20 Apr 2011

Terima Kontroversi Menjelang Muktamar PAS Sesuatu Yang Positif

Kontroversi menjelang muktamar tanda positif

SHAH ALAM – Mesyuarat Pas kawasan diyakini lebih hangat dengan idea dan cadangan baru ahli akar umbi demi survival parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata, berdasarkan suasana dan berita yang disiarkan menjelang muktamar parti itu Jun ini memperlihatkan kehangatan pelbagai isu bakl diketengahkan.

Katanya, cadangan Yang Dipertua Pas Bintang, Mohd Radzi Hashim mencalonkan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa merebut jawatan presiden sebagai provokasi untuk menghangatkan suasana.

Malah, beliau juga menyifatkan kenyataan penganalisis politik, Prof Dr Abdul Azizi Bari bahawa kepimpinan Pas perlu berubah terutamanya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agak mendahului dan mengejutkan.

“Tetapi bagus juga kita mengocakkan suasana yang tenang menjadi sesuatu yang tidak dinamik kepada dinamik. Tidaklah mendatar sahaja, kalau ia lesu, sejuk, tiada tarikan orang tidak akan pergi, kalau ada isu yang dieksploitasi hangat bukan sahaja ahli Pas, mungkin orang lian pun berminat untuk mengetahuinya.

“Sekurang-kuranya orang berkenaan prihatin. Barang kali ambil tindakan ataupun menyedari kehendak semasa orang di bawah, bagi saya ini perkara biasa bila hendak pemilihan kepimpinan mesyuarat Muktamar,”
katanya.

Sementara itu, ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berkata, mesyuarat Pas sentiasa membuka ruang yang luas untuk dijadikan medan perbincangan dengan saluran yang betul.

“Kita tidak hairan di muktamar terbesar pun perwakilan yang hadir akan menyentuh pimpinan yang tidak betul sebab kita terbuka.

“Kita akan membuka ruang seluas-luasnya pada perwakilan yang terdiri daripada ketua cawangan, maknanya di peringkat akar umbi juga akan memberikan pandangan. Beginilah cara Pas yang terbuka kepada semua pihak memberikan pandangan,” katanya. -SH


Abdul Hadi Ganti Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan Pas Bukit Bintang mencalonkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Mursyidul Am kerana beranggapan akan dapat menggantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila tiba masanya kelak.

Yang Dipertuanya, Mohd Radzi Hashim berkata, perubahan yang dikemukakan akan memperkukuhkan jentera dan Majlis Syura secara keseluruhannya.

“Jika Nik Abdul Aziz mengundurkan diri kelak sekali gus Abdul Hadi dapat dinaikkan sebagai pengganti kepada jawatan tersebut,” katanya.

Radzi berkata, perubahan kepimpinan perlu dilaksanakan dari peringkat Presiden sehingga ke Ahli Jawatankuasa Kerja supaya rakyat dapat menerima parti dengan lebih terbuka.

“Ini bagi memastikan supaya Pas dilihat sebagai parti yang bergerak dalam kehendak semasa yang mana tidak timbul isu penyingkiran kepada pimpinan sedia ada.

“Pas mengamalkan keterbukaan yang bersedia menerima pandangan tanpa melanggar perlembagaan parti,” katanya.

Ditanya mengenai penjelasan pengasingan kuasa antara kuasa eksekutif dan Majlis Syura, Radzi berkata, pengasingan itu bagi memastikan tiada kuasa eksekutif yang terlibat dalam menganggotai Majlis Syura.

“Majlis Syura perlu bebas tanpa campur tangan kuasa eksekutif dengan bertindak mengawasi perjalanan kuasa parti.

“Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat Majlis Syura konkrit tanpa pengaruh mana-mana pihak,” katanya.

Kepada satu soalan lain, adakah pihaknya menerima tekanan daripada mana-mana pihak ekoran kejutan pencalonan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa bertanding sebagai Presiden yang dikemukakan, Radzi berkata setakat ini tiada mana-mana pihak memberi maklum balas mengenai isu tersebut.

“Parti menerima cadangan kami kerana setiap kawasan ada pilihan masing-masing

“Pencalonan kami bukan mahu cipta sejarah kerana ia adalah perkara biasa apabila tibanya pemilihan parti,” katanya.

Pada 8 April lalu, Pas Bukit Bintang mencetuskan kejutan dengan mencalonkan Exco Kerajaan Kelantan untuk bertanding sebagai Presiden dengan alasan perubahan kepimpinan. -SH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tok Guru PAS bukan macam pemimpin BN. Mereka boleh ditegur. Teguran mestilah berakhlak. Tak sama dengan BN sebab mereka tak peduli dengan adab dan sopan berparti. Jamaah solat pun disaran agar menegur imam jika buat silap. Sama dalam gerakan ISlam. Zaman Sy Umar pun pernah berlaku. Lantaran beliau menyatakan Umar yang bersalah..orang yang membuat teguran itu betul. Tapi taklah sampai suruh Sy Umar berhenti atau diganti dengan orang lain. Selagi tidak bertentangan dengan syarak teruskan. kami amat menyanjungi kepimpinan ulamak.