20 Mei 2010

11 Jun Ditetapkan Untuk Permohonan Sidang Video

Permohonan Sidang Video Kerajaan Negeri Selangor Didengar 11 Jun

Inkues Teoh Beng Hock yang bersambung hari menyaksikan hasrat kerajaan negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia supaya Pakar Patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand untuk dapat memberikan keterangan walaupun hanya melalui sidang video, tidak kesampaian.

Meskipun kelulusan dari Jabatan Thailand telah diperoleh bagi membolehkan sidang video dijalankan di Bangkok, namun Koroner Mahkamah Tinggi Shah Alam, Azmil Muntapha Abas memutuskan hanya akan mendengar permohonan rasmi dari kerajaan negeri Selangor itu pada 11 Jun ini.

"Mahkamah perlu mengetahui sebab sebenar Pornthip tidak boleh hadir,” katanya.

Pagi tadi, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memberitahu mahkamah, bahawa Pornthip tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, pakar patologi yang bekerja di Bangkok itu menerusi sepucuk surat Isnin lalu berkata beliau bersedia memberi keterangan menerusi sidang video.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili pejabat peguam negara berkata permohonan itu mesti dibuat mengikut peruntukan 272 (b) dan ia perlu disokong oleh affidavit.

Azmil berkata inkues juga akan mendengar keterangan daripada dua lagi saksi, ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan peguam M Manoharan, apabila inkues itu bersambung bulan depan.


Tiada ulasan: