14 Dis 2010

Rasuah Bermaharajalela Kerana UMNO BN Terlalu Lama Berkuasa

Rasuah ancaman sebenar negara: Kos pertahanan terlampau tinggi, Ronald McCoy

Untuk beberapa dekad kebelakangan, Malaysia (atau Malaya) hanya berdepan dengan dua ancaman luar, iaitu Perang Pasifik dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, tidak cukup untuk menjustifikasikan kos pertahanan atau kelengkapan ketenteraan yang terlampau tinggi, kata Ronald McCoy. Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa ancaman negara kita yang sebenar adalah pertentangan antara kaum dan berleluasanya gejala rasuah.

Ronald McCoy (gambar kanan) ialah seorang doktor yang menentang senjata neuklear, menyandang jawatan Presiden Malaysian Physicians for Social Responsibility. Beliau berkata, ancaman dalaman yang berlaku termasuklah Darurat, tragedi berdarah 13 Mei dan sebagainya. Oleh sebab ancaman sebenar adalah dari dalaman, terutamanya pertentangan kaum, maka adalah tidak wajar seandainya kita perlu membelanjakan kos yang terlampau tinggi untuk kelengkapan ketenteraan.

53 tahun yang lalu menyaksikan negara kita yang berpecah-belah dengan politik perkauman yang bermaharajalela, dan didominasi kaum Melayu. Ronald McCoy menganggap bahawa kita tidak seharusnya menumpu kepada "perpaduan Melayu", "perpaduan Cina" atau "perpaduan India", kerana ini akan membuat kita untuk menumpu kepada "perpecahan Malaysia".

Dalam pada itu, usaha untuk memulihkan semangat keadilan dalam kehakiman, pentadbiran yang baik, sistem pendidikan yang sempurna adalah mustahak, katanya.

Terlalu lama UMNO-BN berkuasa

Ronald McCoy menjelaskan, banyak institusi kerajaan telah dikuasai UMNO-BN, sehingga menjadi kerajaan autokrasi yang terlalu lama berkuasa. Mereka boleh mengekalkan kuasa dengan akta yang diluluskan, untuk menjayakan agenda mereka. Misalnya, sistem perkhidmatan awam yang seharusnya bersikap neutral dijadikan alat UMNO-BN, sehingga negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berdepan dengan sabotaj daripada mereka.

Juga, isu kematian dalam tahanan yang semakin ketara, namun komuniti doktor di Malaysia tidak cukup kuat (strong) untuk mendedahkan bagaimana tahanan dibelasah sehingga mati oleh polis. Jadi, Ronald McCoy tidak melihat apa-apa peluang untuk memperbetulkan keadaan yang sedia ada, selain menukar kerajaan.

Beliau sedar bahawa ini bukan sesuatu tugas yang enteng, tetapi rakyat harus cuba untuk melakukannya.

Ronald McCoy berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Ke arah Dasar Pertahanan Alternatif dalam Budaya Aman" (Towards Alternative Defence Policy in Culture of Peace), diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Sabtu yang lalu.

Forum ini diadakan sempena pelancaran buku baru Pengarah SUARAM, Kua Kia Soong, "Questioning Arms Spending in Malaysia". Ahli panel yang lain termasuklah Kua Kia Soong, ahli parlimen Subang R.Sivarasa, dan anggota Food Not Bomb, Yuuhan. Pengacara untuk forum yang yang menarik kehadiran kira-kira 50 orang ini ialah Susanna George. -MR

Tiada ulasan: