21 Jan 2011

PRK Tenang: Bukan Islam Terima Baik Cikgu Mala

Normala mampu jadi kekuatan Pas

SENAI - DAP melihat kelebihan bergelar wanita bagi calon Pas, Normala Sudirman yang akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mampu menjadi kekuatan bagi memenangi kerusi berkenaan.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, statistik pengundi yang dikeluarkan bagi DUN Tenang menunjukkan 52 peratus pengundi adalah wanita.

“Cikgu Mala mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi memandangkan kredibiliti yang dimiliki sebagai warga pendidik dan mencurahkan bakti di kawasan berkenaan,” katanya.

Justeru, katanya, walau siapa pun yang diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) telah menurunkan calon yang memiliki kredibiliti tinggi untuk mendekati hati pengundi dan rakyat.

“Siapa pun dia, bukan menjadi masalah, kerana calon yang dipilih Pas benar-benar layak dan mampu meraih undi,” katanya.

Selain itu, kerjasama daripada jentera parti komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sejak dari awal sebelum penamaan calon lagi mampu meraih lebih ramai pengundi.

“Setiap parti komponen akan bekerja keras menggerakkan jentera parti, khususnya ke kawasan pedalaman, dalam mendekatkan parti dengan pengundi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan yang akan dilakukan selepas kedua-kedua parti mengumumkan calon, Cheng Hau berkata, perancangan rapi sedang dibuat pucuk pimpinan bagi mengadakan kempen dan ceramah sebaik sahaja tempoh berkempen dimulakan kelak.



Makkal Sakti Sokong Pakatan Rakyat

LABIS, 19 Jan - Parti Makkal Sakti yang kini diterajui oleh Kannan Ramasamy selepas perlantikannya di Mesyuarat Agung Tahunan September 2010 menyatakan sokongan penuh kepada calon PAS, Normala Sudirman bagi PRK Tenang kali ini.

Sanjay Suramaniam selaku Naib Presiden parti tersebut memaklumkan antara objektif utama penubuhan Parti ini adalah untuk memperjuangkan hak kebajikan masyarakat India di Malaysia dan lebih bersifat natural terhadap mana-mana parti politik.

Menurut beliau, masyarakat India kini sudah bosan dengan pemberian hamper dan janji-janji manis Barisan Nasional (BN) terhadap mereka setiap kali pilihan raya berlaku.

Bercakap mengenai permasalahan presiden parti tersebut, beliau berkata;

"Sebelum ini, Parti Makkal Sakti adalah di bawah kepimpinan Rs Thanenthiran yang pro kepada BN.

"Tetapi, beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli parti kerana tidak membawa suara ahli seperti objektif sebenar penubuhan parti.

"Sehingga kini, beliau masih mendakwa dirinya sebagai presiden walaupun telah dilucutkan jawatan kerana tidak menghadiri mesyuarat lebih daripada 3 kali berturut-turut."

Beliau yang ditemui di Markaz Operasi PAS petang tadi, yakin bahawa majoriti masyarakat India di Tenang akan memberi undi kepada calon PAS disebabkan masalah rakyat tempatan yang diabaikan UMNO selama 53 tahun berkuasa di Johor dan khususnya di Tenang.


Tiada ulasan: