7 Dis 2010

Kes Aminulrasyid: "Polis Sedia Nak Tembak Saya" - Azamuddin

Rasa Lubang Di Kepala AminulRasyid” – Azamuddin

SHAH ALAM: Rakan kepada AminulRasyid Amzah pada awalnya menyangka pelajar tingkatan tiga itu berpura-pura pengsan disebabkan takut kerana dikejar dan ditembak oleh kereta peronda polis.

Mohd Azamuddin Omar, 15, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini Isnin, dia hanya menyedari AminulRasyid cedera apabila cuba mengejutkan rakan yang dikenalinya selama 10 tahun itu.

"Waktu saya kejutkan dia, saya pegang bahagian kepala dan saya rasa ada darah. Saya juga rasa ada kesan lubang peluru di kepalanya,” kata Mohd Azamuddin.

Dia yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani menambah, kereta Proton Iswara BET 5023 tetap bergerak walaupun AminulRasyid telah ditembak menyebabkan mereka terlanggar tembok sebuah rumah.

Saksi pendakwaan ke-29 seterusnya memberitahu, semasa kejadian itu fikirannya bercelaru sama ada mahu menyerahkan diri kepada polis ataupun melarikan diri daripada tempat kejadian.

Mohd Azamuddin menambah, dia tercampak keluar menerusi tingkap yang retak semasa cuba menarik tali beg silangnya yang tersangkut di bahagian brek tangan kereta yang menggunakan gear automatik.

"Saya terjatuh ke dalam longkang dan saya perasan polis sudah mengepung saya. Saya mahu serah diri. Saya perasan seorang polis menyepak kepala saya.

"Saya juga dipukul dan saya agak oleh lima orang polis," katanya.

Mengimbas kejadian yang berlaku, Mohd Azamuddin seterusnya memberitahu, entah bagaimana dia dapat melarikan diri daripada anggota polis tersebut.

"Saya rasa macam salah seorang polis sedia nak tembak saya, Dia beri amaran untuk saya berhenti dalam kiraan 3 tetapi saya terus berlari.

"Dalam masa kiraan 3, sebuah kereta peronda polis masuk ke kawasan itu dan menghalang pandangan polis yang memberi amaran itu,"
katanya.

Menurutnya, dia terus pulang ke rumah dan membasuh baju serta seluar yang dipakainya kerana terdapat darah AminulRasyid.

"Saya fikir tidak mahu terlibat dalam kes ini. Pada pukul 6.30 pagi, saya bangun seperti biasa mahu ke sekolah dan saya bungkuskan baju serta seluar ke dalam plastik untuk dibuang," tambahnya. Beg plastik itu kemudiannya diserahkan kepada seorang rakan, Mohd Zubir Salleh, 15, semasa di sekolah untuk disimpan.

Mohd Azamuddin yang dipanggil sebagai saksi pada sidang sebelah petang juga tidak dapat menahan kesedihan apabila diminta untuk mengecamkan AminulRasyid menerusi gambar bedah siasat.

Dia yang melihat gambar itu selama beberapa saat terus mengesatkan air mata. Walaupun cuba untuk tidak menangis, saksi gagal lantas memohon diberikan masa untuk menenangkan diri.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan perbicaraan ditangguhkan selama 10 minit dan seorang jurubahasa mahkamah memberikan tisu kepada Mohd Azamuddin.

Terdahulu, saksi memberitahu, dia dan AminulRasyid keluar melepak di Restoran Day & Night Circle, Seksyen 11, di sini.

"AminulRasyid ajak saya melepak. Selalunya bila ayah saya ada di rumah, dia kongkong saya dan tidak benarkan saya keluar.

"“Waktu itu ayah saya tidak ada di rumah kerana bertugas. Pada pukul 12 tengah malam, saya curi-curi keluar," katanya. Keterangan lain, Mohd Azamuddin berkata, itu merupakan kali kedua dia melihat AminulRasyid membawa kereta. Kali pertama ialah semasa AminulRasyid belajar membawa kereta daripada seorang rakan.

Kata saksi lagi, mereka keluar ke Seksyen 7 untuk membantu seorang rakan sebelum kereta mereka bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan AminulRasyid ketakutan.

"Dia kata tidak mahu berbincang dengan pemilik kereta. Waktu itu AminulRasyid dalam ketakutan. Dia kata nak bawa pulang kereta kakaknya dan mahu berjumpa ibunya," katanya.

Tambah Mohd Azamuddin, AminulRasyid memandu kereta dengan laju, iaitu antara 100 dan 120 km/s menyebabkan dia menegur kelakuan rakanya itu.

AminulRasyid semakin takut selepas sebuah motosikal yang mengejar mereka terjatuh.

Katanya, mereka dikejar oleh kereta peronda polis sebelum ditembak di Jalan Tarian 11/2.

"Saya dengar bunyi tembakan dan sesekali apabila saya pandang belakang, saya nampak percikan api datang dari arah kereta polis.

"Saya tidak dengar bunyi tembakan kerana siren polis bising. Saya agak kira-kira 12 tembakan dilepaskan," katanya.

Menurut saksi, tembakan tersebut turut mengenai tayar kereta menyebabkan kereta hampir terbabas, tetapi berjaya dikawal oleh AminulRasyid.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 42, sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia diwakili oleh peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Asghar. Perbicaraan bersambung Rabu. -mstar



'Polis pukul saya', kata Azamuddin

Azamuddin Omar, saksi utama dalam kes kematian Aminulrasyid, hari ini mendakwa dia dipukul anggota polis dalam kejadian di mana rakannya mati ditembak polis di kepalanya.

Katanya, selepas kereta Proton Iswara putih yang dinaikinya melanggar tembok, dia keluar melalui tingkap sebelah penumpang dan terjatuh ke dalam longkang.

Azamuddin berkata ketika itu dia keliru sama ada harus menyerah diri atau lari dari situ.

Ketika itu, katanya, beberapa anggota polis menangkap dan mengheretnya naik ke atas jalan.

Dia memberitahu demikian sewaktu disoal oleh timbalan pendakwa raya Idham Abdul Ghani.

Azamuddin berkata, dia kemudiannya memutuskan untuk terus berbaring atas jalan dan menyerah diri.

Kemudian, katanya, seorang polis menendang kepala dan yang lainnya juga mula memukulnya.

Azamuddin berkata, ia membabitkan dua atau tiga orang anggota polis.

Bagaimanapun, katanya, dia sempat melarikan diri semampu kakinya berlari.

Katanya, dia merasakan dua anggota polis mula mengejarnya tetapi, dia merasakan anggota polis ketiga bersiap untuk menembaknya kerana dia mendengar anggota polis itu mengarahnya berhenti pada hitungan ketiga.

Bagaimanapun, dia tidak tahu sama ada anggota polis akan menembaknya kerana ketika dia (anggota polis) hendak menghitang ketiga, sebuah lagi kereta peronda polis berhenti di belakangnya dan menghalang pandangannya (anggota polis). -mk

4 ulasan:

waksab berkata...

Keadilan yang sebenar hanya terbela di akhirat..AL-Fatihah buat Aidk Aminul Rasyid..

waksab.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

pemerintahan BN patut ditamatkan, mangsa memali juga tiada keadilan

zaid ampang berkata...

Menurut kawan Amirul, ayahnya mengongkong beliau menyebabkan beliau curi keluar rumah semasa ayahnya tiada. Juga diberitahu bahawa Amirul belajar memandu daripada rakannya. Ibu Bapa seharusnya mendekati anak dengan pelbagai kaedah agar anak faham bahawa itu bukan kongkongan, kalau anak faham ia tidak akan memberontak ! Si Ibu yang mendakwa bahawa anak tidak tahu memandu juga gagal mengesan bahawa anaknya hebat ! DEKATI DAN RAPATILAH ANAK-ANAK AGAR MEREKA TELUS DENGAN IBU BAPA BUKAN DENGAN ORANG LAIN !

3036 berkata...

Isu ini tiada kena mengena dgn Kerajaan. Jangan disebabkan isu ini kita mahu memandang rendah dengan tugas Polis:

1. Tragedi ini tidak akan terjadi, jika remaja berusia 15 tahun itu tidak memandu kereta dalam keadaan tiada lesen.

2. Tragedi ini tidak akan terjadi jika remaja terbabit menurut arahan polis supaya berhenti dibahu jalan.

3. Polis tidak akan bertindak jika mereka tidak menunjukkan sebarang keraguan yang mungkin mendatangkan bahaya kpd orang lain.

4. Dengan keadaan pemanduan yang membahayakan (setelah bergesel dgn pengguna jln raya yg lain), mana mungkin pihak polis tahu berapakah umur si pemandu? They saw him as someone yang merbahaya.

5. First of all, they made mistake! Jangan disebabkan oleh kesalahan/kelalaian orang lain, kita mahu menuding jadi kepada pihak berkuasa.