3 Mac 2011

Rakyat Perlu Tolak Pemimpin Cuai - Presiden PKR

Sebahagian besar daripada anggota jemaah menteri, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang 'ditipu' oleh dua rakan mereka berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang masih berkuasa, kata presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negara ini supaya bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan tersebut.

“Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan. Tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dimiskinkan yang akhirnya membawa kebankrapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Merujuk keputusan kerajaan mengheret bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy ke Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 28 Februari lalu, atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung PKFZ, Wan Azizah berkata perkembagan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Senario terbaru ini telah menimbulkan persoalan mendalam. Betapa mudahnya mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ditipu dalam skandal PKFZ ini.

“Malah isu penipuan ini bukan sahaja kepada perdana menteri tetapi barisan kabinet pada zaman Tun Dr Mahathir. Kebanyakan dari mereka yang 'tertipu' masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan timbalannya hari ini.

Menurutnya, pemimpin kerajaan berkenaan telah dengan cuai meluluskan perjanjian tanah berhubung pembangunan PKFZ pada harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Selain Chan, pada 29 Julai tahun lalu, bekas presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik pula didakwa memperdayakan jemaah menteri bagi meluluskan perjanjian tanah berhubung pembangunan PKFZ.

“Mana mungkin kita membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat ini menerajui negera.

“Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara yang sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak di terima akal,” katanya

Justeru, Wan Azizah berkata janji Pakatan Rakyat kepada rakyat negara ini adalah bagi menerajui sebuah kerajaan yang adil serta mengamalkan tatakelola yang baik.

“Pilihan raya umum ke-13 adalah peluang terbaik dan nampaknya semakin hampir,” katanya. -mk



Azizah: Betapa mudahnya Abdullah ditipu dalam isu PKFZ

Menerajui sebuah kerajaan yang adil serta mengamalkan tatakelola yang baik adalah janji Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia. PRU13 adalah peluang terbaik dan nampaknya semakin hampir. Ini digambarkan dengan jelas apabila kerajaan mengambil keputusan mendakwa bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy (gambar bawah) atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri.

Senario terbaru ini telah menimbulkan persoalan mendalam. Betapa mudahnya mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ditipu dalam skandal PKFZ ini. Malah isu penipuan ini bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi barisan kabinet pada zaman Mahathir Mohamad. Kebanyakan dari mereka yang "tertipu" masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya hari ini.

Mana mungkin kita membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat ini menerajui negara. Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara yang sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak diterima akal.

Justeru, rakyat harus bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan ini. Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan. Tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dimiskinkan yang akhirnya membawa kebankrapan.

*Kenyataan media oleh Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri) selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: