22 Apr 2011

Najib Tersepit, Nafi "Email 1Malaysia" & "1Melayu 1Bumi" Sebagai Pandangan Kerajaan


PM: Tricubes perlu pertahan e-mel 1 Malaysia, bukan kerja kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak perlu mempertahankan kewajaran projek e-mel 1 Malaysia sebab ia adalah inisiatif swasta sambil menegaskan, Tricubes Berhad yang seharusnya menjual idea tersebut kepada publik.

Dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan pentadbirannya daripada reaksi tidak menyenangkan daripada kalangan orang ramai, Najib berkata, Tricubes seharusnya mengambil inisiatif untuk menjelaskan projek e-mel 1 Malaysia kepada orang ramai.

“Biar mereka berikan penjelasan. Bukan segala-galanya (diletakkan) pada saya. Sebab ini adalah cadangan mereka, jadi mereka perlu menjualnya kepada orang ramai.

“Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat, jadi biar mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan diberikan akaun e-mel 1 Malaysia bagi tujuan-tujuan rasmi.

Kata beliau, Tricubes Berhad akan membangunkan projek dengan kos awal RM50 juta, portal sepusat yang baru bagi perkhidmatan kerajaan dengan akaun e-mel membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara rakyat dan kerajaan. -TMI


Najib: 1Melayu, 1Bumi bukan pandangan k'jaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang disaran Utusan Malaysia merupakan pendapat peribadi penulis akhbar berkenaan dan bukan pandangan kerajaan.

"Itu pendapat peribadi penulis yang berkenaan tetapi daripada segi kerajaan kita sudah ada gagasan yang cukup jelas dan kita akan teruskan usaha kita.

"Dan, bagi orang Melayu, yang penting sekali mereka sokong Umno kalau hendak bersatu daripada segi politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di Serdang, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit dua hari lepas, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi".

Ditanya saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar DAP bergabung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Najib berkata: "Itu pembangkang (punya hal)...saya tidak mahu komen tetapi saya tidak nampak macam mana Snap boleh terima DAP kerana ideologi mereka berbeza".

Dua hari lalu, Lim mencadangkan DAP dan Snap bergabung pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha memberi khimat yang lebih baik kepada masyarakat Iban-Dayak.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak agar Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, Perdana Menteri berkata; "Saya telah memberikan komen saya... beri saya masa".

Mengenai rasa tidak puas hati orang ramai berhubung web portal E-mel 1Malaysia, Najib berkata memandangkan projek itu dibangunkan pihak swasta, biarlah pihak berkenaan yang menjelaskannya.

"Biarlah mereka yang membuat penjelasan... ia adalah cadangan mereka. Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat. Biarlah mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya (kepada rakyat)". - Bernama



Di sini mencela, di sana merayu

KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.

Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti ‘tidak mengenang jasa’ dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.

Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.

Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi” untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.

Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.

“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.

“Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami,” beliau berkata.

Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.

Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta). -HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1 altantuya ada tak?