11 Mei 2011

Mullen: Teoh Dalam Kumpulan Berisiko Rendah Untuk Membunuh Diri

Psikiatri: Teoh dalam kumpulan berisiko rendah

Jika Teoh Beng Hock membunuh diri, ia ada kaitan dengan usaha menjejaskan kestabilan psikologinya ataupun cuba menakut-nakutkannya sehingga mengakibatkan kematian, kata seorang pakar psikiatri hari ini.

Menurut laporan oleh Dr Paul E Mullen, yang dikemukakan kepada Suruhajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, mangsa diklasifikan sebagai “kumpulan berisiko rendah”.

Mullen, seorang profesor psikiatri forensik di Universiti Monash, Melbourne, Australia, dibawa oleh Majlis Peguam bagi menentukan ciri-ciri keperibadian Teoh dan keadaan mindanya bagi membantu RCI menyiasat punca dan faktor-faktor yang menyuumbang kepada kematiannya.

"Soalan kepada mereka yang diwawancara menunjukkan Teoh seorang yang teratur, kemas dan menmpunyai kecederungan untuk menjadi sempurna.

"Tiada bukti yang dijumpai bagi menunjukkan mangsa mengalami perasaan pilu atau sedih keterlaluan atau juga ketegangan yang luar biasa.

"Personaliti Teoh dan kelakuannya tidak menunjukkan sebarang cadangan bahawa beliau mempunyai risiko untuk membunuh diri.

"Justeru, pendapat saya, Teoh Beng Hock jelas dalam kumpulan berisiko rendah untuk bunuh diri apabila beliau dibawa dalam tahanan SPRM,”
kata Mullen.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga mendapatkan pendapat sendiri dengan melantik perunding psikiatri forensik Dr Badi'ah Yahya dan psikiatri komuniti Dr Nor Hayati Ali.

Badi'ah iberkhidmat di Hospital Permai di Johor manakala Nor Hayati adalah dari Hospital Selayang, Selangor.

Kedua-dua Badi'ah dan Nor Hayati dalam laporan mereka tidak memberikan kesimpulan yang menyeluruh.

"Pada pendapat kami, Teoh mempunyai risiko untuk membunuh diri dan faktor melindungi dirinya yang mengurangkan risikonya bagi berbuat demikian,” kata mereka.

Teoh dibawa ke ibu pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam Shah Alam pada 15 Julai 2009 untuk disoal-siasat berhubung dakwaan salah guna dana oleh majikannya ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Beliau dijumpai mati pada koridor tingkat kelima bangunan yang sama pada keesokan harinya.

Keterangan oleh pegawai kanan SPRM semasa prosiding telah melepaskan Ean Yong daripada sebarang kesalahan.

Suruhanjaya yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir hari ini selepas saksi ke-70, iaitu Dr Ba'diah selesai memberi keterangannya. -mk


Siasatan kematian Beng Hock berakhir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir semalam selepas saksi ke-70, pakar perunding forensik psikiatri, Dr Ba’diah Yahya selesai memberikan keterangannya.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, suruhanjaya sudah selesai mengumpulkan keterangan dan bahan bukti daripada semua saksi dengan dibantu barisan pegawai pengendali, peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam dari Majlis Peguam.

Cheng Yuen berkata, Suruhanjaya perlu mengemukakan laporan hasil siasatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jun ini, jadi semua pihak perlu menghantar hujahan secara bertulis masing-masing sebelum 24 Mei ini.

Sementara itu, Dr Ba’diah yang mengetuai Unit Forensik Psikiatri, Hospital Permai Johor Bahru, dalam prosiding semalam, mengemukakan laporan yang disediakannya bersama pakar psikiatri Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri, Hospital Selayang, Dr Nor Hayati Ali, untuk membantu suruhanjaya.

Merujuk laporan itu, Dr Ba’diah berkata, selepas mengambil kira semua perkara mereka berpendapat besar kemungkinan Beng Hock membunuh diri daripada sebab kematian yang lain.

“Pemeriksaan pihak forensik di pejabat SPRM tidak menemui sebarang senjata, tanda pergelutan atau kesan darah. Malah tingkap yang dikatakan Beng Hock terjun, dalam keadaan terbuka dan ada kesan comot cap jari, telapak tangan serta kesan berminyak pada cermin tingkap,” katanya.

Dr Ba’diah berkata, berada dalam keadaan tidak dijangka (disiasat SPRM), Beng Hock dilihat cemas apabila dilihat pada tindakannya membuat 27 panggilan telefon termasuk majikannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ketika pegawai SPRM memeriksa pejabatnya.

Bagaimanapun, katanya, dengan mengambil kira kajian dibuat terhadap mereka yang berisiko tinggi membunuh diri, Beng Hock tergolong individu berisiko rendah untuk berbuat demikian.

Katanya, berdasarkan kajian kecenderungan seseorang membunuh diri dalam keadaan biasa adalah berbeza berbanding mereka yang berada dalam tahanan.

Dr Ba’diah berkata, disebabkan itu mereka berpendapat Beng Hock memiliki kedua-dua faktor iaitu yang mendorongnya dan menghalangnya daripada membunuh diri.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak berhak untuk menyatakan sama ada Beng Hock ditolak atau diheret keluar daripada tingkap kerana tiada bukti kukuh untuk mencadangkannya.

Sementara itu, profesor pelawat di Institut Psikiatri London, Dr Paul E Mullen, yang dijemput Majlis Peguam, berpendapat sebaliknya dan merumuskan sikap dan personaliti Beng Hock tidak menunjukkan dia seorang yang cenderung atau berisiko untuk membunuh diri. -bh




Tiada ulasan: