15 Mac 2011

Penularan Radioaktif Ke Malaysia, Rakyat Tuntut Kerajaan Beri Penjelasan

Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.

Menurut Nurul Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan.

"Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario 'full meltdown'?

"Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tahap radiasi loji nuklear di utara ibu negara Jepun, Tokyo dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di selepas negara itu digegarkan gempa bumi dan dibadai tsunami, Jumaat lalu.

Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi dikatakan akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo.

Perdana Menteri Jepun juga menasihatkan rakyat yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear supaya berada di dalam rumah kerana radiasi dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan.

Menurut Nurul Izzah, perkembangan di Jepun itu terus menggusarkan rakyat di negara ini dan mempersoalkan tindakan kerajaan sama ada mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear jika berlaku.

"Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi?

"Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," katanya. -mk


Bencana di Jepun: YPM mahu hitam putih dari Wisma Putra

Yayasan Pelajaran MARA (YPM) hari ini menggesa Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan segera berhubung tahap keselamatan warga Malaysia untuk terus berada di Jepun.

Pengarah projek untuk Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi yayasan itu, Mohamad Muda berkata, keputusan perlu dibuat segera memandangkan YPM akan menghantar seramai 84 orang pelajar lagi ke negara itu menjelang akhir bulan ini.

"Saya minta Wisma Putra buat keputusan segera, sebab kita mahu hantar pelajar lagi pada 19 dan 20 Mac.

"Kita juga dalam keadaan dilema sekarang... Kalau ada hitam putih kata kita tidak boleh pergi, barulah kita tunda (penghantaran pelajar).

"Setakat ini kita cuma tunggu keputusan Wisma Putra dan MKN kalau tidak ada kita akan hantar pelajar macam biasa," kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Peningkatan kadar radiasi kini dikesan di ibu negara Jepun setelah gempa bumi yang melanda negara itu sejak empat hari lalu menyebabkan siri letupan di loji janakuasa nuklearnya.

Radiasi yang dikesan itu menyebabkan sebahagian penduduk kota Tokyo meninggalkan bandar berkenaan manakala sebahagian lagi mengumpulkan bahan makanan dan keperluan.

Kerajaan Jepun kini bertindak mencatu bahan api dan bekalan elektrik dan terdapat kedai yang dilaporkan telah kehabisan bahan keperluan tertentu termasuk lampu suluh dan lilin.

Beberapa kedutaan juga telah menasihatkan kakitangan dan warganegara masing-masing supaya meninggalkan kawasan yang terjejas.

"Buat masa ini pun kita ada seramai 208 orang pelajar lagi di sana. Jadi kita kena buat keputusan sama ada untuk hantar balik ataupun pelajar terus berada di sana," kata Mohamad lagi.

Katanya lagi, kesemua pelajar tajaan MARA yang berada di negara itu telah dipastikan berada dalam keadaan selamat.

"Cuma kebimbangannya sekarang ialah (ancaman) radiasi. Tapi pelajar kita tidak berada di kawasan (loji nuklear) di Fukushima," katanya.

Tambahnya, MARA juga terpaksa menanggung kerugian sekiranya pelajar tersebut dihantar tetapi terpaksa dibawa pulang semula.

"Kalau kita kena batalkan penghantaran pelajar pada 19 dan 20 haribulan ini, teruklah kita kena bayar penalti oleh MAS sebab batalkan tempahan," katanya lagi.
"Saya juga bimbang kalau (selepas dihantar), dua tiga empat hari akan dipanggil balik.

"Kalau ada hitam putih daripada Wisma Putra, mungkin kos itu boleh diserap oleh kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas satu laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa seorang pegawai YPM telahpun berada di Jepun untuk mengenalpasti keadaan.

"Itu tidak betul. Kita cuma bergantung kepada perunding kita yang berada di sana," katanya.

Malah, kerajaan Jepun juga hanya memberi kelepasan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bagi menghulur bantuan untuk mambantu usaha mencari dan menyelamat mangsa bencana di negara itu, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu laporan Bernama hari ini yang memetik kenyataan pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh, bahawa Mara telah menghantar satu pasukan ke negara berkenaan.

Laporan itu menyebut, pasukan itu dihantar bagi melihat dan memantau keadaan pelajar MARA di Jepun yang dilanda gempa bumi dan tsunami.-mk


Ulasan GB

GB lihat ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan daripada rakyat Malaysia. Ini berkait rapat mengenai rancangan kerajaan untuk menneruskan pembinaan loji tenaga nuklear sekalipun telah ditentang oleh wakil pembangkang.

Kenyataan Menteri Tenaga, Hijau dan Teknologi Datuk Seri Peter Chin semalam bahawa rancangan Malaysia untuk membina dua loji nuklear akan diteruskan meksipun Jepun berhadapan dengan masalah ekoran gempa bumi dan tsunami amat dikesalkan.