for all ), maka mereka harus berundur tau diundurkan. Ahli PAS harus ingat jika ada yang menawarkan diri sebagai pemimpin bukanlahlah tidak wala' atau melawan atau tidak mengenang budi. Perlembagaan PAS menyediakan wadah dan forumnya untuk ahli-ahlinya memilih yang terbaik untuk menjadi pemimpin. Dalam pemerhatian saya ada beberapa orang pemeimpin yang harus memberi ruang kepada ahli-ahli lain mengambil alih tampoknya sekarang yang mungkin juga terlibat menasihatkan secara salah kepada presiden mengenai Kerajaan Perpaduan. Mereka-mereka ialah seperti MUSTAFFA ALI, HASSAN ALI, NASSARUDDIN MAT ISA, ABU BAKAR CHIK dan ada 2, 3 orang lagi. Mereka-mereka ini pun bukan lah ULAMA. Saya rasa kalau presiden mendapat nasihat yang bagus, satu keputusan yang baik akan dapat dilihat dan dapat menjaga imej parti.