22 Apr 2011

Interlok: Muhyiddin Ialah Ancaman Kepada Negara - NIAT

Interlok: TPM bohongi rakyat, dakwa Pengerusi Niat

Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Haji Thasleem Mohamed Ibrahim mendakwa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membohongi rakyat Malaysia berhubung isu buku kontroversi, Interlok edisi murid.

“Muhyiddin di dalam sesi Parlimen pada 24 Mac menyatakan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar Interlok terus diguna pakai tetapi tiada seorang pun yang menjelaskan pendirian mereka.”

“Seterusnya Muhyiddin berkata keputusan penggunaan Interlok berterusan adalah muktamad namun akhbar Sinar Harian melaporkan Muhyiddin sebagai berkata bahawa Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan dilaksanakan.”

Thasleem turut berkata bahawa Niat tidak akan teragak-agak untuk mengheret Muhyiddin untuk membuktikan penipuan yang dibuat pemimpin kedua tertinggi negara itu.

Justeru itu, Thasleem mencabar Muhyiddin menjalankan pungutan suara untuk memperoleh pandangan rakyat Malaysia kerana pandangan yang diterima beliau dari peringkat akar umbi jelas menunjukkan rakyat menentang penggunaan buku tersebut.

Thasleem turut membidas kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa pihak yang membangkitkan isu Interlok merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

“Siapa yang jadikan buku ini satu isu? Muhyiddin ialah puncanya. Muhyiddin ialah ancaman kepada negara,” tegas beliau.

Mengapa politikus India, mufti berdiam diri?

Beliau turut menjelaskan bahawa pemimpin politik keturunan India masih belum memberi sebarang reaksi kepada pengumuman tersebut.

Sehubungan itu, Thasleem bertegas mahu mengetahui pendirian Presiden MIC, Dato’ G Palanivel yang mahukan Interlok dihentikan penggunaannya tetapi menikus seribu bahasa.

“Bagi MIC, isu mereka hanya perkataan ‘paria’ tapi bagi kita seluruh buku ini salah,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa sekiranya Palanivel gagal bersuara mereka akan membangkitkan isu yang mengejutkan dalam beberapa minggu.

Thasleem juga memberitahu sidang media bahawa beliau menunggu reaksi mufti negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berhubung isu ini.

“Saya beranggapan mereka tidak memberi reaksi kepada surat-surat yang saya tulis kerana mereka bersetuju dengan pandangan saya bahawa Interlok bertentangan dengan agama Islam.”

Kepada Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyokong penggunaan Interlok, Thasleem menggesa agar mereka mengkaji perkara ini dari perspektif Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Niat, A Rajaretinam berkata bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan menghadapi natijah besar sekiranya memperlekehkan permintaan masyarakat India agar Interlok digugurkan.

Niat bercadang untuk menghadap Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertuan Agong sebagai salah satu jalan untuk menghentikan penggunaan Interlok di sekolah.

Mereka juga bercadang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Isu kontroversi Interlok timbul pada Disember tahun lalu hingga membawa kepada penubuhan panel bebas dalam bulan Januari.

Seterusnya lebih dari 100 saranan telah diterima untuk dibuat pindaan dalam buku tersebut namun Niat tetap membantah atas pelbagai sebab. -FMT

Tiada ulasan: