13 Jan 2011

Waspada: Penonton Kemalangan Boleh Disaman - JKJR

Kuala Lumpur - Pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan mereka untuk menonton sesuatu kemalangan sehingga menjejas kelancaran lalu lintas boleh disaman, kata Ketua Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, di bawah peraturan 16 (1).

"Hanya terdapat lima pihak yang berperanan semasa kemalangan jalan raya berlaku iaitu saksi kemalangan, anggota penyelamat, agensi kerajaan yang berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan dan orang awam yang dilatih sebagai paramedik atau mempunyai kemahiran dan latihan dalam memberikan bantuan kecemasan.

"Pihak lain tidak sepatutnya berhenti kerana ia hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas menjadi semakin buruk malah boleh mendatangkan risiko lain seperti kemalangan kecil.

"Oleh sebab itu, mereka boleh disaman kerana menghalang lalu lintas dan mengganggu operasi menyelamat mangsa kemalangan," katanya.

Suret berkata, kempen tersebut yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan polis bertujuan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang kenderaan dan topi keledar.

Katanya, berdasarkan maklumat JPJ, saman yang dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keselamatan dari Januari hingga November tahun lepas ialah sebanyak 5,952 kes manakala bagi kesalahan tidak memakai topi keledar sebanyak 9,562 kes.

"Mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), dianggarkan sebanyak 200 kematian, 360 kecederaan parah dan 1,020 kecederaan ringan dapat dikurangkan sepanjang tahun jika peraturan itu dipatuhi.

"Tali pinggang yang dipakai hendaklah dengan cara yang betul, jika penumpang kanak-kanak, pakailah kaling pinggang kanak-kanak dan jika memakai topi kaledar, ikatlah dengan kemas dan mempunyai piawaian yang diluluskan Sirim," nasihat Suret.

Katanya, kempen advokasi JKJR dijalankan di seluruh negara sekurang-kurangnya sekali seminggu pada hari biasa manakala pada musim perayaan kempen diadakan setiap hari. -Bernama

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

JKJR ni tak habis habis dgn kempen, berhabisan berjuta RM dgn kempen dia. Sepatutnya budget ratusan juta RM dia guna untuk menambahbaik keselamatan di jalanraya, bukan hanya dgn kempen.

Penyiasatan menyeluruh keadaan jalan jalan yg banyak berlaku kemalangan, samada lebuhraya atau jalan persekutuan. Perkara perkara yg menyebabkan banyak berlaku kes kebakaran terutamanya pada model Civic. Berbagai perkara yg boleh disiasat, bukan hanya ditumpukan dgn kempen semata mata.

Sekarang pula hendak diugut supaya para pemandu tidak boleh berhenti melihat sesuatu kemalangan. Sepatutnya perkara yg lebih pokok ialah JKJR menyiasat aduan ambulans yg selalu tiba lewat, atau aduan kemalangan pada 999 yg tidak dilayan seperti sepatutnya.

Ramai pemandu yg berhenti sebab hendak melihat jika ada apa yg boleh ditolong. Pemandu yg menyibuk hanyalah mereka yg memperlahankan kenderaan untuk melihat sahaja.

JKJR ni hanya menghabiskan duit rakyat saja sebenarnya.

Tanpa Nama berkata...

Sekiranya tujuan utama adalah untuk mengelakkan kesesakan di lokasi kemalangan,JKJR sepatutnya memaksa operator lebuhraya tol untuk mengadakan prosedur kecemasan untuk memberitahu para pemandu supaya keluar lebuhraya apabila telah berlaku kemalangan di hadapan. Itu sebenarnya tanggungjawab operator lebuhraya yang telah lama diabaikan dan bukan sahaja menyusahkan pengguna yg terperangkap dalam traffic jam yg berpunca dari kemalangan tetapi juga menyulitkan kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan. Amat sedih kepala otak agensi kerajaan masih terdorong untuk mendenda pengguna jalanraya sahaja tapi tidak memikirkan langsung untuk memaksa syarikat empunya lebuhraya tol untuk menunaikan kewajipan mereka kepada pelanggan yakni pengguna lebuhraya.

kembara putih berkata...

Geng2 tunda kereta pun parking kereta mereka ikut suka hati saja, kadang2 mengganggu lalulintas, cermin yang pecah pula berterabur atas jalan, pengguna lain terpaksa memperlahankan kenderaan bimbang tayar bocor.

Tanpa Nama berkata...

Dah tak ada cara lain ke nak cari duit utk PRU13???