19 Apr 2011

Projek Lynas Dengan Gajah Mengamuk Di Pahang


Pakar: Lynas jauh lebih teruk dari Bukit Merah

Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Ini adalah 10 kali lebih kontroversial daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah yang ditutup 20 tahun lalu, kata pakar kesihatan awam Dr T Jayabalan.

Katanya, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan buruk.

Jelasnya, pendedahan langsung terhadap jumlah thorium yang besar, meskipun dibuktikan oleh Lynas dan Badan Perlesenanan Tenaga Atom (AELB) mempunyai tahap radiasi yang rendah, adalah bahaya apabila jumlah yang banyak mula terkumpul.

Kedua-dua Lynas dan AELB berkata pusat berkenaan akan menghasilkan thorium - elemen radioaktif yang bakal terhasil dan mendakwa bahan itu mempunyai tahap radiasi yang rendah serta tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan persekitarannya.

Jayabalan sebaliknya berkata sebarang pendedahan berterusan tidak kira sekecil mana sekalipun adalah bahaya kepada kesihatan.

"Mungkin AELB dan Lynas adalah betul, bahawa nadir bumi bukan radioaktif kerana ia telah disingkirkan. Apa yang mereka akan berikan kepada kita di Gebeng adalah sisa radioaktif yang dinamakan thorium," katanya kepada kira-kira 500 orang di ceramahnya di Kuantan pada malam Ahad lalu.

"Dan mungkin juga pihak berkuasa adalah betul kerana thorium adalah sisa tahap rendah (radioactive) dan mereka dakwa ini adalah selamat.

"Ini adalah istilah yang digunakan oleh industri untuk menggelirukan anda... ingat tidak ada tahap selamat bagi radioaktif,” katanya. -mk



Gajah serang tanaman sawit


KEDAIK ASAL – Tanaman sawit seluas kira-kira 0.8 hektar yang diusahakan penduduk Orang Asli di sini musnah apabila ‘dikerjakan’ sekumpulan enam ekor gajah liar yang dipercayai sesat dari Hutan Sementok, Kedaik.

Seorang pemilik kebun, Amran Boji, 42, dilaporkan mengalami kerugian ribuan ringgit selepas anak pokok yang baru ditanam dua minggu lalu musnah dimakan haiwan liar terbabit.

Kehadiran kumpulan gajah itu turut membimbangkan penduduk kerana mendakwa haiwan terbabit pernah mengejar penduduk yang melalui kawasan kebun di situ.

Berikutan itu, penduduk meminta bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menghalau gajah berkenaan, namun kecewa kerana masih tiada tindakan dibuat.

Serangan sejak tiga hari lalu

Seorang penduduk, Ramli Ason, 48, berkata, dia menyedari kehadiran gajah liar itu pada petang Jumaat lalu selepas mendengar bunyi haiwan berkenaan semasa membersihkan kebunnya.

Dia yang sudah tiga kali terserempak dengan haiwan liar itu terkejut apabila mendapati sekumpulan enam ekor gajah sedang melanyak tanaman sawit berhampiran kebunnya.

“Saya tidak menunggu lama di situ kerana bimbang kehadiran saya dapat dihidu gajah terbabit sebelum bertindak melaporkan kepada pemilik kebun berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, banyak tanaman dimusnahkan kumpulan gajah liar itu menyebabkan pemilik tanaman menanggung kerugian besar.

“Akibat serangan berulang kali oleh kumpulan gajah itu, anak-anak kelapa sawit yang ditanam tidak sempat membesar kerana habis dilanyak haiwan itu.

“Setiap daripada kami terpaksa membelanjakan RM14 bagi sepokok sawit tidak termasuk kos baja, menebang, membersihkan kawasan, mengorek lubang, menanam dan sebagainya,” katanya.

Hampir jadi korban gajah

Seorang penduduk, Mohd Nasir Harun, 40, berkata, dia hampir menjadi korban gajah apabila salah seekor daripadanya cuba mengejarnya ketika keluar menoreh getah pada petang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dia yang hanya berada lima meter dari tempat gajah itu mencari makanan bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

“Mungkin gajah itu terkejut dengan kehadiran saya. Saya lari menyelamatkan diri selepas mendapati gajah terbabit mula mengeluarkan bunyi tanda amaran supaya tidak mendekati kumpulan mereka.

“Pada ketika itu saya tidak mampu berfikir apa-apa dan terus melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa yang ketika itu seolah-olah seperti telur di hujung tanduk,” katanya.

Kejadian didakwa kali kedua

Ketua UMNO Cawangan Kedaik Asal, Adnan Boji berkata, kejadian itu merupakan yang pertama tahun ini dan kejadian sama pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, sebuah motosikal penduduk di kampung itu rosak teruk akibat dipijak gajah yang sedang ‘naik angin’.

Menurutnya, kejadian kali ini pula menyebabkan kemusnahan pada tanaman penduduk dan sekiranya keadaan itu dibiarkan boleh mengakibatkan nyawa pekebun di situ terancam.

Kecewa Perhilitan lambat bertindak

Tok Batin Kedaik Asal, Booh Suan meluahkan rasa kecewa apabila Perhilitan didakwa gagal menghalau kumpulan gajah itu keluar daripada kawasan kebun penduduk.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya bertindak segera memandangkan haiwan liar itu boleh mengancam nyawa manusia.

“Saya difahamkan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri menghalau binatang itu memandangkan Perhilitan masuk untuk memantau dan memasang mercun sahaja.

“Jadi saya berharap Perhilitan lebih peka dengan masalah ini memandangkan ia mengancam nyawa penduduk,” katanya. -SH


Tiada ulasan: