18 Feb 2011

WASPADA: Kereta Meletup Akibat Botol Pewangi Tamat Tempoh

Bunyi letupan dari sebuah kenderaan menggemparkan orang ramai yang berada di sekitar jalan utama, Jalan Daeng Selili, di sini, kerana disangka bom.

Bagaimanapun, letupan kira-kira jam 3 petang, semalam berpunca daripada botol minyak wangi yang meletup dipercayai kesan penggunaan melebihi tarikh luput.

Pemilik kenderaan, Alfonso Mat Said, 49, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan seorang rakan.

Menurutnya, dia meletakkan kenderaannya berhampiran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar, di sini, kerana mempunyai urusan di kawasan berhampiran.

“Saya baru sahaja membeli pewangi kereta ini semalam (kelmarin) di sebuah stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dan tidak sedar sudah tamat tempoh sejak dua tahun lalu.

“Saya selalu menggunakan pewangi ini, tetapi tidak pernah berlaku kejadian seperti ini, mungkin kerana cuaca panas menyebabkan botol ini meletup,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, letupan kuat itu menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan berhampiran cemas dan lari menyelamatkan diri.

Alfonso berkata, akibat kejadian itu, cermin bahagian hadapan dan belakang keretanya pecah, sementara kotak tempat meletak alat pewangi berkenaan berkecai.

Menurutnya, botol pewangi itu terpelanting keluar dari keretanya dengan jarak kira-kira 10 meter.

“Mujur tidak ada orang awam cedera, saya mengalami kerugian hampir RM1,000,” katanya.

Alfonso berkata, kejadian itu memberi kesedaran kepadanya supaya lebih berwaspada ketika membeli barang sekalipun alatan remeh seperti pewangi kereta. -SH

Ulasan GB

Botol pewangi tak tamat tempoh pun jika ditutup ketat di tengah panas terik akan meletup. Begitu juga botol-botol yang mengandungi air terutama botol-botol dan tin-tin air berkarbonat, akan meletup jika ditinggalkan di dalam kereta di panas terik.

Berhati-hati.

Tiada ulasan: