13 Jan 2011

Buli: 5 Pelajar Ting 3 Direman

Alor Star: Lima pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, di sini, direman empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan dua yang mendakwa dibelasah kumpulan pelajar senior berkenaan di asrama sekolah itu, Ahad lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Datin Chan Lee Fong, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Zamani Shahrudin berkata, mangsa diserang sekumpulan pelajar terbabit hingga menyebabkan lutut kiri mangsa retak.

“Kita menahan reman lima pelajar tingkatan tiga yang tinggal di asrama bersama pengadu bagi membantu siasatan kes berkenaan hingga Sabtu ini.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi membolehkan laporan kecederaannya disahkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan semua suspek dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Berita semalam


Lutut retak akibat dibelasah lima pelajar senior

ALOR SETAR: Seorang pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong di sini retak lutut kirinya selepas dia dibelasah lima pelajar senior di asrama sekolah berkenaan pada Ahad lalu.

'Ketika menahan kesakitan, depa (mereka) pukul lagi tanpa belas kasihan, bila saya tanya kenapa, depa kata saja syok-syok,' kata Mohd Syazwan Johari, yang retak lutut kiri selepas mendakwa dibelasah lima pelajar itu.

Dalam kejadian 6.55 petang itu, mangsa dikatakan baru selesai mandi apabila dipanggil seorang pelajar tingkatan tiga ke biliknya, namun dia enggan.

Berikutan itu, pelajar senior terbabit mengheretnya dari biliknya ke bilik bersebelahan sebelum empat lagi pelajar tingkatan tiga membelasahnya di badan dan kaki, menurut Mohd Syazwan.

'Saya tidak tahu kenapa mereka marah kepada saya, walhal tidak pernah membuat mereka marah. Ketika memasuki asrama ini tahun lalu, mereka turut membuli saya.

'Mereka marah kerana saya tidak mengikut arahan menyebabkan mereka menarik dan mengheret saya sebelum empat rakan mereka menyerang saya termasuk menampar, menumbuk dan menendang bertubi-tubi,' kata pelajar itu.

'Saya rebah dan terduduk sebelum dua pelajar lain memegang kedua-dua tangan dan mengheret ke pintu bilik menyebabkan kaki kiri terkena rak kasut besi,' tambahnya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters Kakitangan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kelmarin.

Keesokannya, guru pelajar itu membawanya ke klinik untuk rawatan sebelum pulang semula ke asrama.

Bapa mangsa, Encik Johari Zainon, 35 tahun, berkata beliau kecewa dengan pihak sekolah itu kerana lewat memaklumkan kejadian tersebut kepadanya.

'Doktor mengesahkan tulang lutut kiri anak saya retak dan perlu disimen selain terpaksa menjalani pembedahan kedua. Perkara ini menyedihkan kerana kes gengsterisme berlaku di asrama sekolah yang dikawal warden,' katanya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar pada 1 pagi kelmarin.

Sementara itu, polis semalam menahan reman lima pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah tahanan reman itu, yang bermula semalam, dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen, Datin Chan Lee Fong, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.


Ulasan GB

Hancur luluh perasaan ibubapa apabila anak-anak mereka ditahan dan direman kerana kesalahan membuli.

Inilah akibat dari sistem pelajaran sekular yang mandul selama ini, yang hanya menekan aspek lulus-periksa, yang mengabaikan terus aspek pembentukan nilai-nilai murni dan luhur di dalam diri para pelajar.

Tiada ulasan: