2 Feb 2011

WASPADA: Penyeluk Saku Warga Asing Di LRT

Warga asing seluk saku penumpang LRT

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada berikutan muncul beberapa geng seluk saku lelaki warga asing yang menjadikan kawasan stesen dan gerabak transit aliran ringan (LRT) sebagai ‘lubuk emas’ untuk melakukan jenayah itu.

Kumpulan penjenayah terbabit yang berkeliaran pada waktu puncak dikesan menyasarkan wanita.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, dua penyeluk saku warga asing diberkas polis bantuan selepas dikesan melakukan aktiviti seluk saku terhadap penumpang di Stesen LRT Dang Wangi, di sini. Sumber polis Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua anggota polis bantuan yang meronda berhampiran stesen berkenaan terserempak dua suspek terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka.

“Suspek mengaku baru mencuri telefon bimbit milik seorang penumpang di stesen itu. Suspek ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Siasat awal mendapati kedua-dua suspek berusia 43 dan 52 tahun terbabit berasal dari Tanjung Pinang, Riau adalah rakan karib,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, dua sahabat berusia 29 dan 31 tahun ditahan selepas didapati menyamun seorang pelajar kolej warga Indonesia secara berkumpulan.

Kedua-dua suspek yang tidak bekerja menyamun telefon bimbit bernilai RM340 dan wang tunai RM17 milik mangsa berusia 17 tahun di Stesen LRT Jalan Sultan Ismail, di sini.

Sementara itu, jurucakap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), berkata syarikat berkenaan sedia maklum mengenai kejadian samun yang berlaku dan sentiasa bersedia membanteras kegiatan itu dengan pemantauan daripada anggota polis bantuan dan pegawai keselamatan syarikat. -hm

Tiada ulasan: