4 Mac 2011

[Video] Lelaki Muslim Saman Presiden Amerika, FBI

Washington: Seorang warga Amerika Syarikat beragama Islam menyaman pentadbiran Presiden Barack Obama dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kelmarin kerana melanggar hak perlembagaannya apabila memantau pergerakannya menggunakan alat GPS yang disembunyikan dalam kereta plaintif.

Yasir Afifi, 20, dari California yang belajar di Santa Clara, California, mengetahui yang pergerakannya dirakam apabila alat berkenaan dikesan mekanik ketika menukar minyak enjinnya, Oktober lalu. Ejen FBI kemudian bersemuka dengannya selepas beberapa hari alat itu dikeluarkan.

Saman itu menuduh FBI dan Jabatan Keadilan melanggar hak perlembagaan dengan melakukan siasatan tanpa waran, menjejaki pergerakannya dan menggugat kebebasannya untuk berpersatuan dan berceramah.

“Saya tidak patut diikuti atau diintip oleh sesiapa pun. Saya perlu ke sana sini dengan bebas tanpa perlu ditahan berjam-jam untuk soal siasat,” kata Afifi pada sidang akhbar di Washington.

“Sekarang saya sudah dua kali gagal untuk dapat kerja kerana majikan terpaksa berfikir dua kali sebelum mengambil saya bekerja berikutan insiden ini,” katanya.

Afifi memohon tuntutan ganti rugi yang tidak dijelaskan dan meminta hakim menghalang FBI serta Jabatan Keadilan daripada mengekorinya tanpa waran dan memadamkan sebarang rekod serta analisis apa yang dikumpul.

Apabila ejen FBI bersemuka dengan Afifi selepas mengeluarkan alat itu, beliau menanyakan sama ada beliau warga yang mengancam negara, mengapa beliau keluar negara dan sama ada beliau ke Yaman, terbabit dengan aktiviti al-Qaeda, kata saman itu.

Seorang ejen turut mengucapkan tahniah kepadanya atas pekerjaan barunya dan memuji seleranya di restoran, tambah saman itu.

FBI dikritik oleh sesetengah kumpulan hak asasi kebebasan kerana taktik mengintip orang awam Muslim termasuk ejen yang menyamar memasuki masjid untuk mengetahui mengenai kegiatan yang boleh menggagalkan plot pengganas.

“Penyiasatan FBI yang dibuat menerusi Jabatan Keadilan dan peraturan FBI mendapati penyiasatan ini mengikut langkah yang dibenarkan,” kata jurucakap FBI, Michael Kortan.

Jurucakap Jabatan Keadilan berkata agensi itu masih menilai tuntutan saman itu dan enggan mengulas lanjut.

Mahkamah Rayuan Amerika menolak sabitan kes dadah tahun lalu selepas menolak hujahan kerajaan persekutuan yang mereka boleh melakukan pengintipan menggunakan GPS tanpa sebarang waran.

Berbeza dengan Mahkamah Rayuan Amerika di San Francisco mensabitkan seorang pesalah yang mempertikai penggunaan alat GPS sebagai pencarian yang tidak sah. – Reuters




Tiada ulasan: