22 Jan 2010

Khalid Lebih Layak Pimpin PAS Selangor

Wanita PKR menyokong gesaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditukar dengan ulama yang "bebas daripada fahaman politik".

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan Khalid itu senada dengan pandangannya yang pernah disuarakan pada 1 November lalu di Parlimen, termasuk meminta kedudukan Pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi dinilai semula.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Ampang itu membayangkan dua badan agama itu 'menganiayanya' berikutan cadangannya dua bulan lalu itu.

Beliau mendakwa, Jais menyenaraihitamkan namanya, termasuk mengeluarkannya sebagai ahli panel daripada sebuah forum keagamaan malam esok di Klang.

"Saya difahamkan oleh penganjur bahawa nama saya dikeluarkan oleh Jais tanpa alasan, dan mereka enggan menyatakannya dalam bentuk hitam-putih (bertulis)," katanya.

"Bagaimanapun, saya akan tetap hadir dan lihat apa yang terjadi. Saya percaya Jais kembali kepada saya ekoran penglibatan saya dalam kes bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin."

Zuraida antara pemimpin politik yang menghadiri kuliah mufti kontroversi itu ketika beliau ditangkap atas dakwaan mengajar tanpa tauliah hujung tahun lalu.
Rancang menghadap Sultan Selangor

Zuraida selepas itu konsisten mengecam tindakan tersebut.

Zuraida juga berkata, seperti Khalid, beliau juga merancang menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi mencadangkan pertukaran pentadbiran Jais dan Mais.

Semalam, Khalid mengulangi desakan supaya pentadbiran Jais dan Mais ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Khalid yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengadap Sultan Selangor pagi ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan empat mata dengan baginda. -malaysianinsider


Khalid Samad
oleh Datuk Zaid Ibrahim

Khalid Samad dari PAS adalah seorang pemimpin politik yang saya hormati kerana beliau berani mempertahankan perkara atau prinsip yang benar walau pun mungkin ada orang anggap ia akan rugi dari segi politik. Itulah yang membezakan ahli politik yang ada intelek dan integriti dengan orang politik yang bersifat murahan dan oportunis. Orang yang rakus biasanya tak faham isu yang diperkatakan, atau kalau pun dia faham isu, orang jenis itu akan terus berdrama dan berlakon untuk mendapat sokongan orang ramai dengan diperalatkan melalui ucapan sensasi dan penuh emosi.

Saya melihat Khalid sebagai seorang manusia yang berani apabila beliau mengatakan Enakmen Agama Islam Selangor 1988 yang membuat larangan penggunaan perkataan-perkataan seperti ilahi, nabi, wahyu, masjid dan sebagainya kepada orang bukan Islam adalah tidak lagi sesuai dan perlu rombakan. Cadangan bernas beliau sebaliknya telah memberi ruang kepada kumpulan NGO Islam untuk membuat laporan polis terhadap Khalid atas alasan kononnya menghina Islam dan Sultan. Inilah reaksi kumpulan yang tidak biasa dengan muzakarah dan musyawarah serta perbezaan pendapat. Mereka hanya mahu Khalid dihukum dan ditutup mulut dan mindanya. Usaha untuk memahami dan membincangkan pandangan beliau tidak penting langsung bagi kumpulan NGO Islam. Yang penting bagi mereka, Khalid mesti dihukum.

Sebenarnya maksud Khalid, pada hemat saya, adalah begini: Larangan terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu oleh Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun mestilah difahami dalam kontek sabenar. Apa pun prinsip atau peraturan mesti dilihat dan dikaji dalam kontek tertentu. Kontek larangan untok orang bukan Iswlam dari menggunakan perkataan tertentu mesti dilihat dari kontek larangan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan orang agama lain memujuk dan berusaha untok “convert “ atau menukar agama Islam itu. Jadi tujuan Enakmen itu ialah secucok dengan dan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang negeri termasuk Enakmen Islam tidak sah kalau ia melanggar undang-undang Persekutuan. Di bawah Perlembagaan kita memang orang dari agama lain tidak dibenarkan memujuk atau mempengaruhi orang Islam untuk peluk agama mereka. Ini larangan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Jadi kalau mereka berniat nak pujuk atau dakwahkan agama mereka kepada orang Islam, maka sebab itulah mereka tak boleh gunakan perkataaan yang diwartakan di bawah Enakmen itu.

Maksudnya larangan menggunakan perkataan yang disenaraikan itu termasuk nama Allah hanyalah dalam konteks apabila seseorang itu cuba mempengaruhi orang Islam. Sebagai contoh, jika seorang paderi atau sami yang beberapa kali bertemu dengan seorang Islam memperkatakan tentang bagaimana agama Kristian itu sesuai dengan sanubari si polan Islam itu dengan menggunakan perkataan Allah, nabi dan wahyu, maka di situlah asas larangan yang sah. Ini adalah kerana perkataan itu digunakan dalam konteks untuk menarik orang Islam menukar agamanya. Itu lah maksud Enakmen itu.

Tetapi penggunaan perkataan Allah, wahyu, nabi, masjid dan sebagainya dalam konteks percakapan biasa tidak boleh dilarang. Contohnya, kalau anak Ah Chong menyanyikan lagu negeri Selangor atau Johor yang memohon Allah melanjutkan usia Sultan atau Sami Velu bertanya jirannya “Ahmad, kamu nak ke masjid ke petang ini?”, maka itu tidak boleh menjadi kesalahan. Mana ada undang-undang dalam dunia yang sah boleh melarang orang awam menggunakan sesuatu perkataan. Apa asas larangan itu? Apa rasa orang Melayu kalau orang India kata jangan gunakankan nama Iswara pada kereta Proton kerana Iswara adalah salah satu nama tuhan Hindu? Begitu juga jika orang Melayu diminta jangan menggunakan perkataan Sanskrit seperti syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Jadi Khalid memang patut dipuji kerana mahu menegakkan kebenaran. Kerana mahu memperjelaskan dan kemaskini Enakmen itu. Orang Islam kena faham apa tujuan larangan itu dan apa tujuan Enakmen yang tidak jelas itu. Kumpulan NGO Islam sepatutnya menyokong usaha supaya Ebnakmen 1988 itu diperkemas dan diterangkan dengan jelas . Barulah orang kata kita orang Islam ini faham agama sendiri dan faham undang undang Negara.. Jika ikut sentiment dan emosi dengan menolak kebenaran, maka jangan salahkan orang lain jika mereka tuduh orang Islam takut kepada bayang bayang. Takut kapada dialog dan diskusi, dan hanya suka hukum orang saja. Samoga Khalid menang lagi di Selangor



Kalimah Allah: Kenyataan Khalid Samad Disokong
Oleh ydppasputrajaya.blogspot.com

PUTRAJAYA; Bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh pelbagai pihak ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut kristian termasuk dalam penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly. UMNO telah menjadi juara dalam hal ini yang akhirnya membuatkan banyak pihak terutama pihak Menteri Agama, KDN dan lain-lain terpaksa bertindak membuat rayuan semula di Mahkamah. Namun umpama kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur' tindakan berani membakar gereja adalah kemuncaknya.

Yang DiPertua PAS Putrajaya Ustaz Mohamad Nazir dalam kenyataannya berkata; "Kita hairan bagaimana pelbagai pihak khususnya badan-badan, NGOs, persatuan-persatuan yang mewakili orang melayu rata-rata membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa membawa alasan dan dalil yang jelas kenapa mereka menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Kenapa pemimpin-pemimpin khususnya dari UMNO begitu bersungguh-sungguh membantah perkara ini, hanya dengan alasan pihak kristian mempunyai agenda yang tersembunyi.

Kenapa mereka sangat takut aqidah orang-orang melayu tergugat padahal merekalah yang menggubal dasar pendidikan negara, berbangga dengan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan. Apakah mereka sudah lupa, bahawa merekalah yang telah mempunahranahkan tulisan jawi dari orang-orang melayu sedangkan tulisan jawilah yang banyak membantu orang-orang melayu memahami agama mereka.

Ternyata setelah 53 tahun UMNO memerintah negara, dasar pendidikan agama dikesampingkan. Mereka gagal memberi pendidikan agama yang secukupnya kepada rakyat untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah mereka. Hari ini ilmu aqidah berada di mana? Sedangkan menurut hiaraki ilmu maka ilmu tauhidlah berada di kemuncak persada berbanding ilmu-ilmu lain. Namun apa yang berlaku hari ini ialah sebaliknya ilmu-ilmu tentang keduniaan lah mengambil tempat utama dalam hearaki ilmu. Maka sekarang mereka berkokok takut aqidah umat melayu diselewengkan dari penggunaan perkataan Allah oleh pihak lain.

Kenapa kita takut sekiranya ilmu aqidah yang diajar di sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan menengah kebangsaan begitu mantap diajar kepada anak-anak kita. Masalahnya sekarang mereka yang bangkit menentang tidak pernah bangkit mempertahankan aqidah umat melayu, malah mereka sendiri tidak tahu ujung pangkal tentang aqidah. Mufti-mufti pula asyik mencampuri urusan politik kepartian dan tidak lagi menjadi seperti mufti-mufti terdahulu yang bertungkus lumus mengajar aqidah kepada umat. Malah ada mufti yang pandai mendedahkan bilangan sejumlah 250,000 umat Islam telah murtad tetapi tidak pandai memperbetulkan dasar pendidikan hari ini yang telah menjauhkan umat dari mengenali Allah yang sebenarnya, hingga ada di kalangan umat yang sanggup mempermain-mainkan hukum Allah.

Berbalik kepada isu perkataan Allah yang menjadi kontroversi hari ini, sepatutnya tidak menjadi sebarang masalah kepada kita membenarkan sesiapa sahaja menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan yang Esa yang menjadi kemuncak kepada pegangan murni umat manusia. Sesesat dan sejahat mana pun mereka naluri bertuhankan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH) wujud di dalam jiwa mereka. Bahkan di dalam al-Quran sendiri ada menjelaskan bagaimana manusia yang ditimpa musibah seperti dilambung ombak yang dahsyat, pada ketika itu tidak ada yang lain yang mereka harapkan selain pertolongan Tuhan Yang Sebenar (ALLAH).


Ulasan GB

Khalid Samad adalah seorang tokoh pemimpin sekalipun kini sedang menunggu keputusan jawatankuasa disiplin PAS terhadap kononnya melakukan dua kesalahan iaitu pertama, membuat ucapan terbuka mengkiritik pesuruhjaya PAS Selangor yang mengkritik isu tatatertib oleh jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat).

Kedua, kerana Khalid telah menulis dalam blognya, mendedahkan minit mesyuarat badan perhubungan PAS selangor pada 27 September 2009.

Kedua-dua kesalahan tersebut semacam sengaja dibawa ketengah untuk mengimbangi seorang lagi yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor sendiri iaitu Datuk Hassan Ali.

Khalid dalam banyak hal lebih mendapat sokongan dari majoriti ahli Pakatan Rakyat, samada PAS, PKR atau DAP.

Yang tidak suka kepada Khalid ialah UMNO dan fraksi UMNO dalam PAS (biar kita berterus terang saja).

Di dalam isu kalimah Allah misalnya, Khalid telah memberikan pandangan awalnya yang kemudian dilihat lebih menepati keputusan dan pendirian yang diambil oleh parti.

Apa yang dikatakan kesalahan yang dilakukan oleh Khalid sebenarnya bukan kesalahan tetapi keberaniannya mendedahkan kebenaran, dan kesanggupannya untuk berkata benar tanpa gentar. "Berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim adalah jihad yang afdhal" - mafhum hadith.

Tidak dinafikan bahawa Khalid lebih layak memimpin PAS Selangor.

2 ulasan:

Ahli PAS Shah Alam berkata...

Majoriti ahli PAS Shah Alam berdiri teguh di belakang Khalid Samad. Cuma ahli PAS yang berhati UMNO sahaja yang tak suka Khalid.

Anak PR Selangor berkata...

Saya sokong...