13 Jan 2011

Penggambaran Terbakar, Pelakon Hampir Maut

Seorang pelakon lelaki cedera parah apabila set penggambaran filem Barajiwa membabitkan adegan kebakaran di sebuah rumah banglo di Jalan Seputeh di sini, meletup secara tiba-tiba menyebabkan pelakon itu melecur sebahagian badan, tangan kiri serta muka, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 11.30 malam, Mohd Raffi Hussin, 24, yang memegang watak jahat sebagai Kumbang sepatutnya menyempurnakan adegannya menyalakan api untuk membakar sebuah gerai, namun adegan letupan yang sepatutnya sejurus api dinyalakan dilakukan lebih awal menyebabkan mangsa terperangkap.

Sejurus selepas kejadian itu, Mohd Raffi dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dikatakan 60 peratus badannya melecur akibat disambar api.

Seorang lagi pelakon, Syukri Yahya, 21, yang melecur di muka dan tangan kanan turut menerima rawatan di PPUM, namun dibenarkan pulang selepas diberi rawatan pesakit luar.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Mohd Raffi berkata, ketika letupan beliau berada kira-kira satu kaki dari kawasan letupan, menyebabkan badannya disambar api yang menjulang tinggi.

“Letupan kuat menyebabkan saya tidak dapat mendengar untuk seketika dan tiba-tiba saya rasa panas sebelum menyedari baju saya terbakar.
“Walaupun dalam keadaan terkejut dan kesakitan, saya sempat lari untuk menyelamatkan diri dan beberapa pelakon lain membantu memadamkan api pada baju dan menjirus air pada kepala serta badan saya,” katanya yang ditemui di Wad Surgikal PPUM di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum adegan itu dirakam, pelakon dan krew produksi beberapa kali mengadakan latihan namun kesan api dari bahan letupan yang digunakan yang agak kecil menyebabkan krew memutuskan untuk menggunakan minyak petrol untuk mendapatkan kesan lebih besar.

“Sebelum melakukan adegan itu, saya ajukan pertanyaan pada mereka (krew) mengenai jaminan keselamatan saya untuk melakukan aksi berkenaan.

“Oleh kerana tempoh jadual penggambaran untuk dua adegan lakonan saya termasuk adegan kebakaran ini sudah terlewat, mereka (krew) mahu menghabiskan penggambaran secepat mungkin tanpa memikirkan aspek keselamatan yang sewajarnya,” kata pelakon yang berasal dari Labuan, Sabah.

Mohd Raffi berkata, beberapa pelakon dan krew penggambaran turut mendapat kecederaan kecil akibat letupan itu termasuk pelakon utama, Remy Ishak, Diana Danielle, Fizz Fairuz dan Bront Palarae.

“Saya tidak pasti sama ada insiden ini berpunca dari kecuaian krew atau saya sendiri kerana semasa latihan dijalankan, tiada sebarang masalah sehinggalah memutuskan untuk menggunakan minyak petrol.

Filem Barajiwa arahan Osman Ali terbitan Nuansa Sdn Bhd adalah filem kedua yang dibintangi Mohd Raffi sebagai pelakon tambahan. Sebelum ini beliau membintangi filem Cun yang juga arahan Osman, selain beberapa drama, antaranya Roda-Roda Kuala Lumpur dan Akademi Polis.

Filem Barajiwa sudah menjalani penggambaran selama 16 hari bermula 28 Disember tahun lalu dan penggambaran dijangka tamat dalam masa sebulan lagi. -bh


Saya panik, menangis dengar letupan: Diana

PENGURUS produksi Nuansa Sdn Bhd, Rizal Alafiz Sarugi meninjau lokasi pengambaran yang terbakar di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA: "Saya terkejut apabila tiba-tiba letupan kuat berlaku dan api mula menyambar mereka (Raffi Hussin dan seorang pelakon). Saya panik, terus menangis dan menggigil ketakutan.

“Nyawa saya hampir melayang. Bayangkan, saya dan beberapa pelakon lain berada satu meter saja dari tempat kejadian. Saya bersyukur kerana terselamat,” kata pelakon wanita utama filem Barajiwa, Diana Danielle mengulas insiden letupan yang mencederakan dua pelakon ketika penggambaran di Seputeh, malam kelmarin.

Difahamkan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) itu menangis tidak henti-henti sejurus insiden berlaku sehingga memaksa pelakon Bront Palarae yang turut berada di set penggambaran menenangkannya.

“Sebelum itu pun saya bagaikan dapat merasa sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Jadi apabila perkara buruk ini benar-benar berlaku saya menjadi begitu trauma,” katanya ditemui pada sidang media ABPBH 2010 di Holiday Villa, Subang Jaya, semalam.

Diana berkata, beliau sangat geram dan marah tetapi tidak tahu mahu melepaskan kemarahan itu pada sesiapa.

“Dua kawan saya menjadi mangsa akibat kecuaian manusia yang bersikap sambil lewa soal keselamatan pelakon ketika penggambaran,” katanya.

Harapnya selepas ini, pihak produksi mengambil langkah keselamatan terutama dalam hal membabitkan nyawa. Sebaiknya, jika membabitkan babak berbahaya, khidmat pelagak ngeri patut digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelakon filem berkenaan, Fizz Fairuz ketika dihubungi berkata, dia berasa ralat terhadap pihak produksi kerana mengambil mudah soal keselamatan pelakon ketika melakukan adegan berbahaya.

“Kami sudah memberitahu mereka jika mahu meneruskan adegan letupan, pastikan semua pelakon tidak berada di dalam set yang membabitkan letupan, tetapi tidak diendahkan.

“Akhirnya, dua kawan menjadi mangsa. Babak ini berisiko dan membabitkan nyawa. Malah, nak dijadikan cerita, penggambaran pada sebelah malam selepas waktu Isyak juga tidak dimulakan dengan bacaan doa selamat.

“Sikap produksi sebegini jelas menyusahkan pelakon. Bayangkan ketika kejadian terjadi tiada bantuan sewajarnya yang diberikan kepada mangsa. Saya sendiri bergegas mengambil air untuk disimbah kepada mangsa,” katanya. -bh


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

OSHA kena usha produksi ini.... keselamatan pekerja diabaikan.