19 Mac 2011

Seorang Warga Tua Dibunuh Dan Dibiarkan Rentung Dijilat Api

Ipoh: Seorang warga tua dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibiarkan dijilat api dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mangsa di Ampang Baru, di sini, semalam.

Mayat Ho Choong Fah, 84, yang turut mempunyai kesan kelar di leher, ditemui di atas katilnya jam 1.50 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata mayat mangsa ditemui selepas sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyela-mat Ipoh membuat pemeriksaan dan memadam kebakaran di rumah itu sebaik mendapat laporan jam 12 tengah malam.

“Sebaik kebakaran dipadamkan, anggota bomba menemui satu mayat di atas katil dengan kesan terbakar. Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan kelar pada leher mangsa,” katanya selepas menghadiri majlis suai kenal bersama Persatuan Peniaga dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher yang menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum suspek membakar rumah mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan tinggal sendirian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. -BH

Tiada ulasan: