26 Mei 2011

Naib Presiden - Pilih Tiga Daripada Enam, Nizar Sah Bertanding

Pertandingan 6 penjuru Naib Presiden – Salahuddin, Nizar sah bertanding

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak penggal lalu dalam muktamar pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas usat 2011-2013.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mengesahkan dirinya sudah pun menyerahkan borang maklum balas pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan di pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur kira-kira pukul 1 petang tadi.

“Saya hanya menghantar satu borang jawapan sahaja,” katanya ketika dihubungi FMT sekaligus mengesahkan menarik diri daripada bertanding merebut kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira sokongan ahli PAS daripada beberapa kawasan dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk akar umbi.

Beliau sebelum ini tersenarai sebagai calon yang layak bertanding Timbalan Presiden namun mengambil keputusan pada 19 Mei lalu enggan bertanding kerana menganggap diri masih belum layak menggalas tanggungjawab nombor dua dalam parti itu.

Turut mengesahkan bertanding merebut jawatan Naib Presiden adalah AJK Pas Pusat yang juga bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Talk show Nizar

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Khasnya Amran Harun sebentar tadi sebelum Nizar memulakan satu rakaman ‘talk show’ berkaitan Pakatan Rakyat Perak dan persiapan pilihan raya umum ke 13 serta perbincangan mengenai isu Perak versi bahasa Inggeris di pejabat Harakah.

Pengesahan kedua-dua pemimpin itu sekaligus menjadikan setakat ini enam orang daripada 14 calon yang layak mengesahkan untuk bertanding.

Calon lain ialah penyandang Datuk Mahfuz Omar, Exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad.

Mengulas mengenainya, Salahuddin berkata beliau tidak berasa tergugat malah mengalu-alukan persaingan sihat daripada ramai calon berwibawa yang bersedia menerajui kepimpinan baru PAS.

Hatta tarik diri, bertanding AJK

Sementara itu, Bendahari Pas Pusat Dr Hatta Ramli ketika dihubungi FMT mengesahkan enggan bertanding merebut jawatan Naib Presiden tetapi hanya mahu mempertahankan jawatannya sebagai AJK PAS Pusat.

Katanya, keputusannya itu tidak bermakna perjuangan dan ideanya untuk mengetengahkan sesuatu isu tidak didengari pemimpin akar umbi memandangkan sesuatu keputusan dalam parti dibuat secara musyawarah.

“Jawatan tak penting. Suara saya masih didengari mengikut keputusan Majlis Syura walaupun bukan berjawatan Naib Presiden, cuma duduk dikerusi belakang saja,” katanya berseloroh.

Petang ini merupakan tarikh akhir bagi calon yang disahkan layak bertanding mengemukakan jawapan balas kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS yang juga Pengarah Pilihanraya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dijangka mengadakan sidang media bagi mengumumkan senarai akhir calon di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur esok.

Muktamar PAS Nasional akan diadakan bermula dari 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar, Gombak.

Bagi Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 1 dan 2 Jun masing-masing di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di Dewan SUK, Shah Alam. -FMT


Nizar tanding naib presiden, Dr Hatta AJK saja

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengesahkan penyertaannya bagi pertandingan Naib Presiden PAS namun Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli hanya bertanding AJK sahaja.

Nizar ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, pihaknya telah menghantar surat pengesahan untuk bertanding jawatan itu ke Pejabat Agung PAS sekejap tadi dan memaklumkan hanya akan bertanding naib presiden sahaja.

Sementara itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Harakahdaily, beliau mengambil keputusan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Langkah ini diambil beliau selepas bekas naib presiden sebelum ini, Datuk Husam Musa membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu kali ini.

"Saya rasa oleh kerana PAS melaksanakan keputusan secara konsensus, saya rasa cukup kalau saya menumpu pertandingan AJK sahaja dan tidak perlu di naib presiden," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily sambil mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan beliau.

Semalam Dr Hatta berkata, beliau masih belum menarik diri lagi untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi belum menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilih.

Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, yang turut mendapat pencalonan untuk AJK PAS Pusat tapi menolaknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada naib presiden sahaja.

Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam muktamar PAS kali ini dalam satu sidang media esok. Hari ini adalah hari terakhir untuk calon-calon yang layak membuat pengesahan pertandingan.

Selain Nizar, yang dijangka bertanding untuk naib presiden adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar yang menyandang jawatan itu sekarang di samping Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Exco kerajaan Kelantan Datuk Nik Mohd Amar.

Naib presiden sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan bertanding timbalan presiden dalam muktamar kali ini.

Nizar datang ke pejabat Harakahdaily untuk rakaman program 'Persepsion' bersama TVPAS yang akan disiarkan dalam Harakahdaily Jumaat ini.

Nizar berbicara soal 'Perak dalam pilihan raya umum ke 13'.

Semalam, Mohamad Hata Wahiri, Presiden NUJ membuat rakaman untuk rancangan 'Persepsi' terbitan TVPAS untuk Harakdaily.

Hata, wartawan Utusan Malaysia yang baru sahaja dipecat berbicara soal Utusan Malaysia dan Umno dalam siaran kali. Rancangan ini juga akan disiarkan mulai petang Jumaat ini di Harakahdaily. -HD-


6 ulasan:

padwo berkata...

NIZAR FOR PM!

cucukerinci berkata...

pemimpin dan ahli pAS jgn ikut perangai umNO....pastikan niat berjuangan dlm parti ikhlas kerana Allah....sekarang ramai yg dah jadi batu api nak jahanamkan PAS...takutlah hanya kpd ALLAH..

Tanpa Nama berkata...

apa cucukerinci merepek ni
siapa yg terikut perangai umno?
niat berjuang parti ikhlas kerana Allah itu bukan manusia yg nilai,

yg awak rasa jadi batu api tu sebab awak tgk calon yg awak x suka dah kena hentam

waktas berkata...

PILIHAN SAYA:

Nizar, Husam dan Salahuddin

Tanpa Nama berkata...

Saya juga pilih YB DS Nizar, YB. D Husam dan YB Salehuddin.

Selamat bermuktamar dan selamat berjuang.

Tanpa Nama berkata...

Saya sokong Abang Mat....Mana Anwar & Tok Guru Nik Aziz suka saya sokong....