26 Mei 2011

Seorang OKU Rentung Apabila Rumahnya Dijilat Api

Kuantan - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Batu 4 Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini hari ini.

Gambar: AZAHAR Ismail, 37, (baju kuning) bersama anggota Bomba dan Penyelamat Kuantan melihat kesan kebakaran yang mengakibatkan abangnya, Nazri Ismail, 40, ditemui rentung selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 6, Jalan Sungai Lembing, dekat Kuantan, pagi semalam. Foto: Shahrul Nizam Mohamad (25/05/2011)

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Nazili Mahmood berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 pagi itu, Nazri Ismail, 40, yang lumpuh hampir seluruh badan tinggal bersendirian di rumah.

"Mangsa yang hampir rentung keseluruhan badan dijumpai dalam keadaan cuba menyelamatkan diri akibat rumah kayu yang didiaminya dijilat api dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. Sementara itu, adik mangsa, Azha Ismail, 37, berkata kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu ketika menghantar makanan kepadanya di rumah pusaka milik ibunya malam tadi.

"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terus bergegas ke rumah itu untuk menyelamatkan abang saya, tetapi dihalang oleh penduduk berikutan api yang telah marak," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: