1 Mei 2011

Kebiadaban Di Hari Pekerja: Polis Tahan 18 Orang Termasuk Ahli Parlimen

Hari Pekerja: 18 ditahan polis, antaranya MP Sg Siput

Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Ibrahim berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

“Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan,” katanya dipetik Bernama.

Laporan The Star Online menyebut antara yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput D. Jeyakumar.

Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.

Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera “kami mahu hak kami”, “gaji minimum”, “harga barang naik, tapi gaji masih minimum” dan sebagainya.

Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.

Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.

Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas “deklarasi satu Mei 2011” kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan, lapor Bernama.

Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.

Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam, berkata, tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh perkhidmatan kepada 60 tahun.

MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

“Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.

“Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam.

Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.

“Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing,” katanya.

Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

“Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272 kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang,” katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat dan bukannya sebagai beban.

Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan. -TMI


Polis tahan peserta demo hari buruh

Seramai 18 orang, termasuk anggota parlimen Sungai Siput Dr M Jeyakumar Devaraj ditahan dalam perhimpunan sempena hari buruh di ibu negara hari ini.

Selain beliau, turut ditahan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam ketika cuba berunding dengan pihak polis, dipercayai daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields.

Jeyakumar ditahan berdekatan Jalan Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi selepas rundingan beberapa minit dengan pihak polis.

Sehubungan tangkapan itu, kira-kira 200 peserta perhimpunan itu berhimpun depan ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dekat Maju Junction di ibu negara.

Mereka tidak mahu berganjak selagi teman-teman mereka tidak dibebaskan. Suasana meriah dengan nyanyian lagi "Internationale" - lagu yang sinonim dengan perjuangan pekerja di seluruh dunia.

Kumpulan itu bagaimanapun bersurai tengah hari tadi dengan sebahagian daripada mereka bertukar arah ke balai polis Dang Wangi dekat Jalan Maharajalela bagi memberikan sokongan kepada rakan mereka yang dibawa ke situ.

Jumlah tangkapan bagaimanapun belum dapat disahkan dengan pihak berkuasa.

Lebih 70 NGO turut serta dalam perhimpunan tradisi setiap 1 Mei itu. Pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit berhimpun.

Bermula jam 10 pagi tadi, berlaku demonstrasi kecil depan Maju Junction-Pejabat Tabung Haji.

Kumpulan itu, termasuk pelajar memakai ikat kepala hitam dengan tulisan "May Day Parade" dan membawa beberapa kain rentang antikapitalis.

Mereka membantah perjanjian perdagangan bebas dan keadaan semasa pekerja. -mk


Ulasan GB

Hanya kerajaan yang biadab kepada rakyat menangkap rakyat di hari kebesaran pekerja!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Polis bolehlah tangkap orang, gaji depa dah naik lama...huh!