16 Jan 2011

Nenek Harap Cucunya Bertaubat

Jempol - Walaupun suaminya mati di tangan sekumpulan penjenayah remaja yang melibatkan cucu sendiri pada malam Khamis lalu, pertalian darah mendorong seorang nenek sanggup menjadi pemaaf dengan menganggap peristiwa hitam itu sebagai satu ujian tuhan.

Halimah Yasin, 57, berkata, dia reda dengan kematian suaminya, Mohtar Yusof, 71, yang diserang dan ditikam dengan pisau dari belakang dalam kejadian di Felda Palong Dua di sini.

"Peristiwa itu sudah berlaku. Walaupun dia (cucu) terlibat, saya sudah memaafkan serta ampun kesalahannya.

"Saya harap dia insaf dan bertaubat,'' kata Halimah ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pasangan warga emas itu pulang daripada satu kenduri tahlil pada malam kejadian sebelum mendapati bilik tidur mereka sedang digeledah.

Mohtar yang bergelut dengan kumpulan penjenayah remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu akhirnya ditikam dengan pisau dari belakang sebelum kesemua suspek lari bersama wang dan barang kemas bernilai RM10,000.

Halimah yang tidak berupaya menyelamatkan suaminya sempat melihat kelibat cucunya itu yang berusia 17 tahun dan menetap di Melaka. -kosmo

Berita Terkait

Cucu Bawa Kawan Rompak Dan Bunuh Datuknya

Tiada ulasan: