22 Jan 2011

Dr Mahfodz Selar Kenyataan Dr. Mahathir Mengenai Calon Wanita PAS

Mahfodz sifatkan kenyataan Tun M keterlaluan

SENAI - Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar) menyifatkan kenyataan yang dibuat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Pas tidak berpegang pada janji kerana meletakkan calon wanita tidak sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, keterlaluan.

Beliau berkata, Pas tidak pernah mengharamkan untuk meletakkan calon wanita bagi pilihan raya kecil (PRK) atau umum sebaliknya apa yang berlaku sebelum ini atas faktor kesesuaian masa dan keadaan.

“Pas tidak pernah menghalang atau mengharamkan untuk memilih dan meletakkan calon wanita beberapa tahun lalu tetapi jika ada hanya ketika itu kita tangguhkan kerana masih belum bersedia, tidak sesuai mengikut keadaan semasa ketika itu.

“Kenyataan Tun tidak betul kerana jika dilihat sebelum ini, sejak Pas ditubuhkan memang ada wanita menjadi calon Pas.

“Lihat sahaja calon wanita Pas sebelum ini, Khadijah Sidik pernah dicalonkan dan pernah menjadi Ketua Pas Negeri Johor pada awal tahun 1960-an begitu juga dengan Mariah Mahmood (Selangor) dan juga Dr Lo’Lo’ Ghazali (Titiwangsa),”
katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Terdahulu Tun Mahathir menyifatkan Pas tidak berpegang pada janji untuk kepentingan politik apabila memilih calon wanita tidak seperti apa yang pernah diutarakan parti itu sebelum ini dan menyatakan Pas tidak boleh dipercayai.

Mahfodz berkata, apa yang diutarakan Tun Mahathir itu menggambarkan ketakutan BN kerana Pas meletakkan calon wanita bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Sebelum keluarkan sebarang kenyataan sila rujuk dan lihat latar belakang Pas sebelum ini sama ada pernah atau tiada langsung meletakkan calon wanita atau pernah mengeluarkan kenyataan wanita tidak boleh menjadi calon.

“Pas tidak mungkir janji dan tidak betul juga jika kata Pas tidak beri laluan kepada orang bukan Islam untuk bertanding,” katanya.

Katanya, calon Pas bagi DUN Tenang yang dipilih ini, Normala Sudirman, 38, bukanlah calang-calang calon kerana berpengalaman sebagai pendidik.

“Dia ada pengalaman mengajar dan memang dia seorang yang tidak boleh dilawan sebab itu kita mencalonkan dia.

“Kita berharap penamaan calon hari ini berlaku dengan penuh ketenangan tanpa sebarang gangguan,” katanya. -SH

Tiada ulasan: